BudayaSejarah

Orang Melayu Tiada Identiti, Ciplak Tarian Menora Dari Orang Thai?

Tarian Menora adalah salah satu bentuk seni persembahan tradisional yang kaya dengan elemen tarian, nyanyian, dan drama.

Tarian ini memiliki akar yang mendalam dalam budaya masyarakat Melayu dan Siam di wilayah utara Malaysia dan selatan Thailand.

Tarian ini berasal dari wilayah lama Melayu Segenting Kra yang merangkumi bahagian utara Semenanjung (Kedah, Santun, Trang, Krabi, Phuket, Phang-Nga dan Ranong), negeri-negeri Pantai Timur Malaysia dan Thailand Selatan.

Keunikan dan keindahan tarian ini tidak hanya terlihat dari gerakannya yang lemah gemalai, tetapi juga dari cerita-cerita mitologi yang dibawakan melalui persembahannya. 

Perkataan ‘manora’ atau ‘menora’ dikatakan berasal dari Jataka dalam tradisi agama Buddha mengenai seorang puteri ‘kinari’ (makhluk separuh manusia – separuh burung kayangan) yang bernama Manora yang telah jatuh cinta pada Phrak Shuthon, seorang putera manusia.

Perhiasan pakaian Manora terdiri dari mahkota yang disebut Kecopong, kuku panjang perak dipanggil Canggai, baju manik atau Laa, dan ‘ekor Manora’ yang dikenali sebagai Sayap Sandang.

Alat muzik yang mengiringi pertunjukan Menora adalah terdiri daripada gong, gendang, geduk, gedumbak, canang, kesi, serunai, dan cerek.

Pada 2021, tarian Menora telah diiktiraf rasmi memasuki senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Manusia negara Thailand oleh UNESCO.

Namun sebenarnya, adakah betul Tarian Menora ini milik asli negara Thailand?

Seperti yang kita tahu sejarah ditulis oleh pihak yang menang.

Tahukah anda Orang Thai merupakan antara imigran termuda ke Indochina ini jika hendak dibandingkan dengan orang Mon, Melayu, Khmer, Cham dan Pyu?

Orang Thai itu sendiri dikatakan datang dari Selatan China dan datang berhijrah ke Asia Tenggara sekitar pada 6-7 Abad Masihi.

Tentunya mereka bukanlah orang Austronesia seperti kebanyakan kaum di Indochina. Bukti sejarah ada juga menunjukkan ketika Orang Thai menjarah tanah untuk meluaskan kuasanya dari utara Thai (Sukhothai) hinggalah ke Ayutthaya, mereka banyak mencedok adat budaya kerajaan-kerajaan sekelilingnya supaya dapat membentuk identiti negara bangsa Thai.

Menurut Encik Haji Tharuwat, seorang Adiguru Tarian Menora, seni tari ini dikatakan berasal dari Narathiwat yang dahulunya merupakan sebahagian daripada kerajaan Kelantan.

Apabila kerajaan Siam (Chakri) menguasai kawasan tersebut Narathiwat atau nama lamanya, Menara, telah terpisah dengan Kelantan melalui Perjanjian Anglo Siam pada tahun 1909.

Beliau juga mengatakan tarian Menora merupakan hak warisan orang Melayu yang harus dipertahankan kewujudannya dari hilang ditelan zaman.

Terdapat juga sumber lain daripada Su Choon, seorang guru Menora dari Thailand. Beliau mengatakan Menora asalnya dari Thailand iaitu ia berasal dari Ligor atau juga dikenali dengan Sri Dharmaraja dan Tambralingga yang dahulunya merupakan sebahagian dari Kerajaan Segenting Kra merangkumi Selatan Thailand dan Utara Tanah Melayu. 

Kerajaan Ligor telah wujud pada 400 tahun Masihi dan telah hilang apabila orang-orang Utara menguasai kerajaan tersebut.

Siapakah orang Utara yang dimaksudkan ini?

Tentunya orang Thai yang datang dari Selatan China turun ke bawah untuk menjarah tanah negeri-negeri Melayu Segenting Kra. Orang Thai telah datang dan menakluki kawasan itu sekarang jadi oleh sebab itu ramai yang menganggap mereka pelopor atau pencipta Menora ini.

Baca juga>> Melayu yang Terikut

Selain itu, terdapat beberapa bukti lain yang menunjukkan Menora asalnya dari orang Melayu apabila terdapat dua kecopong atau ketopong di dalam Menora iaitu Kecopong Melayu dan Kecopong Siam.

Kecopong Melayu dikatakan berasal dari negeri-negeri Melayu Segenting Kra. Rupa bentuk Kecopong Melayu adalah berbentuk bulat, mempunyai pom-pom, mempunyai telinga dan subang serta mempunyai 16 pakaian lengkap.

Manakala Kecopong Siam pula tidak mempunyai pom-pom, bertingkat-tingkat dan tajam seperti pucuk rebung seperti banyak dipakai Raja-raja Angkor.

Sejarah pemakaian kecopong di kalangan orang Melayu bermula dari abad pertama Masihi lagi iaitu lebih lama dari orang Thai mahupun orang Lao di Laos.

Pemakaian kecopong juga dikatakan tiada kaitan dengan agama Buddha dan banyak dipakai sebagai mahkota oleh Raja-raja Langkasuka dan Kedah Tua.

Tarian Menora adalah lambang kekayaan budaya dan warisan yang tidak ternilai.

Melalui usaha pemeliharaan dan promosi yang berterusan, diharapkan tarian Menora akan terus hidup dan dihargai oleh generasi masa kini dan masa hadapan

Lihat lagi

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker