Isu SemasaSejarah

Orang Melayu, Orang Asal Dan Pendatang Yang Diterima, Semuanya Rakyat Raja Melayu

Semua yang bergelar warganegara Malaysia adalah rakyat yang wajib patuh, taat dan setia kepada Raja Melayu

Susulan penulisan berkisar tajuk Pengasas Asalkan Bukan UMNO (ABU) Tersasar Maksud ‘Sekular’, penulis seterusnya bertanyakan kepada Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Pengasas Jurisprudens Watan yang berkhidmat di Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkenaan asas pembentukan dan sejarah negara Malaysia.

Menjawab kepada persoalan berkenaan Orang Melayu sebagai bangsa teras dan pribumi Tanah Melayu, beliau yang lebih mesra disapa Datuk Wan menerangkan bahawa istilah ‘Bangsa Melayu’ bermaksud ‘warganegara Tanah Melayu atau Malaya’.

Datuk Wan seterusnya menjelaskan istilah ‘bangsa’ (warganegara) dalam bahasa Inggerisnya merujuk kepada ‘nationality’ dan boleh juga digunakan perkataan ‘citizenship’.

Istilah ‘Bangsa Melayu’ yang disebut dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 membawa maksud ‘rakyat Raja Melayu’. 

Menurut Datuk Wan, ‘rakyat Raja Melayu’ terdiri daripada orang Melayu, orang asal dan mereka yang diterima sebagai rakyat Raja di Semenanjung Tanah Melayu.

Justeru, ada perbezaan antara istilah Bangsa Melayu dengan Orang Melayu.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, kedudukan istimewa Orang Melayu dan kaum Bumiputera seperti anak-anak negeri Sabah dan Sarawak serta Orang Asli adalah terpelihara. Begitu juga kepentingan sah kaum-kaum lain yang kini menjadi warganegara Malaysia.

Ini kerana kumpulan etnik tersebut telah diperkenankan menjadi ‘rakyat Raja Melayu’, atau istilah modennya ‘warganegara Malaysia’.

Oleh yang demikian, selagi ada pihak yang anggap Bangsa Melayu hanya Orang Melayu dan Bangsa Malaysia tidak wujud, selagi itulah pemupukan elemen Melayu sebagai jati diri dan pengikat Bangsa Malaysia tidak mudah dicapai.

Bukan itu sahaja, Melayu akan dianggap ‘rasis’ kerana perjuangan Orang Melayu akan dilihat sebagai satu perjuangan kumpulan tertentu sahaja, walhal Melayu dan Malaysia tiada bezanya yang berpangkal pada tanah dan kepulauan Melayu yang didiami oleh warganegara Malaysia pada hari ini.

Pada hakikatnya Melayu adalah jati diri watan warganegara Malaysia khususnya di Semenanjung Tanah Melayu, di samping jati diri anak negeri Sabah dan Sarawak seperti yang terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kerana itu, apabila kita mentakrifkan Bangsa Malaysia berdasarkan prinsip Perlembagaan Persekutuan, insya Allah jati diri Melayu boleh menjadi landasan perpaduan nasional dan seterusnya ‘rasa kekitaan’ lebih mudah dipupuk.

Baca juga Siapa Kata Melayu Pendatang Sudah Tentu SPM Sejarah Gagal! Ini sebabnya

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok Demi Malaiu. Sertai Telegram kami DI SINI untuk kandungan yang menarik dan membangkitkan jati diri bangsa!

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker