Isu Semasa

Negara Malaysia berikrar memelihara Islam sepanjang masa

Tidak dapat dinafikan bahawa Perkara 4 mengangkat Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ini tidak menafikan ketinggian Islam itu sendiri kerana antara perkara utama yang dijulang oleh Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi tentulah turut meliputi agama Islam sebagai agama negara dalam Perkara 3. Ketinggian Islam sebagai asas kenegaraan Malaysia juga terserlah dalam ikrar Yang di-Pertuan Agong ketika ditabalkan sebagai pemerintah tertinggi Negara (The Supreme Head of Federation).

Ikrar baginda termaktub dalam Jadual ke 4 Perlembagaan Persekutuan, iaitu untuk sentiasa mempertahankan agama negara iaitu Islam;

“Kami……………….ibni………………. Yang DiPertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan: Wallahi:Wabillahi:Watallahi;

Maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan perlembagaan yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini. Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.”.

Ikrar tersebut sekaligus membentuk tanggungjawab terhadap semua pihak yang terlibat dalam pemerintahan dan pentadbiran. Pihak yang dimaksudkan ialah sama ada eksekutif, kehakiman mahupun juga perundangan yang bertanggungjawab untuk menjadikan ikrar YDPA bagi mempertahankan agama Islam serta kedaulatan undang-undang sebagai misi utama negara.

Pematuhan terhadap prinsip Islam dalam agenda pemerintahan negara merupakan kemestian. Hal ini disebabkan agenda terpenting negara ini ialah mempertahankan Islam dan kedaulatan undang-undang.

Prinsip ini juga terpakai dalam penggubalan dasar dan undang-undang negara yang perlu dilaksanakan berdasarkan roh agama atau ideologi negara.

Dasar dan perundangan yang berpaksikan sekularisme adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Dasar yang berpaksikan sekularisme itu bukan hanya secara khusus bercanggah dengan Perkara 3(1), malah juga suatu bentuk sanggahan terhadap sumpah Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 37(1) yang dibaca bersama Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

Negara Malaysia sepanjang masa berikrar kepada Allah SWT untuk memelihara agama yang diredai-Nya, iaitu agama Islam. Jika bukan disebabkan Islam merupakan asas utama negara ini, bagaimana mungkin Perlembagaan Persekutuan mewajibkan Ketua Tertinggi Negara untuk melafazkan sumpah sedemikian?

Islam mempunyai kedudukan yang istimewa di Malaysia dan diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan. Keistimewaan ini adalah konsisten dengan sejarah yang membuktikan undang-undang Islam telah digunapakai di negeri-negeri Tanah Melayu sejak awal kurun ke-14 lagi.

Islam juga secara turun-temurun merupakan agama yang dianuti oleh Raja-Raja Melayu dan majoriti penduduk asal negeri-negeri Tanah Melayu yang sejarahnya tercatat dalam undang-undang seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Laut Melaka, Undang-Undang 99 Perak yang digubal berdasarkan hukum Syarak.

Islam telah sebati dengan cara hidup masyarakat tempatan yang meliputi aspek perundangan, ekonomi, dan sosial ketika itu sehinggakan pihak Inggeris akur dan menerima hakikat bahawa Islam merupakan satu-satunya agama yang diiktiraf sebagai agama bagi negeri-negeri Tanah Melayu.

Perjuangan Yang Panjang Memelihara Keimanan – Kepercayaan Kepada Tuhan

Bertapa sejarah telah mencatatkan sebuah perjuangan dan jihad oleh Raja-raja dan pahlawan-pahlawan Melayu yang pada hakikatnya menjadi benteng utama menyelamatkan negeri-negeri Melayu termasuk Sabah dan Sarawak dari cengkaman penjajahan.

Bagaimanapun, pendekatan beberapa pakar-pakar sejarah yang menyerlahkan usaha-usaha di kalangan tokoh-tokoh politik Perikatan untuk mencapai kemerdekaan hampir melenyapkan sejarah perjuangan Raja-raja dan pahlawan Melayu yang berjihad menentang musuh agama Islam ini.

Walhal, hakikat sebenar sejarah membuktikan agama Islam telah berjaya membentuk Peradaban gemilang Kesultanan Melayu Islam di rantau Nusantara ini yang meliputi Benua Sunda sebelum kedatangan Imperialis Barat yang cuba menghancurkan keutuhan Etika Keimanan yang menjadi teras pembinaan Peradaban Kesultanan Melayu Islam.

Sejarah juga telah membuktikan betapa Raja-raja bersama pejuang-pejuang Melayu Islam berjihad menentang penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris, Siam dan komunis bagi memelihara keutuhan aqidah Islam umat Melayu Nusantara.

Justeru, Raja-raja Melayu telah memuktamadkan menerusi Perkara 3(1) Perlembagaan Negara ini tanpa sepatah pun istilah sekular dan agama Islam dimartabatkan sebagai Agama Negara tanpa ungkapan “rasmi”. Agama-agama lain pula boleh diamalkan dalam keadaan harmoni.

Termaktubnya Islam sebagai Agama Negara dalam Perkara 3 Fasal 1 iaitu Islam sebagai Agama bagi Persekutuan adalah suatu kejayaan memartabatkan kedaulatan Islam di tanahair tercinta ini.

Ia adalah rahmat Allah SWT yang tidak ternilai bagi bangsa Melayu yang mengharungi pelbagai rintangan dan liku-liku perjuangan sepanjang tempoh lebih 450 tahun sebelum mencapai kebebasan mutlak dan muncul sebagai sebuah Negara Persekutuan Tanah Melayu yang berdaulat dan Raja Berperlembagaan.

Hari ini, apakah kita harus mensia-siakan semua perjuangan dan pengorbanan Raja-raja dan Pahlawan-pahlawan Melayu terdahulu? Apakah yang mampu dilakukan jika kita terus berpecah belah? Bagaimana pandangan dan nasib generasi akan datang nanti jika hari ini hanya untuk meneruskan perjuangan pun kita sudah tidak mampu

Tanyalah kepada iman masing-masing! Lemah atau gagah.

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button