Artikel PRDMRaja-Raja

Murabbi Pembentuk Kewibawaan Raja-Raja Melayu

Maksud Murabbi boleh dirujuk sebagai pendidik yang bukan sahaja mengajar sesuatu ilmu tapi juga mendidik serta membimbing anak didiknya dari segi rohani, jasmani, mental dan fizikal supaya dapat menghayati, memahami dan mengamalkan ilmu yang diajari.

Imam Hassan Al-Banna, seorang tokoh besar sejarah dakwah Islam ada menyenaraikan 10 ciri-ciri murabbi iaitu:

  1. Salimul Aqidah (Aqidah yang sejahtera)
  2. Sahihul Ibadah (Ibadah yang betul)
  3. Matinul Khuluq (Akhlak yang mantap)
  4. Qowiyyul Jismi (Tubuh yang kuat)
  5. Muthaqqhotul Fikri (Berilmu)
  6. Mujahadatun Linafsihi (Mukahadah lawan diri)
  7. Harithun Ala Waktihi (Menjaga waktu)
  8. Munazzomun Fi Syuunihi (Urusan Tersusun)
  9. Qodirun Alal Kasbi (Mampu berdikari)
  10. Nafi’un Lighoirihi (Bermanfaat kepada orang lain)

Jika ditanya siapakah murabbi buat para rasul dan para anbiya’, tentulah Allah SWT yang membimbing mereka sekalian. Namun zaman selepas Rasulullah SAW, tiada lagi rasul dan nabi, oleh itu para ulama’ lah yang seharusnya menjadi murabbi.

Seorang raja pada zaman dulu adalah seorang pentadbir yang menyeluruh, bukan saja dalam hal ehwal negara malah berpengetahuan luas dalam hal agama juga. Seorang raja juga boleh ditakrifkan sebagai seorang khalifah yang menyebarkan agama Islam.

Nabi Daud AS dan juga Nabi Sulaiman AS adalah raja di zaman mereka jadinya peranan raja itu sememangnya tidak jauh dari tugas khalifah. Seorang raja bukan saja membimbing manusia (rakyatnya) tetapi dikatakan juga memerintah makhluk lain seperti haiwan, gunung-ganang, sungai, tanah dan sebagainya dalam tanah pemerintahannya.

Pada zaman sekarang, peranan murabbi itu kurang jelas terutamanya pada pemimpin negara serta para raja serta keturunannya. Peranan mufti yang mentadbir hal ehwal agama tidak boleh dianggap sebagai murabbi kerana tugas mufti hanya mentadbir dan menasihati tetapi bukan mengasuh mahupun membimbing secara menyeluruh para raja zaman ini.

Jika dilihat zaman dahulu, kebanyakan murabbi buat raja-raja adalah ulama’ yang mengIslamkan mereka.

Contohnya seperti Sultan Kedah yang dahulunya bernama Phra Ong Mahawangsa dan menukar namanya kepada Sultan Muzaffar Shah setelah masuk Islam. Ulama’ dari Yaman, Sheikh Abdullah Al Qumairi datang ke Kedah untuk berdakwah dan berjaya mengislamkan Sultan Kedah, para pembesar serta rakyat jelata. Sheikh Abdullah Al Qumairi kemudian diambil sebagai pembimbing iaitu murabbi buat Sultan Muzaffar Shah.

Begitu juga dikatakan yang terjadi pada Parameswara, Sultan Melaka yang pertama. Baginda masuk Islam setelah berguru dengan Maulana Syed Abdul Aziz dan kemudian menggunakan nama sebagai Sultan Iskandar Shah.

Sewaktu kerajaan Melayu masih beragama Hindu-Buddha, para pendeta dari golongan Brahmin/Brahma menjadi penasihat utama kepada raja-raja. Kemudian apabila rakyat serta raja-raja Melayu memeluk Islam, para ulama’ menjadi penasihat dan guru kepada raja serta diangkat sebagai murabbi.

Terdapat juga beberapa Sultan di Alam Melayu yang menjadi ulama’. Contohnya seperti di Brunei, Sultan Sharif Ali merupakan seorang ulama’ yang kemudian dilantik menjadi Sultan. Manakala ada seorang Sultan menjadi ulama’ seperti Sultan Buton, Sultan Muhammad Idrus Kaimudin, seorang tokoh yang banyak berjasa dalam mengembangkan agama Islam di rantau Nusantara. Baginda juga banyak menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan tentang hal agama Islam.

Ini menunjukkan peranan murabbi itu berjaya mendidik para raja atau khalifah pada zaman dulu untuk bukan saja cerdik dalam mentadbir negara malah fasih dalam agama Islam sehingga boleh menjadi ulama’ dan berdakwah untuk menyebarkan Islam.

Terdapat sebuah kisah menarik tentang seorang raja Melayu Melaka dan gurunya. Tulisan Tun Sri Lanang dalam Sulalatus Saladin ada menceritakan tentang kisah Sultan Mahmud yang dikenali sebagai sultan yang zalim dan berperibadi teruk tapi tetap segan dengan ulama’.

Dikatakan Sultan Mahmud menaiki gajah dan diiringi para pembesar menuju rumah Maulana Yusuf untuk belajar mengaji kitab. Namun Maulana Yusuf menyuruh Sultan Mahmud pulang semula. Sultan Mahmud mendengar kata lalu pulang semula ke istana, meninggalkan gajahnya dan berjalan kaki bersama seorang pengiring menuju semula ke rumah Maulana. Jika ini dilakukan oleh orang lain, tentunya Sultan Mahmud murka dan akan menghukum orang tersebut. Namun baginda akur dengan perintah gurunya kerana pada zaman itu, seorang raja juga menghormati para ulama’.

Sebelum wujudnya sistem pendidikan Barat di negara ini, sememangnya peranan murabbi penting dalam membentuk para raja untuk menjadi khalifah Islam. Namun, pada zaman sekarang tiada lagi murabbi berada disamping para raja dan para pemimpin negara.

Mungkin sebuah program atau modul boleh diwujudkan semula secara formal seperti yang dilakukan oleh para murabbi zaman dulu. Ini untuk membimbing keturunan Raja sekarang dari muda lagi untuk menjadi seorang khalifah Islam yang sohor serta dapat menegakkan semula syiar-syiar Islam yang semakin luput.

 

Baca juga:

>> Tiada Benteng Antara Rakyat & Raja Sebelum British Acah-Acah Jadi Penasihat

 

Tontonan video penuh:

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker