Agama

Nasihat Dan Peringatan Imam Al Ghazali Buat Orang Islam

Merunuti kembali lembaran sejarah Islam, nama Imam al Ghazali memang tidak asing lagi di bumi Melayu ini. Tokoh yang sangat masyhur dengan ketinggian ilmu dan nasihatnya. Namanya juga meniti di bibir ramai orang di seluruh dunia dengan panggilan Algazel oleh orang Barat. Tokoh ulama Islam itu terkenal dengan bait-bait nasihat beliau yang tidak ternilai harganya. Malah, ia tersemat kemas dalam ingatan dan sentiasa menjadi rujukan para ilmuan dan cendekiawan sepanjang zaman hinggalah ke generasi milenial pada hari ini.

Pemilik nama sebenar Abu Hamid Muhammad al-Ghazali itu lahir di bandar Tusi, Khurasan (Iran) pada 450 Hijrah bersamaan 1058 Masihi. Di atas ketokohan dan keilmuannya beliau mendapat banyak gelaran yang baik bagi menggambarkan ketinggian ilmu dan keperibadian akhlak beliau dalam menyampaikan ilmu, nasihat dan menyantuni semua golongan masyarakat di zamannya. Di antara nama-nama gelaran yang juga telah diberikan kepadanya ialah, Siraj al-Mujtahidin dan Zain al-Abidin dan beberapa lagi.

Sekiranya, riwayat hidupnya diperhalusi satu per satu, sesiapa pun akan menginsafi keupayaan, kesungguhan dan kecekalan Imam al-Ghazali dalam memperjuangkan agama dan ilmu. Tidak hairanlah mengapa beliau mendapat julukan ‘Hujjatul Islam’ kerana taraf keilmuannya yang tinggi.

Beliau juga merupakan seorang wali Allah yang besar dan lebih dikenali umum sebagai seorang tokoh pemikir Islam serta disepakati oleh para ulama’ sebagai al-mujaddid untuk kurunnya.

Kitab-kitab yang telah ditulis oleh beliau adalah amat banyak sekali dan telah dianggarkan melebihi 200 buah. Namun, yang masih kekal hingga ke hari ini hanyalah lebih kurang 50 buah sahaja. Kebanyakan daripada kitab-kitab ini telah ditulis di dalam bahasa Arab, dan ada juga yang telah ditulis di dalam bahasa Parsi.

Di antara kitab-kitab al-Imam Abu Hamid al-Ghazali yang lebih terkenal di negara Malaysia ialah, ar-Risalah al-Laduniyah, al-Munqidh Min ad-Dalal, Bidayah al-Hidayah, Minhaj al-Abidin, Mizan al-Amal, Kimiya’ as-Sa’adah, Misykah al-Anwar dan Ihya’ ‘Ulumiddin.

Antara Nasihat Terkenal Imam Al Ghazali Kepada Murid-Muridnya

Kisahnya, suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al Ghazali bertanya.

(1) “Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya. Imam Al Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “mati”. Kerana mati itu janji Allah SWT. Janji Allah Ta’ala bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

(Surah Ali Imran: 185)

(2) “Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”

 Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Al Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah “masa lalu”. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan bisa dan mampu untuk kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Islam.

(3) “Apa yang paling besar di dunia ini?”

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Al Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “nafsu”.

Nafsu yang menguasai diri menyebabkan manusia gagal menggunakan akal, mata, telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala untuk hidup berlandaskan kebenaran.

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”

(Surah Al-A’araaf: 179)

(4) “Apa yang paling berat di dunia ini?”

Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Al Ghazali, tapi yang paling berat adalah “memegang amanah.”

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

(Surah Al-Ahzab: 72)

Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya sanggup terima permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia dimasukkan ke dalam neraka kerana tidak mampu memegang amanahnya.

(5) “Apa yang paling ringan di dunia ini?”

Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Al Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan solat. Ramai dalam kalangan kita, kerana kerja, kerana urusan dunia, kerana hiburan, kita tinggalkan solat. Sedangkan tuntutan solat itu yang lebih utama.

(6) “Apakah yang paling tajam di dunia ini?”

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang. Benar kata Imam Al Ghazali, tapi yang paling tajam adalah “lidah manusia”. Kerana, dengan lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Walaupun nasihat ini sudah berkurun lamanya dihujahkan oleh Imam Al Ghazali namun ia masih malar segar dan kekal relevan untuk umat Islam akhir zaman ini terus mengambil iktibar dan menginsafi segala tindak tanduk kita di dunia ini.

Wallahualam,

Semoga bermanfaat.

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker