Isu Semasa

Nak Cari Pemimpin? Lantiklah Mereka Dalam Kalangan Pengembala – Hadis Rasulullah SAW

Ketika tiba di telaga air negeri Madyan, Musa AS melihat terdapat sekumpulan lelaki sedang memberi minum kepada binatang ternak masing-masing.

Selain sekumpulan lelaki berkenaan, terdapat juga dua beradik perempuan yang sedang menahan kambing-kambing mereka.

Nabi Musa AS bertanya: “Apa hal kamu berdua?”

Mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “.

Maka Musa AS pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata:

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan”.

Kemudian salah seorang perempuan daripada dua beradik itu datang mendapatkan Musa AS dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:

“Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”.

Maka ketika Musa AS datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya:

“Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu”.

Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata:

“Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah al-Qawiyyu al-Amin (orang yang kuat, lagi amanah)”.

Kisah ini tercatat dalam al-Quran bermula ayat 23 hingga ayat 26 menerusi surah al-Qasas dan pengajaran daripada peristiwa ini adalah cukup jelas iaitu pilihlah orang kuat dan amanah sebagai pengembala.

Iktibar kisah Musa AS usah dipandang enteng

Namun demikian, apakah kaitannya dengan orang yang kuat dan amanah serta pengembala? Daripada Ibnu Umar RA daripada Rasulullah SAW, bahawa baginda bersabda:

أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Ketahuilah, setiap kalian adalah pengembala (pemimpin), dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang digembalanya (dipimpinnya). Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggung jawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggung jawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggung jawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggung jawab atas kepemimpinannya.”

(HR Muslim No: 3408) Status: Hadis Sahih

Fahamkan maksud pengembala dan kaitannya dengan ciri-ciri pemimpin

Menurut ahli jawatankuasa Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Ustaz Engku Ahmad Fadzil Engku Ali, bagi pengembala kambing, yang dijaganya adalah kambing.

Manakala bagi pengembala manusia (pemimpin), sudah pasti yang dijaganya adalah manusia dan sebagai seorang pemimpin, mereka perlu ada ciri-ciri tersendiri.

“Jika pekerjaan mengembala kambing pun memerlukan dua kriteria, iaitu orang yang kuat dan amanah, apatah lagi orang yang memimpin manusia.

“Tetapi sudah tentu kekuatan yang disebutkan bukanlah kekuatan fizikal kerana jika melihat kepada ciri-ciri pengembala kambing, kita boleh membayangkan mereka mengangkat air, hendak ke bukit dan ke sana-sini.

“Itu semua memerlukan kekuatan fizikal. Tetapi kekuatan fizikal tanpa amanah juga boleh membawa mudarat,” kata Ustaz Engku Ahmad Fadzil dalam Perbincangan Rakyat Demi Malaiu.

Dalam Perbincangan Rakyat Demi Malaiu menerusi tajuk ‘Memo Rakyat: Pemimpin Yang Dimahukan’, pemimpin hari ini juga perlu kuat namun kuat itu dari sudut yang lain.

“Dalam konteks pemimpin sekarang, mungkin kekuatan fizikal itu bukan perkara utama tetapi lebih kepada kekuatan peribadi.

“Dengan adanya kekuatan peribadi, seseorang pemimpin itu boleh mengelak kecenderungan salah guna kuasa, melawan nafsu kepada menerima rasuah serta menolak syahwat kepada memfitnah.

“Sekarang ini mungkin ada yang kuat tetapi kuat apa? Kuat menipu, kuat berlakon, kuat berpolitik yang saling menjatuhkan dan berebut kuasa. Itu yang kita tidak mahu,” katanya.

Kemudian, masyarakat perlu mencari pemimpin yang memiliki ciri-ciri amanah kerana sifat ini merupakan satu komoditi yang sukar dicari pada masa kini.

“Kesukaran itu bukan sahaja timbul dalam kalangan mereka yang bergelumang dalam dunia politik, malah dalam kalangan sebahagian yang bergelar agamawan.

“Sehubungan itu, pemimpin yang mahu diangkat perlu ada kekuatan sahsiah peribadi dan kekuatan fikiran iaitu boleh berfikir dengan bijak supaya tidak mudah terpedaya.

“Dalam masa yang sama, pemimpin haruslah mempunyai kekuatan ilmu pengetahuan untuk berunding dengan dunia luar, bukan hanya politik dalaman sahaja, politik antarabangsa juga perlu dikendalikan dan yang paling penting, perlu ada amanah,” tegas Ustaz Engku Ahmad Fadzil.

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button