‘Melayu malas’ antara stigma yang popular sehingga kini yang membayangi orang Melayu di negara ini.
Ungkapan ini mula berakar umbi sejak zaman penjajahan British di Tanah Melayu, lalu dikukuhkan melalui penulisan-penulisan selepasnya.
Sifat malas orang Melayu ini telah dijadikan sebagai hujah kepada kemunduran dan ketinggalan orang Melayu dalam sektor ekonomi.
Tetapi, mitos itu kini sudah tidak boleh digunapakai serta tidak relevan disebabkan orang Melayu kini mampu bersaing dengan bangsa yang lain.
Kajian yang dibuat oleh Profesor John N. Miksic dari Universiti Nasional Singapura telah memenangi anugerah Hadiah Sejarah Singapura apabila berjaya menemui 300,000 bukti arkeologi yang berkait rapat dengan masyarakat Melayu.
Menurut beliau, masyarakat Melayu adalah masyarakat yang rajin dan aktif sejak 700 tahun lalu dengan tanggungjawab dan peranan yang berbeza – dari bidang pertukangan, hingga ke perdagangan dan ilmu perakaunan.
Bahan bukti itu telah dirakamkan dalam buku ilmiah,‘Singapore – The Silk Road of the Sea, 1300-1800’,
Menyingkap semula sejarah lama Singapura, mungkin ramai yang masih menggambarkannya sebagai sebuah ‘kampung nelayan’ yang mundur.
Namun, kisah Singapura bermula jauh sebelum Sir Stamford Raffles menjejakkan kaki di sini, pada tahun 1819.
Profesor Miksic membentangkan sejarah Singapura dalam konteks perdagangan maritim jarak jauh antara tahun 1300 hingga 1800, dengan adanya bidang-bidang pekerjaan yang kurang diketahui tentang masyarakat Melayu.
“Jadi mereka membuat gerabak sendiri, mereka juga membuat barang-barang dari logam, mereka mengolah tembaga untuk membuat kail untuk tangkap ikan, mereka juga membuat barang-barang dari besi, mereka juga membawa barang-barang seperti keris dan tombak, senjata,” kongsi penyelidik itu yang mengambil hampir 10 tahun untuk menyiapkan buku ilmiah berkenaan.
Baca juga>> ASWJ Asas Perpaduan Melayu!
Menurutnya lagi serpihan tembikar yang ditemuinya serta logam dan batu-bata lama menunjukkan gambaran yang penting tentang masyarakat Melayu – bahawa ia menggambarkan hasil pertukangan bangunan yang canggih ketika zaman tersebut.
Bahkan menurut Profesor Miksic, bukti-bukti ini juga antara lain menunjukkan dengan jelas kerajinan masyarakat Melayu terdahulu, dan secara tidak langsung memecahkan mitos dan tanggapan bahawa masyarakat Melayu terdahulu malas.
“Orang Melayu memang dari dulu sudah terkenal sebagai orang awal yang membuat kota, yang mendirikan bandar menjadikan satu sistem perhitungan untuk perdagangan.
“Orang-orang Portugis pertama datang ke Brunei, mereka hairan sekali melihat sistem yang dipakai orang-orang akauntan di Brunei untuk menghitung perdagangan. Jadi mereka sudah pandai sekali orang-orang Melayu,” katanya lagi.
Kini, seiring peredaran masa dan zaman, semakin ramai orang Melayu yang berjaya membina nama di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang.
Pendidikan tidak kurangnya apabila baru-baru ini tiga anak Melayu diumumkan sebagai pelajar paling cemerlang dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Malaysia paling cemerlang di University of Manchester, United Kingdom.
Muhammad Nazmi Mohd Ropi, Wan Nur Adlina Wan Halim dan Mohamad Mukhzuhayr Mohd Rashid menerima hadiah ‘Overall Performance in the Year Group (based on GPA)’.
Begitu juga dengan kejayaan Nusaybah Maszlee menjadi pelajar Malaysia dan Asia Tenggara pertama memenangi enam Anugerah Siswa Cemerlang di Universiti Georgetown, Qatar membuktikan rakyat negara ini mampu bersaing dan mencapai kecemerlangan di peringkat dunia.
Seorang anak Malaysia lepasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab berjaya menjadi jurutera di sebuah syarikat peneraju kereta elektrik dunia dan tenaga bersih di Amerika Syarikat (AS) iaitu Tesla.
Fakhirah Khairuddin yang kini menetap di Fremont, California bertugas sebagai pengajar latihan teknikal robotik di syarikat berkenaan.
Ramai lagi bilangan anak muda Melayu yang mencipta kejayaan di dalam dan luar negara. Tidak kira sama ada bidang pendidikan, perniagaan atau inovasi dan sebagainya.
Lihat sahaja di media sosial hari ini, ramai anak muda yang memulakan langkah berani dengan menceburkan diri terutama dalam bidang perniagaan.
Justeru, omongan kosong ‘Melayu malas’ sudah tidak relevan dan hanyalah mitos semata-mata. Bangsa Melayu juga sebaris dengan bangsa lain yang mampu membawa kejayaan di mata dunia.
Menurut Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN), bilangan jutawan muda di bawah usia 30 tahun meningkat sebanyak 75 peratus dan 20 golongan muda berpendapatan RM1 juta setahun sejak 2018.
Fenomena ini berlaku mungkin disebabkan pendedahan ilmu perniagaan serta faktor capaian mudah seperti akses internet .
Dalam pada itu, majalah Forbes 2023 menyenaraikan tiga orang Melayu terkaya di Malaysia daripada 50 individu.
Menurut majalah itu, tiga individu berkenaan ialah tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary; pemilik Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WAS), Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dan tokoh perbankan terkemuka negara, Tan Sri Azman Hashim.
Syed Mokhtar menduduki tangga ke-15 dengan nilai kekayaan bersih, AS$1.3 bilion (RM6.23 bilion), Syed Azman berada di kedudukan ke-28, dengan AS$765 milion (RM3.7 bilion), manakala Azman yang menduduki tempat ke-32 mengumpul sebanyak AS$660 milion (RM3.2 bilion).