Isu SemasaSejarah

NGO Sepakati Video Promo Festival George Town Nafi Kewujudan Kebudayaan Melayu?

Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gagungan) kesal dengan penyiaran video promosi sambutan ‘George Town Festival 2024’ yang didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India.

Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata klip video bertemakan “Here and Now” itu nyata tidak mempromosikan semangat muhibah dan masyarakat Madani di Pulau Pinang kerana seolah-olah menafikan kewujudan budaya kaum Melayu di negeri itu.

“George Town Festival diadakan pada setiap tahun sejak 2010 sempena pengisytiharan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan festival ini bertujuan untuk merayakan dan memelihara seni dan budaya serta warisan tempatan.

“Kejayaan festival ini tidak dinafikan mempromosi George Town sebagai destinasi pelancongan dalam dan luar negara.

“Namun hal ini dilihat telah membawa implikasi yang mengecewakan beberapa pihak khususnya masyarakat Melayu yang menjadi salah satu teras dalam pembinaan masyarakat di George Town,” katanya dalam kenyataan media.

Mohd Yussof menambah masyarakat Melayu Pulau Pinang khususnya pemain-pemain seni budaya Melayu melihat pihak penganjur tidak serius dengan peranan seni, budaya dan warisan Melayu tempatan.

Dakwa beliau, hal ini kerana aktiviti-aktiviti atau persembahan-persembahan seni dan budaya Melayu tidak diberi tempat yang sewajarnya.

Malah, beliau memaklumkan seorang ahli Gabungan telah menghubungi pegawai kanan penganjur bagi mendapat penjelasan mengenai isu itu, tetapi didakwa menerima jawapan yang bersifat “biadab”

“Pegawai itu (didakwa) berkata seni kebudayaan Melayu tidak mempunyai bahan untuk dipromosikan.

“Pemenang dan Gabungan telah memerhati dengan cukup sabar aktiviti-aktiviti Festival George Town sekian lama dan mendapati penglibatan seni dan budaya Melayu sangat terhad dan terpilih,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Yussof berkata Kerajaan Pulau Pinang melalui George Town World Heritage Incorporated wajar bertindak dengan penuh tanggungjawab.

Baca juga>> Raja Melayu, Bina Candi Angkor Watt, Orang Khmer Dapat Nama?

Kerajaan negeri, juga katanya harus mengambil tanggungjawab atas kealpaan itu dan bertindak jujur untuk memperbaiki kesilapan yang berlaku dan menjamin supaya kesilapan sedemikian tidak berulang lagi.

Video klip teaser itu didakwa tersebar luas dalam media sosial bagi mempromosikan “George Town Festival” yang dijadual berlangsung pada 19 Julai hingga 28 Julai depan.

Bagaimanapun, difahamkan klik video berdurasi hampir dua minit itu telah dipadam.

Terdahulu, tular klip video mempromosikan ‘George Town Festival ‘yang akan esok mendapat kritikan ramai termasuk parti politik apabila tiada budaya masyarakat Melayu ditonjolkan sebaliknya hanya budaya Masyarakat Cina dan India.

Beberapa individu dan pertubuhan dilihat lantang menyuarakan kritikan antaranya Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang menerusi Ketua Penerangannya Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Fawaaz berpendapat, video itu tidak mempromosikan semangat masyarakat Pulau Pinang malah ia dilihat seolah-olah menafikan kewujudan budaya masyarakat Melayu di negeri yang mendapat jolokan Pulau Mutiara itu.

Malah isu ini turut mendapat perhatian ADUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang meminta pihak terlibat untuk lebih peka dan sensitif.

Jelasnya tindakan tidak menyertakan klip seni budaya orang Melayu seolah-olah mahu menafikan sumbangan orang-orang Melayu kepada warisan dan sejarah negeri.

“Ia jelas satu naratif yang tidak inklusif dan tidak mempamerkan kepelbagaian warisan George Town yang sebenar.

“Pada masa kita menyokong usaha keras mempromosi George Town sebagai destinasi tapak Warisan Dunia yang wajar dikunjungi oleh warga antarabangsa dan menggalakkan perkembangan Ekonomi Kreatif di Pulau Pinang, kita menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan penganjur George Town Festival 2024 yang dilantik supaya lebih peka dan sensitif dengan kepelbagaian seni dan budaya kaum-kaum yang ada di Pulau Pinang.

“ Khilaf sudah berlaku dan sukar dilupakan walaupun video sudah diturunkan. Harap tidak berlaku lagi di masa depan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Menarik: Video Teaser Georgetown Festival 2024 Yang Dipadam

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker