Tahun 1511 merupakan tahun bersejarah buat orang Melayu khususnya tentang kerajaan Melaka yang malangnya tumpas ke dalam tangan penjajah, Portugis.
Namun sebelum itu, Portugis atau disebut sebagai Feringgi waktu dulu pernah datang untuk menyerang Melaka. Menurut dalam Hikayat Hang Tuah, pada awalnya, kedatangan mereka disedari sekumpulan sakai (orang bawahan) berperahu yang sedang mencari kerang dan siput. Bila mereka melihat kedatangan Portugis itu, mereka cepat-cepat mendayung pulang ke Bentan dan memberitahu Penghulu.
Malamnya, Penghulu serta beberapa sakai keluar dengan 10 perahu dan membuat serang hendap pada orang Portugis. Mereka berjaya menahan 10 tawanan dan terus dibawa ke Melaka.
Tiba di Melaka, tawanan itu memberi tahu mereka datang atas perintah Raja Portugal untuk berperang dengan Melaka, membawa 40 kapal ghali lengkap bersenjata, dengan setiap ghali penuh 500 ratus orang dan 50 meriam.
Tatkala mendengar berita itu, Sultan memerintah untuk mencari Laksamana Hang Tuah namun Laksamana waktu itu sedang sakit. Lalu, Sultan memerintahkan Maharaja Satya dan Maharaja Dewa untuk sulo (meninjau) keadaan di laut. Lalu mereka berdua lengkap berperahu menuju ke Bentan. Ramai orang sakai membawa anak bini di sana menyelamatkan diri daripada diserang kapal Portugis. Berlaku pertempuran kecil dan beberapa kapal Portugis dapat dikalahkan. Maharaja Satya dan Maharaja Dewa pun pulang semula ke Melaka kerana mereka diperintahkan untuk meninjau saja dan kekurangan kapal dan anggota untuk melawan keseluruhan armada Portugis.
Sekembalinya mereka, setelah menyampaikan berita apa yang disaksikan mereka di laut, armada Portugis pula semakin mendekat ke Melaka. Sekali lagi Sultan memerintah untuk memeriksa sekiranya Laksamana Hang Tuah sudah sihat. Biduanda yang datang melawat ternampak Laksamana sudah bangun makan nasi dan menyampaikan titah baginda. Laksamana pun meminta kain dan destar untuk dipakai dan menghadap Sultan.
Maka, baginda pun memerintahkan Laksamana bersama Maharaja Dewa dan Maharaja Satya menghalang Portugis menjejak ke Melaka. Laksamana pun pulang ke rumah untuk bersiap mendapatkan senjata. Turun dari rumahnya, Laksamana mendapat firasat akan terkena senjata tapi tidak akan mati. Lalu dalam hatinya berbicara, ‘Allah Ta’ala juga yang memeliharakan hamba-Nya, Insya’Allah Ta’ala si Tuah tidak dipengapa oleh senjata.’
Kemudian, turunlah mereka semua ke laut untuk menghalang Portugis dari mara. Dari satu kapal ke satu kapal, Laksamana menenggelamkan kapal musuh. Kapitan Gurnador, kapten Portugis semakin marah. Berkali-kali dicuba menangkis serangan namun Laksamana dan 2 panglima lain masih gagah bertempur.
Dalam kekecohan itu, Laksamana berjaya membedil Kapitan Gurnador. Rasa marah dengan kejadian itu, askar-askar Portugis memasang meriam untuk ditujukan pada Laksamana. Maharaja Satya mengambil istinggar (senjata api) bedil ke Dom Suala, salah seorang pegawai Portugis.
Akibat dari itu, askar-askar Portugis lain bertalu-talu menembak Laksamana dan panglima-panglima Melayu lain. Malang tak berbau, Laksamana dibedil di dada dan terpelanting 10 depa jauhnya lalu terjatuh dalam air. Laksamana diselamatkan dan dinaikkan ke dalam kapal Mendam Berahi lalu terus menuju ke Melaka semula.
Kerana cedera parah, Kapitan Gurnador mati tidak berapa lama dan Dom Suala dalam kesakitan pulang semula ke Portugal.
Dalam kisah Hikayat Hang Tuah ini, terang menjelaskan Laksamana Hang Tuah berjaya mengalahkan tentera Portugis yang dilengkapi senjata api dan meriam. Kerajaan Melaka juga waktu itu bukan setakat bertempur menggunakan keris dan tombak, mereka juga mempunyai senjata api serta meriam yang lengkap untuk menangkis serangan armada Portugis yang sebanyak 40 buah kapal gali. Jadi tidak hairanlah jika dengan mudah Laksamana Hang Tuah menggalakkan kapal-kapal musuh yang lengkap bersenjata kerana Melaka waktu itu juga memiliki senjata yang lebih kurang sama. Seperti dalam firasatnya, Laksamana tercedera namun terselamat setelah dibawa pulang semula ke Melaka.
Namun, sudah suratan takdir, walaupun Melaka mempunyai senjata api yang canggih dan lengkap dan juga askar yang ramai sehingga dapat mengalahkan armada Portugis sebelum itu, pada Ogos 15111, bumi berdaulat Melaka tetap terjatuh ke tangan penjajah jua.
Baca juga:
>> Kebijaksanaan dan Kehandalan Hang Tuah buat Raja Bijaya Nagaram (India) menganga!