BudayaSejarah

Orang Melayu Pandai Menjinak Gajah

Gajah telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan orang Melayu. Pada zaman dahulu, gajah sering digunakan dalam kerja-kerja berat seperti menarik kayu balak dan juga dalam upacara adat serta perayaan istana. Ada juga yang dijadikan sebagai binatang peliharaan. Keperluan untuk menjinakkan dan melatih gajah memerlukan kemahiran khas yang diwarisi turun-temurun. Jadi tidak hairan jika orang Melayu memiliki ilmu menjinak haiwan-haiwan liar seperti gajah.

Menurut E.H Schafer (1957) terdapat catatan mengenai juak-juak Melayu yang diarahkan oleh Kerajaan Maharaja Fei dari Wei Barat (China) untuk menggembala 2 ekor gajah dari Lingnan (kini China Selatan dan Vietnam) pada tahun 554. Gajah-gajah tersebut dikatakan dilengkapi dengan rengga kayu dan pedang gading. Malah, kerajaan Langkasuka sering menghantar ufti kepada Maharaja Cina dengan menggunakan gajah menurut catatan dari China. Dalam rekod Maharaja Ming pula ada menulis tentang rombongan dari Melaka yang diketuai oleh Laksamana Melaka menghadiahkan beberapa ekor gajah kepada Maharaja Ming sekitar tahun 1481.

Frank Swettenham merupakan seorang Residen-Jeneral pertama Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Beliau pernah menulis beberapa buah buku dan antaranya adalah ‘Malay Sketches’ dan ‘The Real Malay’. Di dalam buku-buku tersebut, ada menyebut tentang gajah yang digunakan oleh orang Melayu sebagai pengangkutan mahupun adat istiadat istana. Menurut Swettenham juga, proses menjinakkan gajah adalah proses yang sukar dan memerlukan kesabaran serta kebijaksanaan untuk melakukannya. Di dalam bukunya, ‘The Real Malay’ ada menyebut mengenai orang Melayu di Perak serta kemahiran mereka dalam menjinakkan dan membela gajah.

Terdapat beberapa buah buku tentang ilmu menjinakkan gajah telah ditulis antaranya ‘Mantera Gajah’ dan ‘Petua Gajah’. Naskah Mantera Gajah yang bertulisan Jawi ini dikatakan milik Dato Seri Andika Raja atau dikenali juga sebagai Orang-orang Kaya Seri Andika Raja. Berdasarkan naskah ‘Mantera Gajah’ dari Hulu Perak ini dapat membuktikan yang orang Melayu mahir cara-cara menundukkan dan menjinakkan gajah dan tradisi ini diturunkan turun temurun.

Di dalam naskah ‘Mantera Gajah’ terdapat 4 bahagian utama. Bahagian pertama mengandungi tentang jampi serapah serta amalan yang digunakan untuk melembutkan hati gajah liar serta menjinakkan mereka. Mantera diamalkan dipercayai mempunyai kuasa magis dapat menundukkan serta mengawal gajah tersebut supaya mengikut kata manusia. Antara petikan mantera di dalam naskah tersebut adalah “om darang muaknya darang darang langli telun changku kau kusa mu hatiku akan chuca mu lidah kau akan sangkal mu tendurung ke kanan tendurung ke kiri tunduk cinta kepada kau puah rab”. Mantera ini dipercayai berasal dari Siam berdasarkan tulisan Swettenham dalam ‘The Real Malay’.

Baca juga>> Dasar Integrasi Menjadi Punca Perpaduan Dibina Tidak Pernah Kukuh?

 

Bahagian kedua di dalam ‘Mantera Gajah’ pula berkisarkan tentang cara mengubati penyakit-penyakit gajah seperti sakit mata, kulit dan sebagainya. Pelbagai herba dan tumbuh-tumbuhan digunakan untuk merawat gajah-gajah tersebut. Contohnya seperti jika mata gajah tersebut berair, “maka ambil buah mating bakar hangus-hangus, maka asah dengan air limau nipis, maka bubuh pada mata gajah itu”.

Bahagian ketiga pula mengandungi petua untuk memelihara gajah seperti supaya sentiasa sihat, memiliki gading yang cantik, gemuk, berani dan sebagainya. Antara petua yang terdapat di dalam buku tersebut adalah “ambil kulit badak dan garam Siam, maka rendamkan kulit badak itu dan garam Siam itu kepada air madu, maka beri gajah itu barang tiga hari”.

Pada bahagian keempat pula adalah tentang cara menghalau hantu serta jembalang rimba. Ini kerana gajah akan ditangkap di tengah-tengah rimba di mana tempat yang banyak jembalang dan penunggu. ‘Pawang gajah’ merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menangkap, memburu dan menjinakkan gajah. Pawang gajah juga dikenali sebagai bomoh kerana kemahirannya untuk mengubati penyakit-penyakit gajah serta cara menghalau hantu jembalang.

Masyarakat Melayu dengan alam flora dan fauna tidak dapat dipisahkan. Kebijaksanaan orang Melayu dalam pelbagai ilmu berkaitan haiwan serta tumbuh-tumbuhan tidak disangkal lagi. Dengan kebolehan ini bukan saja mencerminkan kesabaran serta kecerdasan orang Melayu bahkan tentang kepakaran yang diwarisi turun-temurun. Kepakaran ini juga menjadi simbol keharmonian antara orang Melayu dan alam.

Menarik: Asal Bangsa Melayu Adalah Bangsa Berniaga!

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker