Apakah yang dimaksudkan dengan lailatul qadar?
Lailatulqadar (لیلة القدر) merupakan satu malam yang istimewa di Bulan Ramadan.
Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”
(Surah al-Qadr: 1-3)
-
Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar (malam).
-
al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.
- Para ulama berbeza pendapat apabila Qadar disandarkan kepada malam.
- Ada ulama berpendapat ianya kerana kemuliaan dan terdapat juga pendapat-pendapat lain.
- Ibn Qudamah berpendapat malam qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan.
Kelebihan Malam Lailatul Qadar
Para ulama berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan.
Hal ini, berdasarkan nas yang terdahulu.
Antara kelebihan malam ini ialah:
1.Dikatakan lebih baik daripada seribu bulan.
Imam al-Qurtubi berkata:
Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar.
Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.
2.Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut.
Imam Qurtubi berkata:
Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.
Baca Juga >>> 5-sejarah-yang-tidak-boleh-di-lupakan-dalam-bulan-ramadhan
3.Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.
4.Mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar.
Al-Dahhaq berkata:
“Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan”
Sedangkan Mujahid berpendapat:
Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.”
Lihat Tafsir al-Qurtubi 20/133.
Bilakah Berlakunya Malam Lailatul Qadar?
Lailatul qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan.
Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud:
Carilah Lailatulqadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”
Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah R.A bahawa Rasulullah ﷺ apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda menghidupkan malam tersebut dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.
Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud:
Rasulullahﷺ berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan malebihi usahanya daripada malam-malam lain.”
Terdapat banyak pendapat tentang bila berlakunya lailatul qadar, antaranya adalah:
1. Berlaku Pada 27 Ramadan
Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam 27 Ramadan.
Hujah mereka amat banyak, antaranya:
- Mengikut Abu Ka’ab katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatulqadar jatuh dalam bulan Ramadan, manakala Lailatulqadar pula jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya.”
- Daripada riwayat Muawiyah yang bermaksud: “Bahawa Nabi ﷺ telah bersabda bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam ke-27.”
- Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yang kembalinya kepada Lailatulqadar.
- Imam Ahmad R.A telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari Lailatulqadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu Lailatulqadar pada malam yang ke-27.”
2. Berlaku Pada 23 Ramadan
- Inilah pendapat Imam Syafie R.A.
- Inilah juga pendapat Imam Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah dan al-Tahawi.
Ia berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
“Carilah malam Qadar pada malam 23 Ramadan.”
3. Berlaku Pada 21 Ramadan
Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Shafie R.A.
Dia berdalilkan pada riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi daripada Ibn Mas’ud R.A bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
“Tuntutlah malam 17,21 dan 23 Ramadan.”
4. Berlaku Pada 24 Ramadan
Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Baginda ﷺ bersabda:
“Carilah malam Lailatulqadar pada malam 24 Ramadan.”
~Riwayat Muhammad bin Nasr Ahmad daripada Bilal dan al-Tayalisi
5. Berlaku Pada Malam Terakhir Ramadan
Hal ini berdasarkan hadis Muawiyah R.A bahawa Nabi ﷺ bersabda:
“Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadan.”
~ Riwayat Ibn Nasr
Tanda-Tanda Lailatul Qadar
Apakah alamat atau tanda-tanda berlakunya lailatul qadar?
Sebahagian para ulama telah menyebut dalam kitab masing-masing berkenaan dengan sebahagian tanda dan alamat yang mungkin dapat dilihat oleh “sebahagian” hamba Allah yang diizinkanNya.
Baca Juga >>> peristiwa-nuzul-quran-ayat-pertama-al-quran-yang-mula-mula-turun
Ini kerana, banyak hadis dan pengkhabaran orang soleh serta riwayat mereka yang telah membincangkan alamat tersebut, antaranya:
1. Malam tersebut terang dan nyaman dan tidak panas pada paginya
Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’:
Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut.
~Lihat Umdah al-Qari 11/134.
2. Matahari terbit tidak terang dan tidak panas
Daripada Ubay bin Kaab R.A menyatakan daripada Nabi ﷺ, sabdanya yang bermaksud:
“Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.”
Mengikut riwayat daripada ucapan Ibn Mas’ud R.A berkata:
Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.”
~ Lihat Umdah al-Qari 11/134.
Doa Malam Lailatul Qadar
Allahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Annii
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Zat Yang Maha Pemaaf dan Pemurah maka maafkanlah diriku”
Dari Aisyah R.A, beliau bertanya kepada Nabi ﷺ;
Wahai Rasulullah, jika aku menjumpai satu malam merupakan lailatul qadar, apa yang harus aku ucapkan di malam itu?
Baginda menjawab, Ucapkanlah: Allahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Annii…
(HR. Ahmad 25384, At-Tirmizi 3513, Ibn Majah 3850, An-Nasai dalam Amal Al-yaum wa lailah, dan Al-Baihaqi dalam Syua’bul Iman 3426).
MISI CAPAI 100,000 LIKE
Anda memiliki tulisan mengenai Melayu yang ingin dikongsikan? Hantar di sini.
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok Demi Malaiu. Sertai Telegram kami DI SINI untuk kandungan yang menarik dan membangkitkan jati diri bangsa!
untuk lebih banyak bacaan sila lawati lamanweb demimalaiu.com