Sejarah telah membuktikan bahawa semasa zaman Baginda Rasulullah SAW masih hidup, ramai umat yang memeluk agama Islam murtad kerana peristiwa Israk Mikraj.
Bagi mereka, perjalanan Israk Mikraj itu adalah dongeng, tidak masuk akal, karut, mainan tidur dan Baginda Rasulullah SAW adalah gila dan tidak layak diikuti.
Hal ini demikian kerana Israk bermaksud perjalanan Baginda Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis, Palestin dengan menunggang buraq.
Manakala Mikraj pula bermaksud perjalanan Baginda Rasulullah SAW dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha, tempat yang tidak pernah dilihat atau ditemui oleh sesiapa.
Mana ada kenderaan (tunggangan) boleh bergerak laju!
Maka untuk melalui perjalanan itu dalam 3/4 malam adalah sesuatu yang mustahil kerana pada waktu itu, tunggangan mereka hanyalah kuda dan unta.
Mereka tidak menemui atau sempat menaiki motorsikal EX5, kereta Myvi atau jet peribadi untuk bergerak daripada satu tempat kepada tempat yang lain.
Apa yang tiada di hadapan atau dalam pengetahuan mereka, itu dianggap mustahil dan tidak wujud kerana mereka hanya menggunakan akal untuk menilai.
Mereka lupa bahawa Allah SWT telah menganugerahkan hati dan manusia juga perlu menggunakan hati untuk menilai termasuk peristiwa Israk Mikraj ini.
Akibat tidak menggunakan hati untuk menilai, sedangkan hati itu memberi rasa percaya dan yakin, mereka yang memeluk agama Islam terus murtad tanpa rasa berdosa.
Hanya sahabat, Saidina Abu Bakar al-Siddiq percaya tanpa prejudis pengalaman Baginda Rasulullah SAW atas dasar keimanan dalam melihat kebesaran Allah SWT.
Kepercayaan Abu Bakar juga adalah atas dasar kasih dan cinta kerana itu adalah asas keimanan bagi umat Islam yang ditiupkan kepercayaan bahawa Allah itu Maha Agung dan Maha Besar.
Kenapa Perlu Ubah Arah Kiblat?
Peristiwa Israk Mikraj juga menyaksikan perubahan arah kiblat pada tahun kedua Hijrah daripada Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke arah Masjidil Haram (Kaabah) di Makkah.
Maka bagi mereka yang berpegang teguh dengan agama warisan nenek moyang mereka, mereka tidak mahu mengalihkan kiblat mereka dan mahu kekal dengan ke arah Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis.
Jika perkara tentang kiblat juga mereka tidak bersetuju, apakah kita juga mungkin bersama mereka jika kita hidup pada zaman itu atau reda mengikut perintah agama yang disampaikan Baginda Rasulullah SAW?
Islah Berlaku Ketika Israk Mikraj
Peristiwa ini juga digelar sebagai islah atau pembersihan umat kerana ia bertujuan mengembalikan sesuatu keadaan kepada suatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai.
Dalam erti kata lain, hanya orang yang memandang dan menilai sesuatu peristiwa itu dari sudut akal dan hati mampu menjadi umat Islam yang hebat.
Bayangkan jika kita hidup pada zaman Baginda Rasulullah SAW dan ketika itu, internet pun tiada, jet supersonik pun belum wujud, bagaimana kita menilai peristwa aneh tersebut?
Sama juga dengan peristiwa Nabi Ibrahim SWT yang diilhamkan Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS, berapa ramai yang meninggalkan ajaran agama tauhid itu?
Semuanya kerana tidak masuk akal, tidak logik, tiada sesiapa boleh menjelaskan secara saintifik dan generasi hari pula mendahulukan logik akal berbanding rasa yakin dan percaya.
Cuba lihat komen-komen saudara serta rakan-rakan kita, apa hujah mereka ke atas sesuatu dakwah yang dibawa mengenai Islam, ada di antara mereka berkata:
“Apa yang ustaz ini cakap lebih logik dan lebih mudah diterima akal berbanding ustaz yang sana. Apa yang ustaz sana cerita adalah dongeng, tiada dalil, tiada dalam buku teks.”
Manusia atau umat Islam itu harus bersangka baik, husnozon dan sentiasa membuat semakan daripada banyak sumber terlebih dahulu sebelum mencari titik kebenaran.
Bukannya tidak membuat semakan daripada banyak sumber namun memetik dalam hadis tiada pun berkata begini, dalam tafsir al-Quran tiada pun kata begitu.
Usah Lupa Sejarah Israel Terseleweng
Sejarah menunjukkan Bani Israel antara kaum manusia yang keturunannya masih hidup sehingga hari ini dan mereka menyeleweng kerana tidak dapat menerima hakikat.
Mereka menjangkakan Nabi Terakhir Yang Diutuskan Tuhan adalah dalam kalangan keturunan Bani Israel namun atas kuasa Allah SWT, ia hadir dari dalam Bani Arab.
Maka berlakulah ketidak percayaan dan usaha untuk bunuh-membunuh kerana bagi mereka, Baginda Rasulullah SAW bukanlan utusan yang dinanti-nantikan seperti yang diceritakan dalam kitab-kitab mereka.
Sama juga dengan peristiwa kemunculan Imam Mahadi pada akhir zaman nanti di mana pada ketika ini, kita lihat ada yang berpendapat beliau mungkin muncul dalam kalangan Bani Tamim dari Nusantara.
Namun apa akan berlaku atau apa kita akan buat jika atas kuasa Allah itu, Imam Mahadi yang dinanti-nantikan itu datang daripada negara Afrika, Korea, China mahu pun India?
Jika kita melihat menggunakan akal pada bangsa.. yang taksub pada keduniaan atau rasis, pasti tidak boleh menerima aturan dan kuasa Allah SWT, apakah kita akan marah dan tidak bersetuju pada qada dan qadar?
Jika kita melihat menggunakan hati pada agama.. yang cinta akan Baginda Rasulullah SAW, yang mencari reda Allah SWT, InsyaAllah akan tenang dan lebih terbuka untuk perjuangan dan perjalanan lebih jauh.
Islam Itu Agama Yang Asing, Luar Logik Akal
Dunia ini tempat sementara dan untuk kehidupan di akhirat yang selamanya, Allah SWT datang ujian mengikut zaman untuk proses islah, ‘siapa yang beriman dari hati dan akal’ atau ‘siapa yang beriman selagi ia logik akal?’.
Dari Abu Hurairah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
بَدَأَ الإِسْلاَمُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
“Islam datang dalam keadaan yang asing, akan kembali pula dalam keadaan asing. Sungguh beruntungnlah orang yang asing” (HR. Muslim no. 145).
Syaitan Itu Sesatkan Manusia Bermula Dengan Rasa Percaya
Iblis itu telah berjanji untuk menyesatkan umat manusia sejak dari zaman Adam AS sehingga ke akhir zaman dan sejarah sering menunjukkan balasan yang cukup ngeri buat mereka yang ingkar.
Sedangkan perintah Allah SWT cukup mudah iaitu berimanlah kepadaNya dan iman itu hanya boleh dicapai menerusi kepercayaan dan rasa hati.
Jika umat Islam hari ini mahu beragama disebabkan logik semata-mata, masyaAllah.. pasti cukup ramai yang murtad kerana kita lupa cara untuk aktifkan hati.
- Bayangkan kita dibisikkan syaitan, peristiwa Israk Mikraj mana logik, manusia boleh mati kalau naik ke udara tanpa oksigen!
- Bayangkan kita dibisikkan syaitan, Imam Mahadi sepatutnya dari Bani Tamim, tak orang Melayu, orang Indonesia, atau orang Asia, dari Nusantara.. bukannya orang Afrika, bukannya orang China atau orang India!
Apa gerak hati kita pada saat itu? Adakah kita melihat tanda kebesaran Allah dengan mata hati atau logik akal? Persiapkan diri kita, rohani kita untuk perjalanan seterusnya.
Semoga ia kekal dengan Islam yang bertauhidkan Allah SWT dan semoga hati kita memandu rohani dan fizikal yang dikurniakan ini ke jalan yang diberkati.