Dikatakan sistem pemerintahan yang menjadi amalan di setiap negeri di Semenanjung Tanah Melayu sebelum merdeka adalah bersifat monarki mutlak.
Ia bermaksud setiap Raja berkuasa penuh dalam negeri dan jajahan tadbirnya.
Namun, selepas negara mencapai kemerdekaan pada tarikh 31 Ogos 1957, Perlembagaan Persekutuan telah dikuatkuasakan dan sistem Parlimen pun diwujudkan.
Rakyat telah diberi kuasa mencipta undang-undang dan membina polisi negara serta terlibat dalam fungsi kehakiman dan eksekutif dalam sistem pentadbiran negara.
Akan tetapi, ini tidak bermaksud Raja telah hilang kuasa mereka atau berkurangnya peranan mereka dalam sistem pentadbiran selepas kemerdekaan ini.
Malah ia telah berevolusi menjadi sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang unik sepertimana yang pernah dijelaskan oleh Pakar Perlembagaan Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz.
Fungsi Raja Berperlembagaan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah sebagai pengimbang dan penyelesai masalah sekiranya proses demokrasi menemui jalan buntu.
Raja Berperlembagaan berperanan memberi nasihat dan panduan kepada semua pihak dalam menjaga kemakmuran dan keselamatan rakyat serta negara.
Ini sememangnya merupakan antara fungsi Raja semenjak dahulu kala sebagai tempat rujukan dan aduan bagi rakyat dalam penyelesaian permasalahan harian.
Oleh yang demikian, peranan yang dijalankan oleh Raja sebenarnya tidak pernah berubah semenjak dahulu; cuma ianya telah disesuaikan dengan sistem pemerintahan zaman moden.
Pada masa yang sama, terdapat percubaan-percubaan untuk menghakis kuasa-kuasa Raja oleh pelbagai pihak dalam negara.
Terdahulu, usaha untuk mengurangkan kuasa Raja telah dijalankan melalui pindaan kepada beberapa Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pindaan tersebut antaranya telah menyebabkan kelulusan Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah negara tidak diperlukan untuk meluluskan sebarang undang-undang.
Imuniti atau kekebalan Raja juga boleh dicabar dalam Mahkamah Khas Raja-Raja sekiranya terdapat pihak yang mempunyai masalah atau tuduhan terhadap Raja.
Usaha-usaha sebegini masih berterusan hingga ada pihak yang mempertikai kewujudan institusi Raja-Raja Melayu itu sendiri.
Mereka mungkin mahu lihat institusi ini berkubur kerana beranggapan Raja adalah penghalang kepada idea mereka untuk menegakkan demokrasi secara mutlak.
Walau bagaimanapun, masih ramai rakyat negara ini yang masih percaya kepada peranan Raja sebagai pengimbang kepada kuasa demokrasi sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Adalah diharapkan institusi Raja-Raja Melayu akan berkekalan dan berterusan menjadi tempat rakyat berlindung di bawah payung pemerintahan yang adil dan saksama.
Sekiranya timbul sebarang cubaan untuk meruntuhkan institusi yang mulia ini, #KeluargaMalaysia yang cintakan keharmonian dan kemakmuran harus bangkit menentang dan mengusirnya.
Ingatlah prinsip yang dijunjung dalam Rukun Negara dimana Prinsip Ke-2 adalah ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ manakala Prinsip Ke-3 adalah ‘Keluhuran Perlembagaan’.