Seorang penghantar makanan didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat hantaran video menghina agama Islam dan Rasulullah SAW melalui laman sosial YouTube pada minggu lalu.
Mohd Nor’ Muzil Mohd Razalli, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Ahmad Rizki berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh kerana kesalahannya membabitkan sensitiviti agama, mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau menegaskan, sebagai umat Islam, tertuduh perlu insaf atas kesalahan dan bertaubat atas apa yang dilakukannya itu.
“Kesalahan ini adalah serius kerana membabitkan sensitiviti agama serta menggugat keharmonian masyarakat di Malaysia, dan hantaran video itu ditonton di seluruh dunia,”
Tertuduh yang tiada diwakili peguam, didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi YouTube dengan secara sedar mempersenda serta menghina umat dan agama Islam serta Nabi Muhammad SAW melalui satu hantaran video dalam YouTube pada Sabtu lalu.
Terdahulu, tertuduh yang berbaju T dan berseluar denim biru tiba di mahkamah pada jam 9 pagi dengan diiringi anggota polis dari lokap Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 35 saat melalui media sosial yang menunjukkan seorang lelaki didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan terhadap umat dan agama Islam serta Nabi Muhammad SAW.