Ramai yang mengetahui tentang penemuan candi-candi Hindu-Buddha di Sungai Batu, Lembah Bujang, iaitu sebahagian kawasan kerajaan Kedah Tua. Terdapat beberapa binaan candi dijumpai dan dibina semula di sini. Antaranya ialah Candi Bukit Batu Pahat, Candi Pengkalan Bujang, Candi Pendiat, dan lain-lain. Candi-candi ini merupakan contoh monumen agama Hindu-Buddha yang penting dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara.
Tapak bersejarah Sungai Batu dan tapak Lembah Bujang ini juga adalah tamadun tertua di Asia Tenggara dengan penemuan artifak dan binaan peleburan bijih besi yang dipercayai berusia 788 sebelum Masihi. Pengisytiharan ini telah dibuat pada tahun 2016, ketika perjumpaan diadakan tentang Kedah Purba. Ia ditandatangani oleh 5 pakar arkeologi yang mewakili 5 tamadun besar dunia iaitu tamadun Mesopotamia, Greek-Rom, China, Mesoamerica dan Indus.
Kawasan Lembah Bujang dikatakan meliputi kawasan seluas 1 000 persegi di pantai barat Malaysia bermula dari utara Pulau Pinang hingga ke Kedah dan terdapat kemungkinan juga sejauh ke arah timur dan juga hingga ke sempadan Thailand.
Dengan penemuan kuil atau candi Hindu-Buddha, tapak peleburan besi dan pelbagai artifak purba membuktikan terdapat aktiviti perdagangan dari luar dan menjadikan pelabuhan di Kedah Tua antara yang sibuk waktu itu.
Jadikah mengapakah binaan candi di Sungai Batu tidak sebesar binaan candi di Borobudur, Indonesia mahupun Angkor Wat, Kemboja?
Antara teori yang dipercayai adalah kerana garis masa pembinaan candi-candi tersebut dibina pada masa yang berbeza. Sebelum kedatangan agama Hindu-Buddha di Kedah Tua, masyarakat tempatan menganut animisme dengan memuja alam. Terdapat tapak ritual kuno yang dijumpai yang berusia 2000 tahun dahulu. Tapaknya berbentuk bulatan dan terdapat binaan petak empat segi di atas dipercayai digunakan rakyat pra-sejarah tempatan waktu itu untuk memuja Gunung Jerai.
Baca juga>> Peristiwa Parang Terbang 13 Mei 1969
Manakala, agama Hindu-Buddha pula dikatakan datang ke Kedah Tua sekitar penghujung abad ke-4 Masihi dan kemudian kedatangan Islam pada abad ke-12. Candi-candi yang ada di sekitar Lembah Bujang dipercayai dibina di antara abad ke-4 hingga abad ke-12 Masihi. Contohnya seperti Candi Batu Pahat yang dikatakan dibina pada abad ke-6 Masihi.
Candi di Borobudur pula dibina pada abad ke-9 Masihi manakala Angkor Wat pula dibina sekitar pada abad ke-12. Selain itu, Lembah Bujang juga lebih tertumpu sebagai pelabuhan perdagangan yang penting dan bukanlah pusat pemujaan mahupun pentadbiran agama Hindu-Buddha yang utama. Mungkin cukup dengan binaan candi kecil dan sederhana untuk menarik minat pedagang luar dan untuk menunjukkan sikap keterbukaan kerajaan Kedah Tua.
Kedatangan Islam dan penyebaran agama Islam di Kedah Tua yang dipercayai bermula pada abad ke-12 juga mungkin antara faktor ketiadaan candi besar Hindu-Buddha dibina. Kerajaan Kedah Tua antara kerajaan Melayu terawal di Semenanjung Tanah Melayu yang menerima Islam. Malah ada juga yang berpendapat Islam mula tersebar sejak abad ke-10 lagi. Oleh kerana Kedah Tua adalah pusat pelabuhan entrepot dan perdagangan penting di Nusantara jadi tidak hairan bila ada pedagang dari pelbagai negara dan agama datang untuk menyebarkan agama sambil berdagang.
Dalam Sejarah Kedah juga ada menulis tentang Syeikh Abdullah Al-Yamani telah datang ke Kedah Tua dan mengislamkan Maharaja Derba Raja II yang kemudiannya digelar Sultan Muzaffar Syah I pada tahun 1136 Masihi (531H). Ini dikuatkan lagi apabila Muhammad Hassan bin Dato’ Kenari Muhammad Arsyad, penulis asal Al-Tarikh Salasilah Kedah Darul Aman yang mencatatkan tahun 1136 Masihi merupakan tahun Raja Kedah Pertama masuk Islam. Ada juga pendapat mengatakan Raja Merong Mahawangsa adalah Raja Pertama Kedah dan setelah masuk Islam, baginda menukar nama sebagai Sultan Muzaffar Syah.
Kedatangan Islam di Kerajaan Kedah Tua menandakan permulaan era baru dalam sejarah dan kebudayaan Tanah Melayu serta merupakan titik permulaan bagi Islam sebagai agama utama di Semenanjung Malaysia. Peristiwa ini membentuk landskap sejarah negara dan menandakan integrasi Islam di dalam kehidupan serta budaya masyarakat Melayu.