Zaman kini, media sosial seolah-olah merupakan nadi kehidupan. Kemana-mana, bila-bila sahaja isu dari media sosial menjadi bahan bualan mahupun isu semasa di strim media utama. Malah lebih mengekstrimkan, pengguna menggunakan medium media sosial untuk menghangatkan sesuatu isu sehingga mendatangkan perbalahan. Tidak kurang juga isu yang dipandang remeh ditularkan di media sosial supaya diambil tindakan serius oleh pihak bertanggungjawab.
Pernyataan yang menyatakan media sosial merosakkan akhlak Melayu atau mana-mana komuniti agak subjektif kerana penggunaannya dari setiap individu adalah bersifat bervariasi. Namun ia tidak menafikan potensi bahaya media sosial jika penggunaannya tidak terkawal dan bertanggungjawab.
Antara salah satu Impak negatif yang dibawa dari media sosial ini ialah penyebaran berita palsu dan fitnah. Gosip-gosip dan budaya “spill tea” di media sosial juga menular dengan cepat kerana mudah menarik perhatian orang awam. Malahan komentar-komentar negatif yang ditinggalkan memburukkan lagi keadaan dan mengakibatkan lebih spekulasi yang menjatuhkan reputasi seseorang. Hal ini meninggalkan kesan yang buruk terhadap akhlak seseorang atau komuniti kerana berlakunya informasi yang tidak benar, disalahgunakan malah diperbesarkan hingga menjadi aib kepada mangsa.
Baca juga>> Media Sosial Tempat Orang Hiburkan Hati, Maka Yang Pahit Benar Pasti Disanggah!
Kini capaian pelbagai kandungan yang boleh diakses tanpa sempadan menjadi cabaran untuk pengguna media sosial termasuk masyarakat Melayu. Pendedahan kepada konten berbahaya seperti keganasan, pornografi, atau penggunaan bahasa yang kasar boleh merosakkan akhlak dan mempengaruhi norma masyarakat. Malahan trend-trend negatif dan gaya hidup yang sering diekspresikan di media sosial menjadi kebimbangan pengaruh dari budaya asing ini tidak sejajar dengan nilai tradisional Melayu.
Penggunaan media sosial secara berleluasa juga mungkin mengakibatkan gangguan terhadap komunikasi sosial tradisional dalam masyarakat Melayu. Orang Melayu yang sangat sinonim dengan nilai-nilai ketimuran dan kebersamaan sangat bertentangan dengan gaya konsumsi media sosial pada zaman kini. Interaksi bersemuka sangat ditekankan dalam masyarakat Melayu supaya ikatan kemesraan lebih erat berbanding berseorangan berinteraksi dengan telefon bimbit.
Oleh itu sangat penting untuk setiap dari kita menitikberatkan penggunaan media sosial agar tidak mendatangkan kemaslahatan kepada akhlak kita.