Isu Semasa

Pakaian Mencerminkan Jati Diri Budaya Bangsa Melayu?

Penjajah sudah lama meninggalkan Tanah Melayu ini. Tetapi yang dikesalkan masyarakat kita pula yang susah meninggalkan budaya penjajah yang ditinggalkan, termasuklah etika berpakaian. Setelah 65 tahun Merdeka kita masih berbangga dengan pakaian yang diimport dari budaya barat misalnya pelajar bertali leher ke sekolah. Mengapa agaknya yang menyebabkan orang Melayu malu dengan pakaian yang mencerminkan budaya bangsa mereka?

Ikuti penjelasan Felo Penyelidik Institut Kajian Etnik Kebangsaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dato Paduka Prof. Dr. Supyan Hussin berhubung isu ini.

Busana Melayu Adalah Salah Satu Jati Diri Orang Melayu

Menurut Prof. Dr. Supyan Hussin, apabila pendatang asing dari dunia barat menceroboh, membuat huru hara serta campurtangan dalam pengurusan dan pentadbiran di tanah watan Melayu ini, mereka bukan sahaja memperkenalkan senjata, gelagat, sikap, dan budaya hidup mereka tetapi juga pakaian mereka kepada rakyat tempatan melalui proses sosialisasi yang mengambil masa yang panjang. Apabila mereka mendominasi kuasa di dalam wilayah kita, dari masa ke semasa, rakyat mulai rasa selesa dan selamat jika berpakaian seperti barat di negara ini. Manakala memakai busana Melayu dianggap kolot, kekampungan, dan ketinggalan zaman serta cenderung kepada menentang arus moden yang dibawa oleh penceroboh dan pendatang asing dari barat.

Jelasnya, lama-kelamaan pakaian atau busana Melayu yang menjadi jati diri orang Melayu mula dipinggirkan dan bukan lagi menjadi pakaian harian. Akhirnya, busana Melayu hanya dalam majlis tertentu dan dalam Majlis Adat-Istiadat sahaja. Mereka mulai lupa bahawa busana Melayu adalah salah satu jati diri orang Melayu. Jika manusia, dari seluruh dunia berkumpul di satu majlis, dunia akan dapat kenalpasti dengan cepat bahawa orang yang memakai tali leher, jaket, dan kot adalah menunjukkan identiti barat, kalau yang berjubah adalah orang Timur Tengah, yang memakai kimono adalah orang Jepun dan yang memakai baju, sampin, tanjak dan keris itu adalah orang Melayu. Dalam erti kata lain, pakaian sesuatu bangsa melambangkan jati diri bangsa itu.

Apakah kita tidak mempunyai identiti pakaian sendiri untuk dijadikan seragam sekolah?

Menurut beliau, di sekolah dalam negara ini, pakaian seragam adalah menjadi peraturan yang wajib dipatuhi oleh pelajar sekolah bagi mewujudkan keseragaman dalam berfikir dan bertindak. Melalui pakaian seragam, semua pelajar dilihat sama dari sudut status sosio-ekonomi dan ini dapat memupuk rasa kekitaan sesama pelajar. Suatu masa dulu, pelajar lelaki dari sekolah rendah hinggalah ke Tingkatan 3 sekolah menengah rendah, pelajar lelaki tidak dibenarkan memakai seluar panjang. Manakala, pelajar perempuan pula memakai pakaian “pinafore” yang panjangnya hanya sampai ke paras lutut sahaja khususnya sekolah-sekolah di bandar dan pekan. Hasil kesedaran Islam dan meningkat literasi agama di pertengahan 70an, berlaku tuntutan dari rakyat Muslim yang mahukan pakaian seragam sekolah menutup aurat pelajar Muslim lelaki dan perempuan. Mulai 1980an, pelajar lelaki sudah dibenarkan memakai seluar panjang dan memakai baju Melayu Kebangsaan pada hari Jumaat, dan pelajar perempuan pula dibenarkan memakai baju kurung dan bertudung.

Baju Melayu Kebangsaan Sesuai Dijadikan Seragam Sekolah

Jelasnya, Baju Melayu Kebangsaan adalah busana Melayu. Baju kurung dan tudung adalah juga busana Melayu. Busana itulah lambang jati diri orang Melayu Muslim di sekolah. Ia sesuai menjadi pakaian seragam dari sudut reka bentuk dan warna yang sama. Busana Melayu tradisi tidak menjadi pakaian seragam di sekolah kerana ia boleh membawa kepada ketidakseragaman dan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan golongan sosio-ekonomi yang berbeza. Berseluar panjang dalam kalangan pelajar lelaki di sekolah selepas 1990an sudah diterima pakai sebagai pakaian seragam di sekolah tanpa mengira agama atau kaum. Begitu juga dengan fenomena pelajar perempuan Melayu Islam sudah mula tinggalkan pakaian “pinafore” yang mendedahkan aurat.

Orang Melayu Malu Dengan Pakaian Yang Mencerminkan Budaya Bangsa Mereka

Tambah Prof Dr Supyan Hussin lagi, Sosialisasi ialah adalah proses mendidik, mengasuh, membentuk dan memimpin ahli masyarakat untuk lakukan sesuatu mengikut kehendak atau jangkaan masyarakat. Dengan memenuhi permintaan dan tuntutan dalam proses sosialisasi itu, ahli masyarakat mula menghayati gelagat, perbuatan dan sikap yang menjadi trend. Kalau trend itu kuat dipengaruhi oleh budaya asing atau budaya kuning, maka ahli masyarakat akan menerimanya nilai-nilai budaya asing. Tetapi jika ada pemimpin masyarakat atau individu yang prihatin terhadap kepentingan berpegang kepada jati diri Melayu Islam, maka barulah ahli masyarakat yang mahu memulihara, memartabat dan melestarikan busana Melayu dalam pakaian harian. Psikologi pemikiran orang yang pernah “jajah” akan sentiasa merasakan apa yang dibawa atau dihayati oleh barat adalah suatu yang baik dan moden, manakala apa juga yang ada pada diri sendiri atau dari bangsa sendiri dilihat sebagai negatif dan ketinggalan zaman. Apabila individu Melayu Islam menjadi lemah dalam menghayati lambang jati diri Melayu Islam, maka busana bangsa tidak lagi dihargai dan tidak menjadi kebanggaan oleh orang Melayu sendiri.

Budaya Melayu Berpaksikan Tiga Elemen Utama

Beliau berkata, Akal Budi Melayu iaitu sikap dan pemikiran orang Melayu mempunyai nilai-nilai yang jelas dalam budaya Melayu berpaksikan tiga elemen utama: Sejarah, sistem kepercayaan dan falsafah orang Melayu. Antara nilai-nilai dalam Akal Budi Melayu ialah akomodatif, asimilatif, luwes, dan menghormati orang lain. Nilai-nilai ini amat terserlah dalam diri orang Melayu sehingga mereka mudah beri ruang dan peluang kepada orang asing dan budaya asing untuk “hidup bersama” dalam masyarakat Alam Melayu. Orang Cina boleh hidup dalam kampung Melayu dan boleh berniaga dengan jayanya dalam komuniti Melayu tetapi tidak sebaliknya. Orang Melayu boleh menerima makanan orang Inggeris, Cina dan India dalam masyarakat Melayu selagi mana ia patuh syariah. Orang Melayu boleh menerima pizza, yong tau fu, dan maruku dalam diet makanan mereka. Begitu juga, dengan pakaian barat dan pakaian dari bangsa lain yang diserap masuk dalam fesyen dan pakaian harian orang Melayu Islam selagi mana ia patuh syariah. Nilai-nilai dalam Akal Budi Melayu ini adalah baik tetapi ia harus istiqamah atau pegang rapi lambang jati diri Melayu Islam dalam pakaian bangsa, termasuklah busana Melayu. Kesedaran yang kuat terhadap pemuliharaan busana Melayu, pemartabatan dan pelestarian busana Melayu dalam kehidupan adalah penting bagi menjamin kekuatan bangsa Melayu. Jepun, China dan Korea menjadi satu negara dan bangsa yang maju dan kuat kerana mereka mengekalkan lambang atau elemen jati diri bangsa mereka. Mereka kekalkan bahasa mereka, aksara tulisan mereka, busana mereka, seni bela diri mereka, makanan tradisi mereka, dan adat resam serta adab dalam budaya mereka masing-masing. Jika mereka buang semua ini, maka jadilah mereka seperti orang barat dan mereka menjadi lemah dan tidak bermaya untuk bersaing dengan barat.

Masyarakat Melayu Islam Mula Serius Soal Berbusana

Justeru, kesedaran terhadap memulihara, memartabat dan melestarikan busana Melayu dalam kehidupan harian masyarakat Melayu Islam sudah mula kelihatan lebih serius di pertengahan tahun 2000. Ia berlaku apabila literasi maklumat mengenai busana Melayu semakin meningkat, akses kepada busana Melayu lebih mudah didapati, dan sambutan oleh NGO Melayu memakai busana dalam majlis-majlis mereka dan gabungan usaha individu dan NGO memakai busana Melayu pada hari-hari tertentu misalnya Hari Kebangsaan sambutan Merdeka 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September. Seterusnya keprihatinan pihak-pihak dalam institusi pendidikan awam yang mula menggerakkan pemakaian busana dalam majlis-majlis ilmiah seperti seminar, wacana, konvensyen dan persidangan kebangsaan dan antarabangsa semakin menarik minat ramai pihak untuk berbusana Melayu. Liputan media juga membantu meningkatkan literasi ilmu dan maklumat mengenai busana Melayu. Busana Melayu lengkap dengan sampin dan tanjak akan lebih dihargai dan dihormati jika ia dipakai pada setiap hari Jumaat untuk hadiri solat Jumaat setiap minggu. Pelancong akan berduyun-duyun mahu menyaksikan dan merakam foto dan video orang Melayu berbusana Melayu pada hari Jumaat selepas selesai solat Jumaat.

Kesedaran Tidak Cukup, Tanpa Ada Keberanian Dan Kuasa Politik Di Tangan

Hari ini, Kita masih ajar anak ke sekolah memakai tali leher walaupun negara ini bercuaca panas ? Apa kurangnya berbaju Melayu kalau panas itu bukan alasan?

Menurut beliau, kesedaran tentang jati diri Melayu dengan menerima busana Melayu sebagai lambang atau identiti sahaja tidak cukup, tanpa ada keberanian dan kuasa politik di tangan. Keberanian untuk memakai busana Melayu tradisi secara sukarela pada hari-hari tertentu, di majlis tertentu adalah pra-syarat kepada proses pemartabatan dan pelestarian busana Melayu. Tetapi pemartabatan dan pelestarian busana Melayu memerlukan kuasa politik atau kuasa pentadbiran yang boleh membuat dasar dan disusuli dengan peraturan yang disampaikan melalui pekeliling kepada pihak sekolah agar busana Melayu dihayati di sekolah. Kalau pihak atasan yang ada kuasa politik mengarahkan pelajar memakai tali leher di sekolah, maka pihak yang sama boleh membuat dasar baru dan aturan baru untuk merealisasikan pemakaian busana Melayu di sekolah.

3 Golongan Yang Boleh Mengambil Peranan Dalam Usaha Ini

Prof Dr Supyan Hussin menjelaskan, bagi memupuk minat ini, kita perlu fahami 3 golongan yang boleh mengambil peranan dalam usaha ini. Proses pemuliharaan, pemartabatan dan pelestarian busana Melayu memerlukan 3 golongan yang boleh dilihat.

Golongan pertama, ialah yang simpati dan jadi penyokong. Golongan ini suka dan minat dengan busana Melayu tradisi sebagai satu jati diri bangsa dan peradaban Melayu tapi mereka belum memakainya dengan sukarela.

Golongan kedua, ialah pendukung busana Melayu yang menjadi lambang jati diri bangsa. Golongan ini bersedia memakai busana secara sukarela dan mempunyai koleksi busana Melayu lengkap di rumah. Golongan ini juga mengambil bahagian memakai busana Melayu dalam program-program yang menggalakkan pemakaian busana Melayu.

Golongan ketiga, ialah pejuang yang mempromosi busana Melayu melalui penganjuran program dan perniagaan busana Melayu, membantu memudahkan akses kepada busana Melayu melalui rangkaian usahawan, tukang jahit, pengusaha, dan kedai-kedai yang menawarkan dan menyediakan busana Melayu lengkap termasuk aksesori; meningkatkan literasi busana Melayu dalam masyarakat; menggerakkan kerjasama dengan pelbagai NGO bagi memeriahkan pemakaian busana Melayu tradisi ini dalam masyarakat.

Golongan pejuang ini juga ialah orang yang mempertahankan maruah dan nama baik busana Melayu apabila ia diserang, dihina dan diperlekehkan. Pemupukan minat untuk memakai busana Melayu di sekolah mahupun universiti ini boleh bermula dari bawah dengan meningkatkan tahap kesedaran dan literasi yang tinggi, dan boleh juga bermula dari atas dalam kalangan pemimpin khususnya wakil-wakil rakyat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,”ujar Prof Dr Supyan Hussin mengakhiri perjelasannya.

Note: Macam mana Yb-Yb dan PM ada berani ubah dan jadi penggerak utama!

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker