Sekitar 1995, seorang pengarah tempatan, Aziz M. Osman tampil dengan sebuah naskah yang ditulis beliau bersama Jailani Salehan, yang diberi judul XX Ray II.
Ia merupakan filem kedua dalam trilogi XX Ray dan dibintangi oleh Aziz sendiri bersama Lydiawati, Ida Nerina, Jalaluddin Hassan, Osman Kering dan Azmil Mustapha.
Filem XX Ray II berkisar tentang seorang saintis kadet di pusat sains yang mendakwa bahawa dia mencipta mesin pelupusan laser, tetapi ia sebenarnya adalah hasil idea rakan pelajar.
Ketika itu kononnya, sebuah satelit geostesen berlaga dengan meteorit di kawasan orbit bumi dan akibat daripada kejadian tersebut, satelit itu mengalami kerosakan teknikal yang teruk.
Disebabkan satelit itu dijangka akan terkeluar dari orbit pada bila-bila masa, banyak kemungkinan boleh terjadi sehinggalah Johan cuba membuat hal.
Akibatnya, Amir, Tina, Shima dan Johan terjerumus ke jurang perjalanan masa dan memasuki era tamadun Kesultanan Melayu Melaka.
Sepanjang usaha untuk kembali ke masa nyata, Amir menjadi saksi pertarungan antara Laksamana Hang Tuah serta Hang Jebat dan detik Sultan Mansur Syah dimanipulasi tukang sihir.
Bayangkan jika Laksamana Hang Tuah memiliki waris hidup pada 1995 yang tidak berpuas hati dengan pembikinan filem ini, mungkin Aziz M. Osman akan dikecam dengan menggunakan Pos Malaysia.
Pelbagai surat layang mungkin akan diterima kerana Aziz M. Osman mengarah babak yang tertayangnya elemen Laksamana Hang Tuah siap memegang senapang moden ketika bertarung.
Filem Aziz M. Osman pada ketika itu biar pun berkonsepkan fiksyen, beliau berjaya menanam minat dalam kalangan anak-anak muda khususnya untuk bergelar saintis dan terlibat dalam bidang astronomi.
Sekurang-kurangnya mesej garapan Aziz M. Osman berjaya mencetuskan satu pemikiran dan idea baharu. Bayangkan kalau saintis atau ahli astronomi sebenar yang buat filem fiksyen, bagaimana rupanya?
Laksamana Hang Tuah wujud namun siapakah keturunan sebenar pahlawan agung dalam alam Melayu ini hanya Allah SWT yang tahu.
Zaman ini, semua orang boleh claim mereka adalah keturunan Laksamana Hang Tuah namun bagi orang awam yang tiada ilmu mengenai perjalanan alam ini sebaik mungkin, dengar sahajalah.
Namun demikian, penulisan ini adalah bersifat pukul anak, sindir menantu. Pada saat orang asyik melayan Ip Man kerana filem menjadi wadah menaikkan semangat bangsa, orang-orang Melayu moden bertindak sebaliknya!