“Samseng you, nak gaduh dengan saya! F**k you!”
Mesti ramai yang terngiang-ngiang suara salah seorang ahli politik kita yang menggunakan kata-kata kesat di persidangan parlimen pada tahun 2018 dahulu. Klip video itu telah menjadi tular bukan sahaja di dalam negara malah serata dunia. Kini ia merupakan salah satu ‘meme’ yang terkenal buat pengguna internet global.
Rakyat Malaysia sememangnya mudah terhibur dengan apa pun perkara. Kadangkala dalam situasi serius pun boleh buat kita ketawa. Jadi tak hairan jika ahli politik kita juga turut menjadi bahan lawak walaupun ketika parlimen bersidang.
Tambah pula lagi, banyak juga gelagat ahli-ahli politik kita dijadikan watak ‘pak lawak’ dan sindiran seperti dalam filem Allahyarham Mamat Khalid serta Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Ingatkah anda dalam dialog yang terdapat di dalam filem Pendekar Bujang Lapok yang berbunyi,
“Alif Mim Nun Wau, Alif tendang Wau, sarkis!”
Jika ada yang tahu, tulisan jawi itu memberi maksud kepada salah satu parti politik yang wujud waktu itu. Nampaknya gelagat ahli politik kita sudah lama dicop sama seperti sarkis dari tahun 1959 lagi!
Dan juga kalau anda perasan di TikTok, ramai pengguna mengedit video ahli parlimen Malaysia dengan meletakkan lagu serta kapsyen yang lucu. Mungkin ada yang anggap tak mengapa dan ia hanya sekadar hiburan namun jika berlarutan, rakyat mungkin hilang rasa hormat terhadap pemimpin-pemimpin negara kita dan juga akan pandang enteng tentang isu-isu yang dibawa ahli parlimen ketika bersidang.
Ahli parlimen seharusnya menjadi suara ramai dan mewakili rakyat yang memilih mereka. Mereka penting untuk negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.
Tak salah untuk berbahas dan membantah jika rasa tidak setuju namun perlukah ahli-ahli parlimen kita menggunakan kata-kata kesat yang sepatutnya tidak boleh diucapkan di dewan ketika bersidang? Tak cukup dengan itu, kadangkala suasana dalam dewan menjadi gamat ketika mereka saling berbalah. Sana sokong sini, situ bantah sinun. Jadi tak hairanlah kalau ada segelintir rakyat menyamakan keadaan itu seperti ‘sarkis’.
Ini semestinya mencalarkan nama negara dan tentunya menjatuhkan imej para pemimpin kita yang telah dipilih oleh rakyat sendiri.
Seharusnya buat ahli politik semua, tidak kira dari parti apa pun, samada kerajaan ataupun pembangkang seeloknya mereka lebih berhemah jika tidak mahu berterusan menjadi bahan ketawa rakyat Malaysia.
Negara kita terkenal dengan adat budaya sopan santun dan kaya budi bahasa. Oleh itu, janganlah kita gadaikan maruah bangsa dan teruslah menjadi contoh yang baik terutamanya untuk generasi muda akan datang.