Sejarah

Palestin Sebelum Diganyang Israel

Sebelum tahun 1948, Palestin yang mempunyai kepelbagaian budaya dan peradaban merupakan negara yang makmur dan penduduknya hidup harmoni bersama. Kebanyakan penduduknya terdiri dari orang Islam, Kristian dan juga Yahudi. Tanah ini juga pernah di bawah pemerintahan empayar besar seperti Asyur (Assyria), Babylon, Parsi, Yunani, Roman, Byzantium, dan juga Uthmaniyyah. Tanah ini sering terjadinya perang kerana tanah ini penting buat tiga agama samawi iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Selain itu, Palestin juga terletak di persimpangan geografi antara benua Afrika dan Asia membuatkan tanah ini lebih berharga.

Ketika Palestin dibawah pemerintahan Kerajaan Turki-Uthmaniyyah (1516-1917), Baitulmuqaddis atau Jerusalem dan tanah lain terbuka dilawati oleh orang Kristian dan Yahudi untuk melakukan ibadah mereka. Bagi orang Islam, Palestin merupakan tanah yang diberkati Allah SWT dan mempunyai kepentingan kerana berkaitan dengan para anbiya’ terdahulu. Namun setelah Palestin dijajah pada awal abad ke-20, wilayah ini menjadi inklusif dan tidak lagi bebas dan terbuka khususnya buat umat Islam.

Kejatuhan Empayar Uthmaniyyah pada tahun 1918 pada Perang Dunia Pertama menyebabkan tanah jajahan empayar itu dibahagikan antara Tentera Bersekutu. Tanah Palestin kemudian diserahkan kepada pihak British sebagai ‘Mandat British Palestin’.

Ramai orang-orang Barat menyangkakan sebelum ‘Israel’ wujud, tanah Palestin itu ‘kosong’. Slogan Gerakan Zionis, ‘Tanah tanpa rakyat untuk rakyat tanpa tanah’ menyebabkan ramai orang Yahudi membanjiri Palestin sehinggakan penduduk Palestin terusir dari tanah air mereka. Sebelum tahun 1948, sudah ramai daripada antara mereka menyelinap masuk secara haram. Ada yang kononnya masuk sebagai pelancong namun tidak pernah keluar Palestin selepas itu. Selepas Perang Dunia Kedua bermula, puluhan ribu imigran Yahudi memasuki tanah Palestin menggunakan kapal. Walaupun pihak British menawan beberapa buah kapal namun sejumlah besar daripada mereka dapat memasuki Palestin dan menetap terus di situ.

Israel mendakwa mereka yang membangunkan tanah itu sedangkan sebelum kewujudan Israel lagi, Palestin merupakan negara yang makmur dan maju.

Gambar duit kertas dan duit syiling Palestin ini sudah cukup membuktikan Palestin sudah lama wujud sebelum Israel datang menjarah. Malah, duit kertas dan duit syiling ini lebih tua usianya daripada tanah ‘Israel’ itu sendiri!

Mungkin ada ramai yang tertanya bagaimana rupa Palestin sebelum dijajah oleh Israel. Imej Palestin yang banyak berkaitan peperangan membuatkan ramai menyangkakan negara ini tidak mempunyai apa-apa. Namun sebenarnya, Palestin merupakan negara yang maju serta mempunyai sistem ekonomi serta politiknya sendiri.

Gambar ini merupakan diambil sekitar tahun 1930. Baitulmuqaddis atau Kota Jerusalem merupakan tempat yang kaya dengan sejarah agama, budaya dan politik. Kota ini juga pusat utama ekonomi buat Palestin.

Di ambil pada 1940, Kota Haifa terletak di pesisiran Laut Tengah. Haifa antara kota yang penting buat Palestin kerana ia merupakan pusat ekonomi dan perdagangan buat wilayahnya. Haifa juga mempunyai pelabuhan dan menjadi pusat industri utama buat Palestin.

Ini merupakan lapangan terbang Jerusalem. Pada tahun 1935, kenderaan udara masih lagi sesuatu yang baru dan sedang berkembang di Baitulmuqaddis.

Gambar ini diambil di kilang pengeluaran sabun Nabulsi. Sejak abad ke-10 lagi, sabun Nabulsi sudah mula digunakan dan dijual. Sabun ini diperbuat menggunakan buah zaitun. Namanya diambil sempena tempatnya dikeluarkan iaitu Nablus. Dulunya, Nablus sebuah tempat yang maju mengeksport sabun ke seluruh dunia dan kini hanya tinggal 2 saja kilang sabun Nabulsi akibat dari kekacauan tentera Israel dan juga gempa bumi Jericho pada tahun 1927.

Gambar ini dirakamkan di balkoni rumah orang Palestin di Baitulmuqaddis. Di dalam gambar, dapat dilihat dua orang berbual dengan yang memakai pakaian berunsurkan Eropah. Pada waktu ini, kota Baitulmuqaddis merupakan pusat kota dan pusat utama ekonomi di Palestin.

Sudah tiba masanya orang di luar sana tahu yang Palestin sudah wujud lebih lama dari Israel dan tanah Palestin adalah milik rakyatnya. Kekejaman yang berlaku pada rakyat Palestin baru-baru ini, terutamanya pada penduduk Gaza sedikit sebanyak membuka mata orang ramai atas kekejaman rejim Israel ke atas Palestin selama berdekad tahun lamanya. Mereka kini tahu rupa sebenar Israel dibalik dakyah mereka yang kononnya merekalah golongan yang tertindas. Ketabahan, kesabaran serta keimanan penduduk Palestin benar-benar diuji namun mereka reda kerana mereka tahu, tanah ini milik mereka dan mereka harus bermati-matian mempertahankannya.

 

Baca juga:

>> 30 Mac Peristiwa Perampasan Tanah Warga Palestin Oleh Pendatang Yahudi

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker