Isu Semasa

Pakai Jubah Graduasi Semasa Konvokesyen Pamerkan Lambang Jati Diri Melayu?

Seorang siswazah berjalan di dalam dewan yang gah untuk menerima segulung ijazah dengan perasaan yang bangga dengan mengenakan jubah konvokesyen.

Ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan sama-sama datang untuk meraikan kejayaan itu.

Kehadiran mereka semua adalah demi mengucapkan Tahniah, berkongsi kegembiraan, kesyukuran kerana mendapat segulung ijazah.

Gambar diambil sebagai kenang-kenangan, sambil memegang skrol dan jambangan bunga, melontar topi di awan dengan teriakan puas.

Inilah gambaran senario yang sinonim berlaku ketika majlis konvokesyen berlangsung.

Jadi, apa masalahnya?

Tiada apa-apa masalah, namun ada seperkara yang perlu dilihat disini.

Apakah sebenarnya manfaat memakai jubah graduasi sewaktu majlis konvokesyen? 

Adakah ianya sekadar ikutan daripada budaya luar? Jika ya, mengapa kita terus menerus mengangkat budaya luar daripada budaya kita sendiri?

Kenapa tidak ditukar jubah graduasi ini dengan memakai busana Melayu itu sewaktu mengambil sijil ijazah di atas dewan?

Bukankah ianya sesuatu yang lebih bermanfaat daripada memakai jubah konvokesyen yang ternyata tiada manfaatnya bahkan secara tidak langsung ianya melenyapkan rasa bangga dengan identiti orang Melayu?

Ini adalah soalan yang perlu difikirkan oleh setiap akal orang melayu lebih-lebih lagi kepada yang berautoriti tinggi.

Jubah konvokesyen yang dipakai adalah sebagai simbol kebanggaan kepada bakal graduan ini kerana ianya simbolik kepada mereka bahawa ‘aku telah berjaya’.

Ianya juga sebagai simbolik kepada perubahan fasa dalam hidup mereka bahawa selepas daripada ini, mereka akan melangkah ke satu dunia yang baru iaitu pekerjaan.

Tidak salah untuk mempunyai rasa sedemikian, rasa bangga dengan pencapaian diri mereka namun persoalannya disini, mengapa perasaan ini tidak disertakan dengan semangat bangga dengan pakaian tradisional yang dikenakan atau lebih tepat lagi bangga dengan bangsa sendiri yang berjaya mengorak langkah.

Tidak dinafikan, rata-rata bakal graduan sewaktu majlis konvokesyen akan memilih memakai pakaian tradisional terutama bagi para siswi namun terpaksa menyorokkan pakaian mereka di bawah jubah graduasi itu.

Macam mana nak rasa bangga dengan pakaian dan bangsa sendiri kalau terpaksa sembunyi di bawah jubah besar itu?

Bayangkan, sekiranya sewaktu menerima segulung ijazah sewaktu majlis konvokesyen itu di asosiasi busana tradisional tanpa mengenakan jubah tersebut, secara  tidak langsung, perasaan berbangga dengan busana yang dipakai itu akan sekali gus dirasai semangatnya.

Ini tidak, dari sesi persekolahan lagi telah dihapuskan jati diri orang Melayu dengan memakai baju kemeja dan bertali leher, kemudian di peringkat universiti pula di pengakhirannya disudahi dengan pakaian bukan budayanya sendiri.

Orang Melayu nampaknya telah didoktrinkan dengan budaya-budaya luar dari mengangkat jati diri bangsanya sendiri, juga, mereka juga telah ditanam dalam diri mereka bahawa pakaian orang luar ini kelihatan lebih gah dari pakaian budaya mereka sendiri.

Sudahla pula, dengan iklim khatulistiwa negara ini menyebabkan pemakai jubah-jubah yang berat dan tidak menyalurkan aliran udara ini berada dalam situasi yang tidak selesa sewaktu sepanjang aktiviti pengijazahan ini berlaku.

Lebih-lebih lagi sewaktu sesi bergambar di luar dewan, dengan ketiadaan mesin yang membantu meredakan kepanasan dan terpaksa menyidai diri di bawah terik matahari yang membakar hati.

Jadi bila masanya pembentukan jati diri orang melayu ini dapat dilakukan sekiranya dari peringkat sekolah hatta di peringkat universiti sekalipun tidak ada peluang untuk memartabatkan salah satu identiti bangsa ini.

Jika nak diharapkan, hanyalah sewaktu majlis-majlis perkahwinan dan hari raya sahaja senario berbusana ini dapat dilihat, itu pun tidak selengkap yang seharusnya, dengan bertanjak dan sebagainya.

Namun demikian, ada juga anak muda yang berinisiatif untuk menaikkan kembali martabat jati diri bangsanya dengan memakai tanjak dan berbusana seperti yang dilakukan oleh seorang graduan produk universiti luar negara.

Beliau berani untuk menampilkan dirinya sebagai seorang anak Melayu dengan mengenakan busana lengkap sewaktu majlis konvokesyennya di universiti luar negara.

Secara tidak langsung, anak muda ini telah mempromosi busana Melayu kepada orang-orang di luar negara dan sudah semestinya beliau merasa bangga dengan pencapaiannya sebagai seorang anak Melayu.

Semangat inilah yang perlu kita terapkan dalam setiap pelajar di dalam Malaysia yang tidak malu untuk mengangkat identiti bangsanya sendiri.

Namun demikian, hal ini bukan sahaja diperlukan perhatian daripada orang awam, tetapi ianya perlu ditangani kepada peringkat yang lebih tinggi.

Pihak autoriti seharusnya memandang isu ini dan ia adalah sesuatu perkara yang haru dipertimbangkan walaupun ianya nampak remeh.

Kerana apa?

Kerana selain bahasa, pakaian juga merupakan lambang kepada sesuatu bangsa.

Walaupun negara ini telah merdeka beberapa puluh tahun yang lalu, namun cengkaman penjajahan itu sebenarnya belum benar-benar terlepas.

Inilah penyebab utama kenapa hingga kini isu identiti banga Melayu tidak pernah selesai.

Dari seremeh-remeh perkara hinggalah ke sebesar-besar perkara.

Tambah pula, sikap orang melayu yang selalu bertoleransi ini menjadi sesuatu perkara yang disenangi oleh orang lain hingga ada yang mengambil kesempatan sampai orang melayu dihimpit secara fizikal dan mentalnya.

 

 

 

 

 

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker