Agama

Media Sosial Tempat Orang Hiburkan Hati, Maka Yang Pahit Benar Pasti Disanggah!

Sumber Maklumat al-Ahkam al-Fiqhiyyah berkongsi laporan yang bertajuk ‘Ancaman Aliran Bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah Terhadap Perpaduan Umat Islam Malaysia’.

Laporan ini boleh dibaca menerusi e-Sumber Maklumat Fatwa dan jika umat Islam dalam negara ini hanya kenal Islam tetapi tidak tahu wujudnya pemikiran dan fahaman akidah, ilmu tentang ini perlu ditambah.

Apa yang dimaksudkan dengan pemikiran (akal) dan fahaman akidah (perbuatan)? Ia berkait dengan kelakuan kita sebagai umat Islam dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Islam.

Dalam erti kata lain, pemikiran (akal) dan fahaman akidah (perbuatan) haruslah berlandaskan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan yang bersaksikan para sahabat.

Manakala dua imam besar Abu Hassan al-Asy’ari dan Abu Mansor al-Maturidi meneruskan dan memperkukuhkan akidah-akidah yang diwarisi sejak zaman Baginda serta para sahabat.

Namun setelah kewafatan Baginda, umat Islam mula dicucuk dengan pelbagai pemikiran (akal) dan fahaman akidah (perbuatan) yang baharu kononnya lebih kontemporari dan tidak kuno.

Maka terlahirlah pemikiran (akal) dan fahaman akidah (perbuatan) yang bercanggah dengan pemikiran (akal) dan fahaman akidah (perbuatan) ahlus sunnah wal jamaah seperti syiah, qadiani, wahabi, liberal dan sebagainya.

Ada Yang Tidak Tertulis

Frasa pemikiran ini memang tidak dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana jika ada yang berkait dengan Islam pun, hanya ditulis ‘Islam agama Persekutuan’.

Penulis undang-undang pada ketika itu tidak mengambil tanggungjawab yang sepatutnya dengan memasukkan frasa ‘Islam agama Persekutuan mengikut manhaj akidah ahlus sunnah wal jamaah’.

Barulah pengamalan Islam dalam kalangan masyarakat moden dapat diperkukuhkan dengan adanya tiang dan standard yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pemikiran (akal) ini sesuatu yang tidak boleh dilihat namun fahaman akidah (perbuatan) adalah sesuatu yang boleh didengari oleh telinga dan dilihat oleh mata.

Maka jika seseorang umat Islam itu mencari guru dan berpegang kepada ahlus sunnah wal jamaah, mereka akan nampak di mana kepincangan yang berlaku.

Realiti Ibu Bapa Sibuk Bekerja

Realiti hari ini pula apabila ramai umat Islam lahir dalam kalangan keluarga yang sibuk dengan urusan dunia, perlu bekerja untuk makan dan berhutang demi gaya hidup, lompong agama berlaku.

Ibu bapa yang sibuk memang terang-terang tiada masa hendak bercakap tentang agama malah disuruhnya cari guru sendiri asalkan boleh belajar ilmu agama.

Kemudian harus difikirkan pula, ibu bapa galakkan anak-anak belajar ilmu agama itu untuk apa. Sekadar untuk lulus ujian kelas atau jadi umat Islam yang berkualiti kerana Allah SWT dan Baginda?

Kelompongan inilah memberi peluang kepada umat Islam yang memiliki fahaman akidah syiah, qadiani, wahabi, liberal dan sebagainya untuk menunjukkan betapa bagusnya mereka.

Untuk dapatkan pengikut bagi fahaman akidah ini bukannya susah, bukannya perlu tanda tangan borang, cukup dengan sekadar percaya dengan logik dan lama-kelamaan taksub untuk mengikuti.

Kerana mereka akan hidangkan dengan frasa-frasa yang menyenangkan dan media sosial adalah tempat terbaik untuk mengiburkan hati.

Bayangkan individu bercakap secara tegas bahawa ada perkara yang ditegah dan tidak boleh dibuat sekali gus ia bercanggah dengan minat kita, apakah kita akan ‘ngam’ dengan mereka?

Sudah tentulah tidak kerana Islam yang sebenar tidak kejam, tidak susah dan ada tertibnya yang tersendiri yang perlu dihormati, bukannya mengubah pemikiran dan fahaman akidah sedia ada kononnya relevan mengikut zaman.

Yang cetek atau kosong ilmu dan terima bulat-bulat kerana mereka beranggapan ia logik dan sesuai untuk diamalkan tanpa perlu bersusah payah seperti orang-orang terdahulu!

Keputusan : Ancaman Aliran Bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah Terhadap Perpaduan Umat Islam Malaysia

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 3 Rejab 1436 bersamaan 22 April 2015 telah mengambil maklum perkara-perkara berikut:

i) Umat Islam di Malaysia secara umumnya berpegang kepada mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, aqidah berasaskan mazhab Asya’riah dan al-Maturidiah dan feqah berdasarkan mazhab Syafie.

ii) Ajaran agama berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan ajaran yang sederhana atau wasatiah. Ajaran yang diamalkan oleh umat Islam di Malaysia sejak sekian lama ini ternyata menjamin keamanan, kesejahteraan dan keharmonian dalam menjalani kehidupan bermasyarakat.

iii) Kehadiran mana-mana aliran pemikiran baharu seperti pemikiran Islam Liberal, fahaman salafiah wahabiah yang melampau, fahaman syiah dan fahaman sufi yang menyeleweng dan terkeluar dari mazhab arus perdana boleh menyumbang kepada kekeliruan pemikiran masyarakat awam dan akan mengancam perpaduan yang sedia ada di Malaysia.

iv) Gerakan syiah di Malaysia sudah meluas dan tersusun. Bilangan pengikut syiah sedang berkembang dan mereka sudah berani menzahirkan kewujudan mereka. Ini dapat dilihat antaranya dari keberanian mereka menubuhkan Majlis Syiah Malaysia, menghantar memorandum terbuka kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta membuat perakuan bersumpah di mahkamah. Ternyata mereka sudah tidak lagi menggunakan prinsip taqiyyah dalam menghadapi golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia

v) Aliran Salafi-Wahabi adalah tidak selari dengan jumhur Ahli Sunnah Wal Jamaah. Oleh itu, ramai sekali tokoh-tokoh besar Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak dari kemunculan wahabi sampai sekarang memberikan pendapat negatif dalam pegangan Salafi-Wahabi.

vi) Dalam konteks aqidah yang berkaitan dengan pegangan kepada tauhid tiga iaitu Rububiyyah, Uluhiyyah dan Al Asma Wa As Sifat, ajaran Salafi-Wahabi sudah terdedah secara meluas dalam masyarakat Islam di Malaysia melalui penerimaannya dalam silibus pendidikan Islam di peringkat sekolah menengah dan universiti. Hal ini adalah suatu perkara yang amat tidak wajar dan cukup membimbangkan kerana konsep tauhid tiga jelas bertentangan dengan konsep tauhid Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berteraskan kepada ajaran Asya’riah dan al-Maturidiah.

Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh penelitian , maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut:

i) Pihak penguatkuasaan perlu konsisten dalam mengambil tindakan undang-undang ke atas para pengikut fahaman syiah dan salafi-wahabi yang didapati menyebarkan fahamannya kepada masyarakat awam.

ii) Enakmen undang-undang negeri yang melibatkan kedudukan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai mazhab rasmi negeri perlulah disemak semula dan dibuat penambahbaikan sekiranya perlu.

iii) Silibus sekolah agama hendaklah disemak semula khususnya yang berkaitan dengan aqidah.

Sumber: e-SMAF

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker