Isu Semasa

Memalukan Jika Masih ada Ahli Parlimen Jahil Berbahasa Melayu?

Bukankah kedengaran pelik jika bahasa Inggeris boleh dibenar guna khusus untuk perkataan atau istilah tertentu ketika berbahasa walaupun dengan izin Yang Dipertua Dewan?

Dalam hal ini, bukankah sepatutnya Yang Dipertua Dewanlah yang perlu menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya terlebih dahulu.

Bagaimana mungkin menjadi contoh teladan jika mereka yang berada di kerusi Yang Dipertua di Dewan Parlimen tidak tegas menolak penggunaan berbahasa Inggeris?

Sebagai Ahli Parlimen yang tergolong dalam Badan Perundangan Persekutuan, mereka sepatutnya perlu menjadi pencetus dan menunjukkan teladan baik dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan?

Sepatutnya, perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara oleh Ahli Parlimen mahupun senator sendiri mesti mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan sepenuhnya bukan bercampur aduk dengan bahasa inggeris apatah lagi bahasa rojak sekalipun atas alasan istilah dan sebagainya.

Perlembagaan Persekutuan mewujudkan Perkara 119 memperuntukkan ‘Kelayakan Pemilih-pemilih’, maka cadangan supaya dimasukkan kelayakan calon fasih berbahasa Melayu untuk bertanding perlu disokong semua pihak.

Bayangkan rakyat mendengar perkataan janggal seperti “tebulu-bulu” dan sebagainya. Tidakkah itu mencerminkan tahap patriotisme mereka yang digelar pemimpin rakyat di Malaysia?

Baca juga>> Martabatkan Bahasa Kebangsaan Malaysia: Titah Agong Wajar Dipandang Serius oleh Kerajaan?

Menjadi kemestian, Ahli Parlimen wajib bertutur Bahasa Kebangsaan dengan fasih kerana mereka terbabit dengan kuasa perundangan di negara Malaysia.

Sudah sampai masanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib meletakkan syarat boleh bertutur bahasa kebangsaan dengan baik sebagai kelayakan utama menjadi calon Pilihan Raya.

Tanpa kelayakan utama itu sila abaikan saja niat untuk menjadi calon Pilihan Raya!

Ia wajar dibuat kerana bahasa kebangsaan sedia termaktub dalam Perlembagaan yang selama ini diremehkan saja oleh kebanyakan pihak.

Bukankah Perkara 152 juga tetap terpakai walaupun dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat Fasal Penghakiman yang bertumpu kepada kuasa kehakiman dan keanggotaan mahkamah?

Maka, sudah semestinya Institusi kehakiman juga antara yang amat penting dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Lihat pada Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan, bukankah telah diperuntukkan segala prosiding (selain pemberi keterangan oleh seorang saksi) di Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah hendaklah dijalankan dalam bahasa kebangsaan?

Mengapa pula pihak yang mempunyai kepakaran undang-undang sendiri melanggar akta yang sedia ada?

Bagaimana rakyat hendak menghormati sistem perundangan kalau mereka yang terlibat sendiri tidak menegakkan undang-undang terlebih dahulu?

 Justeru, Hakim sebagai pihak yang mendokong undang-undang serta pengamal undang-undang mesti menggunakan bahasa kebangsaan di setiap prosiding di mahkamah.

 Institusi kehakiman perlu menjadi institusi utama memastikan Bahasa Kebangsaan dipatuhi semua pihak.

 Apa yang sukarnya, wajibkan sahaja mana-mana peguam yang tidak boleh bertutur bahasa kebangsaan menghadiri kursus pemantapan bahasa Melayu yang banyak diadakan Universiti Awam dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

 Justeru, cadangan bagi mewujudkan Akta Penguatkuasaan mengenai bahasa kebangsaan perlu disokong oleh semua rakyat yang mengaku sebagai warganegara Malaysia.

Menarik: ‘British beri 10 ekar tanah kepada Imigran ‘ Melayu dapat Apa | Tuan Haji Aminuddin Yahaya

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Sertai Komuniti Demi Malaiu
Kongsi cerita anda dengan kami dan dapatkan kemaskini semua kandungan dari semua platform media sosial Demi Malaiu