Pada November 2019, berlaku kekecohan apabila abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk ke Malaysia. Abu mayatnya ditabur di Lumut, Perak dan sekitar Banjaran Titiwangsa tanpa tugu atau jirat. Ramai yang membantah tindakan ini sehingga polis menerima lebih kurang 11 laporan polis perihal itu.
Dan kemudian masih ingatkah anda tentang filem berdasarkan kisah benar, ‘Bukit Kepong’ arahan Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsuddin yang mengisahkan bagaimana askar komunis menyerang Bukit Kepong dan para polis berjuang mempertahankannya? Malah kisah ini turut dibukukan dan menjadi antara novel yang dipelajari oleh murid-murid sekolah menengah untuk sebahagian negeri di Malaysia suatu ketika dahulu.
Kini perkataan ‘komunis’ mengundang rasa amarah, duka, dan emosi negatif buat rakyat Malaysia khususnya orang Melayu. Walaupun berdekad-dekad lamanya peristiwa berdarah ini berlaku namun masih lagi terpahat di minda rakyat Malaysia.
Kenapa ramai rakyat Malaysia dan orang Melayu khususnya begitu marahkan Chin Peng, PKM dan juga dengan perkataan ‘komunis’? Apakah kekejaman dan ideologi yang dibawa mereka sehingga tidak boleh diterima oleh negara kita?
Apa itu komunisme? Fahaman komunisme dan Marxisme berasal dari pemikiran Karl Marx, ahli falsafah dan pakar ekonomi terkenal dari abad ke-19. Konsep utama bagi fahaman ini adalah sama rata bagi semua rakyat tanpa ada kelas masyarakat. Ini termasuk tiada raja, bangsawan dan sebagainya. Fahaman atheisme atau tiada agama juga ada ditekankan dalam fahaman komunisme.
Parti Komunis Malaya (PKM) pula ditubuhkan pada tahun 1930 untuk memperjuangkan hak-hak pekerja, membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan kolonial British, dan mewujudkan sistem sosialis di negara ini. PKM juga memperjuangkan keadilan sosial, penghapusan eksploitasi kapitalis, dan pembentukan masyarakat yang lebih saksama secara ekonomi. Oleh sebab itu, ramai orang Melayu, kebanyakan terdiri daripada para petani dan buruh pada awalnya menyertai gerakan ini kerana mereka juga ingin bebas dari cengkaman penjajah dan membina negara sendiri.
Namun kemudian datang Jepun sebagai satu kuasa besar dunia dan menakluki beberapa negara di Asia. Keganasan Jepun dan tenteranya amat dikenali oleh negara-negara yang pernah dijajah mereka. Pada 8 Disember 1941 hingga 16 Ogos 1945 adalah tempoh Jepun berjaya menakluk Tanah Melayu. Apabila Jepun pula datang menjajah, PKM telah menubuhkan Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk memerangi tentera Jepun. British kemudian bekerjasama dengan MPAJA untuk menentang dengan tentera Jepun. Setelah peristiwa pengeboman Nagasaki dan Hiroshima, Jepun mengibar bendera putih.
Baca juga>> Ulama Arifbillah Mursyid Raja Melayu Melaka
Namun, PKM kemudian mengambil kesempatan apabila Jepun mengundur diri. Pelbagai peristiwa keganasan dan peperangan kecil berlaku antara kaum berlaku di Tanah Melayu. Orang Melayu juga mula bertindak balas terhadap keganasan yang dilakukan oleh PKM. Darurat Malaya yang berlaku antara tahun 1948 hingga 1960 disebabkan oleh konflik ini. Dalam usaha untuk mengekang PKM, tindakan keras dilakukan oleh kedua belah pihak, yang mengakibatkan penderitaan dan kehilangan nyawa di kalangan penduduk tempatan.
Mengapa PKM yang dulunya sama-sama menentang British dan Jepun kini kemudian cuba mengancam keselamatan negara? Ini kerana matlamat mereka masih belum tercapai iaitu untuk membina Tanah Melayu sebagai sebuah negara republik. Dek kerana impian mereka itu, mereka sanggup melakukan keganasan pada orang awam. Mereka merosakkan harta benda awam, menyerang pekerja estet dan lombong, menebang beribu-ribu batang pokok getah, merosakkan jentera, membakar rumah, malah turut membunuh pengurus ladang berbangsa Eropah.
Bagi sesetengah pihak, tindakan keganasan yang dilakukan oleh PKM dianggap sebagai tindakan terorisme. Walau bagaimanapun, bagi yang menyokong mereka, menyatakan bahawa PKM mempertahankan diri terhadap penindasan dan kezaliman pihak berkuasa kolonial. Namun adakah dengan bertindak kejam dan zalim pada orang tempatan, merosakkan harta benda sebagainya boleh dilihat sebagai mempertahankan diri?
Yang pastinya gerakan komunisme tidak berjaya menular kerana kekejaman mereka sendiri serta matlamat akhir yang berbeza dengan kehendak orang Melayu yang ingin mengekalkan agama Islam sebagai agama rasmi dan mengekalkan sistem beraja. PKM yang pada awalnya dilihat sebagai gerakan yang ingin sama-sama membantu bebaskan negara daripada penjajah bertukar menjadi duri dalam daging.
Walaupun PKM secara rasmi dibubarkan pada tahun 1989 (Perjanjian Damai/Hatyai), idea dan cita-cita yang mereka anuti masih mempengaruhi sebahagian rakyat negara ini dan juga sebahagian pemikiran politik di Malaysia.