Kewujudan makhluk ‘Garuda’ menjadi antara misteri yang membingungkan lantaran tercetus persoalan sama ada burung raksasa itu benar-benar wujud pada zaman dulu tetapi sudah pupus pada hari ini atau ia sekadar mitos khayalan yang kekal meniti sejarah.
Sekiranya cerita Garuda hanya sekadar mitos, persoalan mengenai hakikat kewujudannya menjadi semakin pelik lantaran mitos burung raksasa berkuasa mistik itu dipercayai dalam banyak budaya masyarakat berlainan negara, malah berasingan benua.
Selain Malaysia, kepercayaan terhadap Garuda turut dipercayai di India, Indonesia, Mongolia dan Thailand.
Burung raksasa mistik itu juga turut dipercayai masyarakat Jepun, Russia, China serta negara Barat tetapi dikenali dengan nama lain, antaranya Pheonix, Karura, Khangarid dan Firebird.
Simbol negara
Malah, ada kerajaan tertentu menjadikan burung raksasa itu sebagai simbol atau jata negara, antaranya Indonesia, Thailand dan Mongolia, seolah-olah makhluk itu memang pernah wujud di dunia ini dan dipercayai turun-temurun dalam budaya penduduk negara berkenaan.
Sejarah kepercayaan terhadap Garuda di Tanah Melayu dipercayai berasal daripada kisah yang diceritakan dalam manuskrip purba Hikayat Merong Mahawangsa atau Sejarah Kedah.
Mengikut cerita, pada masa dulu, Garuda bersarang di Pulau Langkapuri (kini Langkawi). Garuda kemudian didatangi burung Rajawali yang memaklumkan bahawa Putera Rom akan belayar menuju China untuk berkahwin dengan puteri kerajaan itu.
Garuda kemudian memasang tekad untuk menggagalkan perkahwinan antara dua kuasa besar dunia berkenaan atau ia akan menghilangkan diri dari dunia manusia sekiranya usahanya itu gagal.
Garuda kemudian terbang ke benua China dan menyambar Puteri Maharaja China bersama dua dayang dengan kuku besarnya. Si puteri bersama dua pengiring yang diculik itu kemudian disembunyikan di Langkapuri.
Apabila armada Empayar Rom mula merentas lautan pula, Garuda menyerang angkatan laut berkenaan sehingga menyebabkan semua bahtera karam dan ramai anak kapal lemas.
Garuda berasa bangga kerana hasratnya menggagalkan perkahwinan antara Putera Rom dan Puteri China berjaya.
Akan tetapi, burung raksasa itu tidak menyedari bahawa Putera Rom sebenarnya berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada papan ketika hanyut di lautan.
Hilangkan diri
Sekumpulan jin yang mengetahui akan serangan Garuda kemudian bertindak menyelamatkan Putera Rom dan Puteri China itu. Kedua-dua pewaris kuasa besar dunia itu kemudian berjaya disatukan.
Garuda yang berasa kecewa kerana usahanya gagal kemudian bertindak menghilangkan diri daripada dunia manusia buat selama-lamanya.
Selain cerita hikayat berkenaan, kisah mengenai Garuda sebenarnya berbeza mengikut warisan sastera sesuatu negara.
Ada cerita yang menggambarkan Garuda sebagai seekor burung raksasa dan ada juga yang menggambarkannya sebagai burung tetapi memiliki tangan dan badan seperti manusia.
Bagi Thailand dan India, kisah membabitkan Garuda dikaitkan dengan doktrin Buddha dan Hindu yang menjadi agama dominan di negara terbabit.
Dalam ajaran Hindu, Garuda dikatakan haiwan tunggangan Dewa Vishnu, manakala bagi doktrin Buddha, Garuda dianggap sebagai makhluk mistik yang bermusuhan dengan naga.
Pastinya, misteri yang banyak menimbulkan persoalan dalam kalangan pengkaji adalah hakikat sama ada burung raksasa itu benar-benar pernah wujud sezaman dengan dinosaur atau sekadar satu cerita dongeng rakyat semata-mata.
Sekitar dua abad yang lalu, tiada siapa meyakini dengan pasti burung raksasa pernah wujud di dunia ini berikutan makhluk yang dapat terbang di udara hanyalah haiwan kecil seperti burung atau kelawar.
Bagaimanapun, sekitar tahun 1784, fosil dinosaur bersayap pertama dijumpai penyelidik Cosimo Alessandro Collini iaitu daripada spesies pterosaurs.
Fosil dinasour terbang
Kajian lanjutan terhadap rangka haiwan purba itu kemudiannya mula membuka mata ramai pihak bahawa wujud haiwan terbang yang lebih besar daripada burung dan kelawar di dunia ini, suatu ketika dulu.
Akhbar The Guardian pada Julai tahun lalu melaporkan penemuan fosil dinosaur terbang yang bersaiz besar serta memiliki empat sayap di wilayah Liaoning, China.
Fosil berusia 125 juta tahun itu dikenal pasti sebagai spesies dinosaur prasejarah terbaharu yang ditemui saintis. Dinosaur dikenali sebagai Changyuraptor itu memiliki badan berbulu dan ekor yang panjang iaitu kira-kira 30 sentimeter. Panjang keseluruhan haiwan itu pula sekitar 1.2 meter.
Berdasarkan rangka haiwan purba itu, golongan pelukis menggambarkan rupa asal haiwan prasejarah itu seakan-akan gambaran burung raksasa Garuda yang banyak diceritakan dalam mitos pelbagai bangsa di seluruh dunia.
Bagaimanapun, tiada pengesahan dikemukakan para pengkaji berhubung kaitan antara mitos dengan penemuan dinosaur terbaharu itu dan kajian terhadap fosil purba berkenaan masih dijalankan.