Agama

Melayu Itu Pegang Amanah, Jika Ingkar Apa Guna Nama Islam Yang Dipikul Bersama?

Dalam surah An-Nisa’ ayat 58, Allah telah berfirman dengan maksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Namun berapa ramaikan orang yang bangga mengatakan diri mereka adalah Melayu dan mengangkat imej Islam begitu sensitif mengenai perkara ini?

Al-kisah sebuah kampung

Di sebuah kampung, ada seorang tok penghulu membuat pengumuman kepada orang ramai. Katanya, dia melihat sebuah kawasan yang lapang dan sesuai untuk didirikan pondok.

Lalu dia berkata kepada orang-orang kampung, “Dermalah serba sedikit papan yang kamu ada. Jika mencari kayu di hutan, sumbanglah sedikit kayu-kayu yang tidak dipakai. Akan dibangunkan satu pondok untuk semua.”

Mendengar khabar itu, berduyun-duyunlah orang dermakan papan, sumbangkan kayu namun tiba saat pondok itu mahu dibangunkan, tukang kayu dan jurubinanya kemalangan.

Papan sudah bersusun, kayu sudah bertingkat

“Apa nak dibuat?” Inilah soalan pertama yang terlintas dek kepala tok penghulu tadi, bukannya, “Ini amanah orang untuk bangunkan pondok, apa nak dibuat?”

Maka tok penghulu tadi dengan selambanya memanggil anak-anaknya untuk mengangkut semua papan dan kayu tadi terus ke rumahnya.

Kata tok penghulu tadi kepada anaknya, “Papan dan kayu ini, kita gunalah dahulu. Mungkin sebahagiannya boleh buat betulkan dapur dan sebahagian lagi besarkan reban ayam.”

Maka si anak yang lemah imannya, tidak tahu betul atau salah, hanya mengikuti permintaan ayahnya tanpa berkata apa-apa. Nak ditegur takut dipanggil anak derhaka. Maklumlah tok penghulu, garang orangnya!

Namun bagi si isteri tok penghulu tadi, suaminya sudah pun pecah amanah, ingkar amanah, salah guna amanah, minta untuk benda lain, dibuatnya untuk benda lain, ketayap di kepala masih melekat.

Tolong jaga tiket bas

Pada hari lainnya, tok penghulu tadi berjumpalah dengan seorang pemuda yang baik hati. Punyalah baik hati pemuda itu, dibelinya 10 tiket bas sebagai hadiah kepada orang-orang kampung.

Destinasinya adalah ke sebuah taman yang cukup indah, boleh makan percuma, siap boleh tonton wayang cerita Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berulang-ulang.

Disebabkan pemuda yang baik hati tadi berjumpa dengan tok penghulu tadi, maka tok penghulu tadi pun berkatalah kepada pemuda itu:

“Kalau kau nak minta aku yang tolong jadi wakil dan serahkan tiket bas ini kepada orang-orang kampung pun boleh juga. Bukankah mereka percayakan aku?” lafaz tok penghulu.

Dek kerana yakin dan percaya, pemuda yang baik hati tadi terus serahkan 10 tiket itu tanpa banyak bicara, tanpa banyak soal, yang pasti, dia benar-benar yakin dan percaya.

Rancak bersembang, syaitan yang datang

Namun setelah rancak bersembang, tiket bas pun sudah dipegang, pemuda yang baik hati tadi pun sudah pulang, syaitan pula yang datang.

Entah apa bisikannya di fikirannya, dipanggil anak-anaknya sekali lagi, diminta untuk jual kesemua tiket bas itu pula. Katanya nanti bolehlah dapat duit dan hasilnya bolehlah dibuat beli beras.

Lama-kelamaan, perbuatan tok penghulu ini dihidu orang yang dermakan papan, sumbangkan kayu dan amanahkan jaga tiket bas untuk diserahkan kepada orang kampung.

Teruslah si isteri tok penghulu tadi teringat akan kisah seorang pengembala biri-biri yang sering menipu orang kampungnya bahawa biri-birinya diserang serigala.

Dek kerana berulang kali rasa terpedaya, sampai mati pun orang-orang kampung tidak percaya dan akhirnya, pengembala biri-biri itu menyesal kerana serigala benar-benar datang.

Dek kerana langgar amanah, sengaja undang murka Allah SWT

Si isteri tok penghulu hanya mampu menegur secara sinis. Nak ditegur kasar-kasar, dia bukannya orang Melaka. Nak ditegur berlebih-lebihan, dia cuma sang isteri dan syurganya di bawah telapak kaki suami.

Namun begitulah ceritanya, disebabkan hari-hari si isteri tok penghulu saksikan suaminya selalu langgar amanah, biar pun ia perkara sekecil-kecil anak, salah tetap salah dan dosa tetap dosa.

Nasihat tak mahu didengari, tok penghulu keras dengan kepala sendiri, akhirnya si isteri tawar hati, masak nasi pun serba tak jadi, semuanya kerana bermula dengan curang kepada perintah Allah SWT.

Dalam surah An-Nisa’ ayat 58, Allah telah berfirman dengan maksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

 

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker