Isu Semasa

Pablo Amirul Dakwa Pernah Sesat, Ikuti Ajaran Millah Abraham Gara-Gara Seorang Wanita!

Seorang pelakon yang mula meningkat namanya menerusi filem Polis Evo, Pablo Amirul mengakui telah masuk dan mengikuti sebuah ajaran sesat yang dikenali sebagai Millah Abraham.

Ujar Pablo atau nama sebenarnya Amirul Hisyam Mohd Sakri, 32, dia masuk dan mengikuti ajaran itu gara-gara seorang wanita yang dipercayai kekasihnya dan berkhidmat sebagai juruterbang.

Pablo dalam sebuah video mendedahkan perkara ini apabila tidak berpuas hati terhadap seorang bekas speaker Dewan Rakyat yang dikatakan telah ‘sailang’ kekasihnya itu.

Mengapa Ajaran Millah Abraham Adalah Sesat?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Ugama Islam Malaysia Kali Ke-109 mendapati Millah Abraham membawa ajaran Islam baharu.

Golongan Millah Abraham mendakwa bahawa Kerajaan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah lama jatuh sejak tahun 1324 Hijri.

Setelah kejatuhan Islam pada 1324 Hijri, pengikut Millah Abraham mendakwa bahawa golongan musyrik termasuk para ulama’ telah membawa ajaran Islam yang palsu dan hendaklah bertaubat dengan memilih kembali deen Millah Abraham @ Ibrahim.

Dakwa Ada Rasul Selepas Nabi Muhammad SAW

Pengikut Millah Abraham mendakwa wujud rasul selepas Nabi Muhammad SAW kerana ajaran ini mentafsirkan bahawa Allah SWT mengutuskan Rasul dalam kalangan kaum mereka sendiri untuk memudahkan kaum tersebut memahami dan mengajar mereka untuk keluar daripada kesesatan.

Maka, Ahmad Mushaddeq kononnya adalah Rasul Millah Abraham yang diutuskan dari dalam kalangan bangsa Melayu Nusantara ini mengenai agama yang benar selain berpegang maksud Khataman Nabiyyin adalah kesempurnaan deen pada zaman Nabi Muhammad dan bukanlah penutup segala nabi.

Campur Aduk Pelbagai Kitab

Ajaran sesat Millah Abraham mencampuradukkan ajaran dalam al-Quran, Bible dan Taurat (Perjanjian Lama).

Selain terjemahan al-Quran, kumpulan ini juga menggunakan kitab Taurat dan Injil (Bible Perjanjian Lama dan Baru) dalam pengajian mereka kerana dalam al-Quran telah membenarkan kitab sebelum al-Quran dan juga menerangkan bahawa kitab Taurat dan Injil sebagai panduan.

Penyelewengan Konsep صراط المستقيم (Sirotol Mustaqim).

Maksud صراط المستقيم dalam ajaran Millah Abraham adalah merujuk kepada jalan yang benar, iaitu dengan mengambil pengajaran daripada kitab-kitab Allah dan melalui sejarah di zaman Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad.

Justeru, hanya satu jalan sahaja yang perlu wujud untuk mengabdi kepada Tuhan, iaitu melalui ajaran Millah Abraham.

Pengikut Ajaran Millah Abraham dikehendaki mempelajari kitab-kitab terdahulu juga sebagai sumber pelajaran kerana sirotol mustaqim ada ciri-cirinya tersendiri dan perlu dipelajari melalui kitab-kitab Allah.

Penyelewengan Konsep Hari Kiamat

Hari Kiamat dalam Ajaran Millah Abraham adalah merujuk kepada perkataan “qiyam”, iaitu bangkit atau tegak dan tidak ditafsirkan Hari Kiamat adalah hari kehancuran, kerana Hari Kiamat hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja.

Perkataan qiyam dalam ayat ini merujuk kepada keperluan untuk menegakkan agama.

Setelah zaman satu-satu umat telah habis, maka akan ada rasul baharu yang akan menegakkan deen bagi umat pada zaman tersebut. Sistem ini silih berganti sehingga keputusan Allah untuk menamatkan dunia ini.

Penyelewengan pemahaman Darussalam atau Syurga

Ajaran Millah Abraham berpegang bahawa Darussalam itu ada di atas muka bumi, iaitu ‘Dar’ = tempat atau kehidupan dan ‘as-salam’ = yang mensejahterakan atau damai sejahtera.

Maka Darussalam itu adalah simbol kepada model kehidupan yang damai sejahtera di atas muka bumi yang wujud apabila sistem Tuhan ditegakkan; iaitu melalui Ajaran Millah Abraham.

Meninggalkan Solat Lima Waktu dan Solat Jumaat

Pengikut Ajaran Millah Abraham tidak melaksanakan Solat Fardhu yang diwajibkan ke atas semua mukallaf.

Mereka mengatakan solat itu merujuk kepada “sillah”, iaitu hubungan dengan ajaran Millah.

Makna lain ialah bersungguh-sungguh menegakkan deen melalui Millah Abraham, bukan maksud solat yang dilakukan oleh orang Islam.

Bertentangan Dengan Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Sehubungan itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Ugama Islam Malaysia Kali Ke-109 yang bersidang pada 18-19 Oktober 2016 memutuskan pandangan hukum bahawa ajaran Millah Abraham @ Ibrahim menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak

Justeru, orang Islam hendaklah menjauhi ajaran Millah Abraham @ Ibrahim dan dilarang berpegang serta beramal dengannya.

Mana-mana orang Islam yang telah berbai’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT.

Semua bentuk pengajaran, penerbitan dan pengedaran bahan-bahan ajaran Millah Abraham@ibrahim melalui apa jua medium hendaklah disekat, dihenti dan diharamkan serta merta.

Dakwaan Pablo Adalah Pada 2022

Disebabkan Pablo baru membuat kenyataan pada Disember 2022, jelas bahawa gerakan menyebarkan ajaran tersebut rancak dilaksanakan tanpa pengetahuan pihak berkuasa agama.

Meskipun ia telah diputuskan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak, kegiatan mereka jelas gagal dibendung.

Sehubungan itu, ramai umat Islam di negara ini berharap Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang dipilih menerajui portfolio agama dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat bertindak tegas atas perkara ini berdasarkan bidang kuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Pautan e-SMAF – Tajuk : Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau Seumpamanya

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Dapatkan Kandungan Demi Malaiu Sekarang!
Terima Notifikasi Setiap Kali Kami Siarakan Kandungan Baru