Kepulauan Cocos (juga dikenali dengan nama Kepulauan Keeling) merupakan sebuah kepulauan yang terletak di dalam wilayah Australia. Kedudukannya adalah di Lautan Hindi, berdekatan dengan negara Indonesia. Kepulauan ini terdiri daripada dua atol (pulau cincin) dan 27 buah pulau batu karang. Hanya dua buah pulau saja yang didiami iaitu Pulau Barat (West Island) dan Pulau Rumah (Home Island). Nama Cocos diambil kerana nama kelapa manakala nama Keeling pula sempena nama orang yang pertama menjumpai pulau ini.
Sejarah kepulauan ini adalah bermula ketika seorang kapten dari benua Eropah, William Keeling melihat pulau yang tidak berpenduduk ini pertama kali pada tahun 1609. Kemudian pada 1826, datang seorang pedagang, Alexander Hare ke pulau ini dengan membawa hamba-hamba untuk bekerja di ladangnya. Dia juga membawa wanita-wanita untuk haremnya. Mereka ini terdiri daripada orang Melayu Nusantara yang kebanyakannya dari Banten, Batavia, Kepulauan Riau, Singapura, Sabah dan Brunei.
Kemudian pada 1827, tiba pula seorang pedagang lain dari Scotland bernama John Clunies-Ross yang juga datang untuk membuka ladang kopra (isi kelapa kering) di Pulau Cocos. Dia juga membawa hamba-hamba dari Nusantara untuk bekerja dengannya. Dengan kehadiran John Clunies-Ross yang dikatakan melayan hamba-hambanya dengan lebih baik, hamba-hamba yang bekerja di ladang Hare kebanyakannya melarikan diri ke ladang Clunies-Ross. Dikatakan Alexander Hare memperlakukan mereka dengan kejam dan kebanyakan hamba-hambanya tidak lagi tahan.
Setelah itu, keluarga Clunies-Ross memerintah kepulauan ini selama 150 tahun. Ia sempat bertukar pemilik seperti menjadi milik Singapura atas perjanjian Negara-negara Selat, kemudian ke British dan kemudian ke Clunies-Ross semula. Sehinggalah pada tahun 1978, Pulau Cocos menjadi milik Australia setelah keluarga Clunies-Ross dibayar pampasan. Keturunan Clunies-Ross juga masih ada yang duduk di Pulau Cocos.
Baca juga>> Allah Sangat Murka Dengan Kegiatan Perjudian!
Orang Melayu Cocos menjadi penduduk dominan di pulau ini selain dari penduduk lain dari Eropah. Dikatakan seramai 629 orang penduduk Pulau Cocos yang dicatatkan pada tahun 2004. Penduduknya yang dari Eropah berjumpa lebih kurang 120 orang banyak duduk di Pulau Panjang manakala Orang Melayu Cocos yang berjumlah lebih kurang 500 duduk di Pulau Selma. Agama Islam merupakan agama yang dianuti oleh orang Melayu Cocos dengan berfahaman Ahli Sunnah Waljamaah. Terdapat 3 buah masjid wujud di pulau ini.
Dengan Orang Melayu Cocos menjadi penduduk asal pulau ini, jadi tidak hairan apabila Bahasa Melayu dialek menjadi bahasa utama di Pulau Cocos ini. Mereka menggelarkannya sebagai ‘Basa Pulu Cocos’. Namun dialek mereka berbeza dengan Bahasa Melayu sekarang kerana percampuran budaya. Bahasanya menjadi bahasa campuran Melayu Betawi, bahasa Indonesia juga campuran bahasa Inggeris dan bahasa Scots. Penduduknya juga boleh berbahasa Inggeris dengan loghat Australia.
Orang Melayu Cocos tetap utuh mengekalkan adat budaya orang Melayu. Orang lelaki masih memakai baju Melayu manakala para wanita memakai baju kurung dan sarung. Mereka juga meraikan Hari Raya Aidilfitri serta Aidiladha dengan meriah seperti di Malaysia dan Indonesia. Pada waktu malam, mereka menghiasi rumah dengan pelita mahupun lampu kelip-kelip. Dikatakan mereka juga mendapat siaran televisyen Malaysia seperti TV1, TV2, TV3, TV9, 8TV dan sebagainya.
Jika dilihatkan, orang Melayu Cocos tidak jauh bezanya dari orang Melayu di Malaysia mahupun Indonesia. Mungkin ada sedikit perbezaan dari bahasa dan adat budaya kerana bercampur dengan adat British, Australia dan Scotland. Namun selain daripada itu, mereka masih menganut agama Islam, masih berpegang teguh pada budaya Melayu dan bahasanya.
Pasti ramai yang tak tahu terdapat juga orang Melayu Cocos yang kini menetap di Sabah. Mereka ini terdiri dari lebih kurang 20 orang Melayu Cocos dari pulau tersebut yang dibawa oleh British. Kini jumlah mereka berkembang hingga ke 6000 orang dan banyaknya menetap di Kampung Cocos berhampiran Lahad Datu, Tawau, Sabah.
Sayang sekali apabila Pulau Cocos ini kini berada di bawah pemerintahan Australia sedangkan kedudukannya lebih dekat dengan Indonesia, apatah lagi penduduk-penduduk aslinya kebanyakan berasal dari Nusantara. Namun begitu, kita harus bersyukur kerana Orang Melayu Cocos tidak melupakan adat budaya nenek moyang mereka dan tetap teguh beragama Islam. Mereka tetap mempromosikan budaya mereka kepada pelancong luar yang datang ke sana. Orang Melayu Cocos menjadi contoh ketahanan dalam mengekalkan identiti serta budaya walaupun berada di tempat asing. Kini mereka masih terus bersemangat untuk meneruskan agama dan warisan bangsa mereka.
Menarik: KAUM YANG DISEBUT 40 KALI DI DALAM AL-QURAN: SIAPAKAH BANI ISRAEL?