Agama

Nabi Bukan Berbangsa Arab Sahaja Sebaliknya Diangkat Dari Kepelbagaian Kawasan!

Majoriti umat akhir zaman yang kurang ilmu tentang sejarah dan pengetahuan mengenai sirah nabi akan berpendapat semua nabi turun atau diangkat di Tanah Arab sahaja.

Sebaliknya jika mengkaji lebih sedikit dan cuba dapatkan ilmu di luar buku teks yang diajar di sekolah atau silibus awam di peringkat institusi pengajian tinggi, banyak perkara mengejutkan kita.

Antara hadis yang menyatakan bilangan para nabi dan rasul ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar al-Ghifari R.A:

قلت: يا رسول الله ، كم الأنبياء ؟ قال:  مائة ألف وأربعة وعشرون ألفًاً ، قلت: يا رسول الله ، كم الرسل منهم؟ قال:  ثلاثمائة وثلاثة عشر جَمّ غَفِير

Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: “Berapakah bilangan para anbiya’ (nabi)?”, Baginda menjawab: “124, 000 bilangan orang”. Aku kemudian bertanya, “Berapa jumlah mereka adalah Rasul?”, kemudian baginda menjawab, “313, dan itu sudah lebih daripada sedikit”.

Sehubungan itu, jelas bahawa dunia ini merakam peristiwa 124,000 orang nabi telah diutuskan kepada setiap kaum manusia daripada Nabi Adam sehinggalah baginda, penutup sekalian para nabi dan rasul.

313 orang dalam kalangan mereka berpangkat rasul. 25 orang rasul tercatat nama dan kisah mereka di dalam al-Qur’an dan wajib diketahui oleh setiap muslim. 5 orang daripada mereka berstatus rasul Ulul Azmi.

Namun demikian, 25 orang para nabi dan rasul yang wajib diketahui cuma : Adam, Idris, Nuh, Hud, Soleh, Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Ya’akub, Yusuf, Ayub, Syu’aib, Musa, Harun, Zulkifli, Daud, Sulaiman, Ilyas, Ilyasa’, Yunus, Zakaria, Yahya, Isa dan Muhammad SAW.

Maka jika mahu ambil tahu tentang individu yang diceritakan dalam al-Qur’an lebih mendalam kisahnya tetapi tidak diketahui kedudukan mereka sama ada orang soleh, wali, nabi atau rasul adalah seperti Uzair, Khidir (tidak disebut namanya), Luqman, Zulkarnain, Tolut, Yusha’ (tidak disebut namanya) dan Imran (Ayah Maryam, ibu kepada Nabi Isa), bukanlah jatuh haram atau buang masa seperti yang dilontarkan generasi hari ini.

Hal ini demikian kerana ada juga kisah rasul yang ada tercatat dalam al-Qur’an tetapi tidak tercatat nama mereka dan tidak tergolong dalam kalangan 25 orang para nabi yang wajib diketahui iaitu kisah tiga orang rasul yang menyebarkan dakwah dalam satu-satu masa di sebuah negeri/kampung sebagaimana dalam Surah Yaasin ayat 13-27.

Tetapi yang jelas, daripada dalam kalangan 25 orang nabi yang wajib kita ketahui, hanya 4 orang sahaja yang disahkan berbangsa Arab dan diutuskan kepada kalangan bangsa Arab.

Mereka ialah Nabi Hud (Yaman), Nabi Soleh (al-Hijr), Nabi Syu’aib (Madyan), dan nabi kita Muhammad SAW.

Pengecualian kepada Nabi Muhammad, baginda diutuskan kepada semua umat manusia akhir zaman.

Jadi mengapa segala kisah dan dialog para nabi yang tercatat dalam al-Qur’an semuanya dalam Bahasa Arab? Ini kerana Allah SWT telah memilih bahasa Arab sebagai bahasa wahyu dan kitab panduan yang terakhir kepada umat Nabi Muhammad.

Oleh itu segala kisah dan dialog para nabi dan rasul yang tercatat dalam al-Qur’an telah pun Allah SWT terjemahkan dalam bahasa Arab.

Sekurang-kurangnya 4 buah kitab telah diwahyukan kepada 4 orang rasul dalam bahasa kaum masing-masing.

Kitab Taurat kepada Nabi Musa dalam bahasa Ibrani, Kitab Zabur kepada Nabi Daud dalam bahasa Siryani, Kitab Injil kepada Nabi Isa dalam Bahasa Ibrani, dan Kitab al-Qur’an kepada Nabi Muhammad dalam bahasa Arab.

Selain kitab, ada juga para nabi yang dikurniakan suhuf. Mereka yang dikurniakan Kitab dan suhuf ada yang membawa syariat baharu dan ada yang hanya meneruskan syariat sebelumnya.

Walau bagaimanapun, semua nabi dan rasul menyebarkan akidah yang sama: “Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah SWT.”

Jadi apakah mungkin adanya orang yang kuat tauhidnya, feqahnya, tassawufnya turut diangkat dalam nusantara ini? Wuallahuluam kerana yang masih sebelum Islam datang bagi menyempurnakan agama, orang-orang Melayu sudah lama bertauhid dan berakidah: “Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah SWT.”

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker