Beberapa pihak daripada Brunei, Singapura, Thailand dan Riau akan berkunjung ke Malaysia bagi berdiskusi tentang hala tuju serta kedudukan bahasa Melayu di ASEAN.
Menurut Pengerusi Biro Budaya Majlis Profesor Negara (MPN), Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, ia menjadi program pertama dalam mencari titik pertemuan.
“Setakat ini dalam media sosial, rakyat di kedua-dua negara seperti Malaysia dan Indonesia misalnya memberikan respon yang baik tentang perkara ini.
“Namun demikian, ada juga pemikir politik yang kurang tahu tentang pensejarahan asal dan bercakap tentang fakta yang kurang tepat ” katanya ketika dihubungi Demi Malaiu.
Bagi Abdul Latiff, perkara ini perlu dibawa berbincang dan ia bukan hanya melibatkan MPN atau Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) malah rumusannya akan diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri.
Abdul Latiff yang juga merupakan ahli sidang Demi Malaiu berkata demikian ketika mengulas cadangan program diskusi bersama para panel dari negara Asean selepas Aidilfitri depan.
Antara yang dijangka turut hadir dalam program berkenaan adalah Tan Sri Dr. Rais Yatim (Malaysia), Prof. Dr.H. Abdul Malik (Riau), Ruslan Kasim (Kemboja) serta ramai lagi.
Dalam pada itu, Abdul Latiff menegaskan program diskusi itu bukan sekadar dianjurkan untuk menjadi titik pertemuan dan merapatkan hubungan antara negara.
Malah untuk menyusun strategi agar setiap panel yang terlibat boleh memainkan penting kepada pemimpin di negara masing-masing tentang kedudukan bahasa Melayu ini.
“Dari segi geobudaya dan peradaban, bahasa Melayu adalah asas kepada bahasa-bahasa yang digunakan di rantau ini termasuklah di Indonesia, Kemboja, Brunei dan sebagainya.
“Jadi untuk menerangkan suasana seperti asal Bahasa Indonesia itu dari mana dan sebagainya akan cuba diperkemaskan dalam program diskusi berkenaan,” katanya.
Abdul Latiff juga berpendapat, sudah sampai masanya titik pertemuan tentang asal usul Bahasa Melayu dari sudut pensejarahan ini difahami umum demi kekuatan negara-negara ASEAN. – DEMI MALAIU