Budaya

Melayu tiada budaya hiburan sendiri sampai kena cedok budaya luar?

Benarkah orang melayu itu tiada budaya hiburannya sendiri sehinggakan budaya luar yang singgah akan dijadikan dan dicedokkan dalam budaya orang Melayu itu?

Apa buktinya?

Buktinya adalah, dalam berhibur, orang Melayu itu selalu sahaja mencedok hiburan dari luar seperti pengaruh-pengaruh dari barat, dari Korea, sehinggakan dari India juga hiburan-hiburan ini diadaptasikan ke dalam budaya berhibur orang Melayu.

Sebagai contoh, lagu-lagu Melayu dewasa ini lebih menjurus kepada melodi-melodi dari Korea yang membawa elemen-elemen ‘tarian’ dalam melodinya.

Selain itu, adegan-adegan di kaca televisyen banyak terpengaruh dengan adegan-adegan yang berkiblatkan barat membawa adegan orang dewasa dan menjadi sohor kini adegan-adegan homoseksual pula yang dimainkan.

Namun demikian, persoalan tersebut sebenarnya boleh disangkal sama sekali. Ini adalah kerana orang melayu itu mempunyai cara berhiburnya yang tersendiri. 

Erti hiburan mengikut Islam

Sudah menjadi lumrah manusia memang perlukan hiburan dalam kehidupan.

Lagi pula, memang naluri seorang Melayu itu sukakan hiburan.

Jika diperhalusi makna hiburan itu, ia sebenarnya bilamana sesuatu perkara itu dapat mengingatkan seseorang itu kepada Allah, kepada Sang Penciptanya.

Dengan melihat kecantikan dan keindahan ciptaan Allah itu dapat menggembirakan hati seseorang, itulah hiburan yang sebenarnya.

Hiburan juga dapat ditafsirkan sebagai sesuatu yang boleh menggembirakan hati, merehatkan minda, menenangkan jiwa dan menyedapkan pendengaran.

Secara kontrasnya, seseorang yang berasa terhibur dengan menonton perkara-perkara yang haram, perkara yang mendatangkan hawa nafsu, perkara-perkara yang meledorkan itu menunjukkan betapa lemahnya iman seseorang dan ianya sama sekali terpesong dari makna hiburan itu sendiri.

Seni dan hiburan merupakan salah satu daripada kaedah dakwah yang telah digunakan oleh para ulama terdahulu dalam mengembangkan dakwah Islam.

Untuk mengoptimumkan gerakan dakwah yang ada, sebahagian ulama di Nusantara juga  telah menjadikan seni dan hiburan ini sebagai modus operandi dakwah mereka.

Disebabkan hal ini, Islam itu tidak menghalang umatnya untuk berhibur namun kenalah berpada pada syaraknya.

Hiburan dari sudut seni Melayu

Seni dan hiburan masyarakat Melayu pula merupakan antara muka yang mengandungi unsur budaya masyarakat setempat, ajaran agama dan interaksi dengan persekitaran yang kaya dengan flora dan fauna.

Selepas kedatangan Islam di Kepulauan Melayu, penubuhan seni komunal telah melalui proses pemurnian hasil daripada penerapan nilai-nilai wahyu oleh mubaligh yang datang ke kepulauan Melayu.

Seni persembahan seperti mak yong dan kuda kepang bukan sahaja berfungsi sebagai medium hiburan tetapi juga sebagai medium pendidikan, perubatan dan ibadah.

Lagi pula, seni dan hiburan orang Melayu yang berasaskan irama itu menitikberatkan  melodi dan liriknya, sebagai contoh, inang, keroncong, ghazal dan sebagainya.

Kebanyakan melodi seni Melayu terdahulu itu adalah melodi yang diadaptasi dan berlandaskan daripada surah-surah dan ayat-ayat Al-Quran.

Antara lainnya ialah gurindam.

Gurindam 12 merupakan salah satu gurindam yang terkenal yang didendangkan oleh Raja Ali Haji.

Gurindam ini mempunyai bait-bait lirik yang penuh dengan nasihat agama yang mahu disampaikan oleh pensyair.

Lagu-lagu klasik Melayu juga mempunyai elemen nasihat yang sarat dalam liriknya, sebagai contoh, lagu Selimut putih, Seroja dan Selasihku sayang.

Oleh kerana itulah irama-irama Melayu dahulu dapat mendamaikan jiwa jika diperdengarkan. 

Namun, apabila kita bandingkan dengan cara masyarakat kini berhibur, ianya merupakan perbezaan yang amat ketara. Jika dilihat sudut hiburan orang Melayu kini, elemen-elemen keislaman yang dibawakan itu amatlah sedikit.

Apa yang lebih menyedihkan, seni dan hiburan masyarakat Melayu terdahulu semakin dipinggirkan dan tidak hairanlah jika ianya akan hilang begitu sahaja dan terus lenyap.

Lagi pula, hanya segelintir jiwa-jiwa muda yang mahu memperjuangkan dan mempertahankan seni tradisional yang berpaksikan Islam ini.

Realitinya hari ini, anak-anak muda kini lebih memperjuangkan seni dan hiburan budaya luar daripada budaya mereka sendiri.

Kebanyakan mereka terpengaruh dengan budaya Kpop, Jpop,  Hip-hop dan pelbagai budaya pop yang lain.

Lagi pula dengan adanya media sosial dan butang kongsi dihujung jari, betapa mudahnya pengaruh budaya penjajah, budaya barat dan budaya-budaya lain ini terus menyusup dalam minda generasi sekarang. 

Hiburan dan jati diri Melayu

Soalnya di sini bukan fasal berhibur, ianya lebih kepada, mengapa cara berhibur kita mesti mengikut acuan-acuan lain dari luar?

Seperti orang melayu itu tidak ada identitinya sendiri.

Hal ini memberikan pandangan walaupun sudah beberapa tahun kita merdeka namun tampaknya kita masih lagi dijajah.

Ya, bukan secara fizikal dan harfiahnya, namun lebih kepada bentuk penjajahan minda, penjajahan budaya dan sistem dalam negara ini yang masih lagi berpaksikan kepada sistem penjajah dan sistem dari luar daripada mengikut kepada kearifan tempatan yang patut diaplikasikan dalam segenap aspek masyarakat dan negara ini.

Kelemahan ini benar-benar menunjukkan masalah sebenar yang telah lama berakar umbi dalam masyarakat iaitu hilangnya jati diri orang Melayu sehingga ‘terpaksa’ mengadaptasi jati diri orang bukan melayu.

Begitulah lemahnya jati diri orang Melayu pada zaman ini.

Ini adalah masalah yang sangat besar yang sedang berlaku dalam masyarakat Melayu dan seperti wabak yang sedang menular dan vaksinnya masih lagi tidak ditemukan.

Perkara ini mestilah ditangani untuk menghalang atau paling tidak meminimumkan masalah ini menjadi terus parah. 

Jika bukan sekarang, bila lagi?

Kini sudah tiba masanya perkara ini diperbetuli.

Masyarakat melayu kini sebenarnya terlalu dahagakan hiburan-hiburan yang dapat menyuntik rohani dan jasmani dengan perkara-perkara yang dapat membentuk jati diri mereka.

Lihat sahaja fenomena filem Mat Kilau.

Ketepikan kritikan dan kelemahan yang ada, namun filem ini patut dipandang dari sudut positifnya.

Kejayaan filem ini adalah disebabkan ianya mampu memberi impak yang sangat besar kepada masyarakat Melayu kerana kejayaannya menyampaikan mesej-mesej yang dapat mengangkat jati diri orang Melayu itu sendiri.

Inilah hiburan yang sebenarnya diperlukan oleh masyarakat kini.

Filem ini juga menunjukkan kesenian orang melayu yang bersesuaian dengan zamannya.

Filem ini juga sepatutnya menjadi batu aras kepada penggiat seni yang lain untuk mereka berkarya. 

Akhir kata, masyarakat Melayu itu penuh dengan seninya, bukan sahaja hiburannya, iramanya, pakaiannya, makanannya dan segala aspek kehidupan seorang melayu.

Seni-seni Melayu yang terdahulu patut dijulang kembali dan perlu diberikan suntikan yang lebih bersesuaian dengan zamannya.

Suatu anjakan paradigma perlu dilancarkan untuk menepati seni masa kini.

Betapa sayangnya sekiranya seni hiburan yang telah diadun oleh generasi terdahulu yang penuh dan sarat dengan nasihat dan agama dibiarkan lenyap begitu sahaja.

Amatlah merugikan sekiranya seni ini tidak dijaga dan dipelihara dan pulihara untuk generasi akan datang kerana manfaat yang dapat diberikan kepada masyarakat amatlah ketara. 

Baca juga Review Filem Mat Kilau | Tegang, Penuh Tamparan Jati Diri Bangsa Sehingga Mengalir Air Mata

Gurindam 12

Seroja

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker