Sejarah

Md Ali Amir Batcha, Polis Hebat Dari UTC D9 Yang Dikhianati ‘Manusia Salah Guna Uniform’?

Satu unit kecil yang dinamakan Pasukan Operasi Khas atau Unit Tindak Cepat (UTC) IPD Johor Bahru dan (UTC) D9 IPK Johor telah ditubuhkan sekitar tahun 1988 hingga 1993.

Unit ini ditubuh serta diketuai seorang angota polis berpangkat Asistan Superintenden Polis (ASP) G 9050, Md Ali Amir Batcha dengan misi menumpaskan jenayah dalam negara.

Ketika itu, Ali Batcha bertugas di Cawangan Siasatan Jenayah Berat (D9) Daerah Johor Baharu dan sepanjang penubuhan UTC, banyak kejayaan besar berjaya dicapai.

Lalui 35 Kali Pertempuran

Antaranya 170 penjenayah berjaya ditumpaskan ketika berbalas tembak dan merampas lebih kurang 90 pucuk senjata api pelbagai jenis dalam 35 kali pertempuran menentang penjenayah ganas.

Atas kecemelangan tersebut, UTC Johor dianugerahkan enam surat kepujian atau penghargaan Ketua Polis Johor dan dua surat kepujian Ketua Polis Negara.

Menurut Ali Batcha dalam satu perkongsiannya dalam media sosial, keadaan mula berubah apabila Datuk Ahmad Ragibb menjadi Ketua Polis Johor pada tahun 1995.

Ada Yang Tidak Senang

Dedah Ali Batcha, Ketua Polis Johor yang baru pada ketika itu dikatakan tidak senang dengan cara kerjanya serta beberapa siri kejayaan yang dicapai UTC.

Ahmad Ragibb dikatakan berusaha melakukan berbagai perkara membuat hidup Ali Batcha susah sekali gus menyukarkan beliau untuk menjalankan tugas risikan dan membanteras jenayah.

Keadaan ini berlarutan sehinggalah Ahmad Ragibb membuat keputusan drastik untuk membubarkan UTC yang banyak mencipta kejayaan sepanjang penubuhannya.

Dalam tahun yang sama, 9 Mac 1995 menjadi saksi Ali Batcha diarah bertukar ke Ibu Pejabat Daerah Polis Tumpat sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Tumpat Kelantan.

Diugut Bunuh Penjenayah

Oleh kerana di Tumpat ada sekumpulan penjenayah pembekal senjata api pernah membuat ugutan bunuh ke atas Ali Batcha, satu laporan polis telah dibuat.

Memikirkan faktor keselamatan, Ali Batcha membuat rayuan dan memohon untuk ditukarkan ke negeri lain sama ada di Melaka atau Selangor.

Ketika itu juga Ali Batcha bukan lagi pegawai UTC D9 IPK Johor dan pada 20 Mei 1995, beliau diarahkan bertukar ke Ibu Pejabat Kontijen Polis Selangor (IPK) sebagai Pegawai Gerakan.

Pada 22 September 1995, Ali Batcha ditukarkan ke cawangan D9 IPK Selangor dan menubuhkan UTC Selangor sekali gus mengetuai dan mengendalikan UTC D9 IPK Selangor dengan cemerlang.

Dalam masa lima bulan sahaja, lima operasi khas berjaya dilaksanakan dan 24 penjenayah tewas dalam kejadian berbalas tembak dan sejumlah 16 pucuk senjata api dirampas.

Atas kejayaan mengetuai dan mengendali UTC D9 IPK Selangor menerusi lima operasi khas sepanjang 3 September 1995 hingga 21 Mac 1996, Ali Batcha diberikan dua surat kepujian Ketua Polis Selangor dan satu anugerah Pingat Keberanian oleh Yang Di Pertuan Agong (YDPA).

Cuti Tanpa Gaji, Ikuti Jemaah Tabligh Berdakwah

Pada 26 Mac hingga 23 Julai 1996, Ali Batcha mengambil cuti tanpa gaji selama empat bulan untuk keluar berdakwah bersama jemaah tabligh ke Korea, Taiwan, Hong Kong dan Macau.

Sebelum terbang keluar negara, Officer of Contigent Crime Investigation (OCCI) IPK Selangor meminta Ali Batcha menulis satu surat berkaitan dengan ugutan dan ancaman keselamatan nyawa terhadap tiga orang sumbernya (informer) yang berdaftar secara rasmi dengan UTC D9 IPK Selangor.

Ugutan dan ancaman tersebut dilakukan empat orang anggota Polis Cawangan Pencegah Jenayah IPD Johor Bahru di bawah seliaan Insp. Ramli Mokhtar.

Mengapa ugutan dan ancaman itu dibuat? Sedangkan empat anggota tersebut pernah berkhidmat sebagai anggota di dalam pasukan surveillance tim B UTC D9 Johor di bawah seliaan Ali Batcha antara bulan November 1993 hingga Februari 1995 sebelum UTC Johor dibubarkan.

Lebih aneh, tiga informer tersebut telah banyak membantu pihak polis menyalurkan maklumat yang sangat berguna dan penting di dalam setiap operasi khas yang dijalankan.

Pada 28 Mac 1996, surat pendedahan kegiatan empat anggota polis tersebut dan seorang pegawai kanan yang terlibat dengan kegiatan jenayah dan melindungi kumpulan penjenayah Indonesia yang banyak melakukan jenayah samun diserahkan kepada OCCI Selangor, Tuan Khoo Ah See.

Seterusnya ia dipanjangkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan susulan surat itu, pihak Bukit Aman membuat siasatan dan mendapati ia adalah benar dan tindakan telah diambil.

Ekoran pendedahan surat tersebut juga, empat anggota dan pegawainya serta beberapa orang anggota CPJ Johor Bahru mula membuat tohmahan terhadap Ali Batcha dengan tomahan yang palsu dan berat :

1. Fitnah Dan Laporan Kepada Badan Pencegah Rasuah BPR Johor Bahru

Pada April 1993, Ali Batcha dan unitnya menumpaskan satu sindiket curi kereta (Ops City Link). Pada 11 Februari 1995, salah seorang ahli sindiket curi kereta tersebut, Hairulnizam membuat tohmahan dan fitnah sehingga Ali Batcha disiasat Badan Pencegah Rasuah Johor dan polis.

Kes itu kemudian ditutup BPR dan polis selepas hasil siasatan akhirnya mendapati ia tiada asas, palsu dan tohmahan sahaja akibat dari rasa tidak berpuas hati.

Pada Oktober 1996, Hairulnizam maklumkan kepada Ali Batcha bahawa dia sebenarnya telah diarahkan Ahmad Ragibb untuk membuat laporan dan menuduh kenderaan miliknya bernombor SS2011A adalah kereta curi dan menggunakan nombor plat palsu.

Pada bulan Februari 1997, BPR Johor mengeluarkan waran tangkap terhadap Ali Batcha (No. 61-8-1996 (S2) bersabit JBR 10918/96).

Pada 3.3.1997 semasa sebutan kes di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, BPR tidak membicarakan saya bersabit rpt JBR 10918/96 saperti dinyatakan mengikut waran tangkap,tetapi saya dibicarakan berkait dengan repot no JBR 323795 yang mana kes tersebut telah ditutup sejak bulan Feb 1995.

Pada mei 1998 mahkamah telah menggugurkan semua tuduhan terhadap saya namun tunggakan gaji yang sepatutnya saya terima sepanjang ditahan kerja selama 8 bulan 22 hari itu tidak dikembalikan kepada saya sehingga kini (2019).

2. Tuduhan Di bawah Ordinan Darurat

Pada 22 September 1997, Ali Batcha ditangkap dan dituduh di bawah Ordinan Darurat serta ditahan selama dua bulan di Police Rehabilitate Center (PRC) yang biasa digunakan oleh Cawangan Khas dan tiga tahun lagi di Penjara Simpang renggam atas dua pertuduhan.

Ia adalah kerana fitnah dan tohmahan lima anggota polis Johor Bahru yang miliki rekod disiplin yang buruk dan telah diambil tindakan oleh PDRM atas kesalahan jenayah.

Tuduhan pertama: Ali Batcha dikatakan bersama empat anggota tersebut sebagai rakan sejenayah dan telah merancang untuk melakukan samun ke atas Public Bank Kulai pada Jun 1995 tetapi telah membatalkannya.

Fakta sebenar: Bulan Jun 1995, Ali Batcha tidak lagi bertugas sebagai pegawai UTC D9 IPK Johor kerana diarah bertukar ke IPK Selangor pada 20 Mei 1995 dan UTC D9 IPK Johor telah dibubar sejak Februari 1995.

Tuduhan kedua: Ali Batcha dikatakan bersama empat anggota tersebut telah merancang dan melaksanakan rompakan French Bank Permas Jaya pada 16 Jun 1995 dan menuduhnya memperolehi lebih kurang RM526,30700.

Ali Batcha dituduh mengguna dan memperalatkan anggota UTC yang telah dibubarkan untuk terus melakukan jenayah kekerasan samun.

Fakta sebenar: Selepas UTC D9 IPK Johor dibubarkan, anggota-anggotanya telah kembali ke unit asal mereka dan Ali Batcha tiada kawalan ke atas mereka lagi.

Angkara Fitnah, Hidup Musnah

Pada 22 November 1997 sewaktu dalam tahanan, keputusan untuk tindakan tatatertib oleh Suruhanjaya Pasukan Polis dikeluarkan dan Ali Batcha dikenakan perintah buang kerja atas alasan mencemarkan pasukan polis.

Pada 22 November 1999, tahanannya dilanjutkan lagi dua tahun sehingga 22 November 2001 apabila mereka gagal memujuk dan memaksa Ali Batcha mengaku melakukan jenayah seperti yang dituduh dan ditohmahkan.

Namun demikian pada 27 Oktober 2000, perintah tahanan ke atas Ali Batcha dibatalkan Menteri Dalam Negeri yang baharu.

Sebaik sahaja dibebaskan dari tahanan pada 2001, Ali Batcha mengambil tindakan saman sivil untuk menuntut haknya yang telah dirampas secara salah.

Dalam pengurusan kes pada 2004, Ketua Polis Negara (KPN) telah memohon untuk membatalkan saman Ali Batcha dan pada 2005, penolong pendaftar mahkamah menolak permohonan KPN tersebut.

Seterusnya pada tahun 2005, KPN memohon ke mahkamah tinggi untuk menolak saman Ali Batcha dan pada 2006, Hakim, Datuk Hishamudin Yunus tmenolak permohonan KPN untuk membatalkan samannya.

Hakim menetapkan 2 hari untuk perbicaraan pada 15 dan 16 Oktober tahun yang sama dan isu yang dipersetujui untuk dibicarakan merangkumi :

  1. Konspirasi
  2. Tahanan salah
  3. Berniat jahat untuk datangkan bencana

Hal ini memberi makna Ali Batcha memiliki locus standi dan asas yang kukuh untuk dibicarakan.

Namun disebabkan masaalah kewangan yang teruk selepas dibebaskan daripada tahanan serta beberapa kenyataan Hakim dan barisan peguam tidak begitu membantu, Ali Batcha hilang keyakinan untuk meneruskan perbicaraan pada waktu itu.

Ali Batcha terpaksa menarik saman pada waktu tersebut dan hanya mampu menunggu sehinggalah babak pertukaran kerajaan berlaku pada 2018.

Demi mahu hak yang dinafikan selama ini dikembalikan, Ali Batcha membuat laporan polis (Sek 9/013172/18) pada 12 Disember 2018 berkait dengan salah laku pegawai dan anggota yang membuat cerita fitnah untuk saya sehingga saya dikenakan hukuman di bawah Ordinan Darurat.

Seterusnya pada 18 Disember 2018, Ali Batcha membuat laporan polis kedua berkait tuntutan yang sama (Sek 9/013381/18).

Pada 22 Disember 2018 pula, Ali Batcha membuat laporan polis ke-3 bersabit tuntutan berkaitan tetapi masih tiada apa-apa tindakan dan jawapan balas dari pihak polis (Sek 9/013519/18).

Dipetik daripada Dari D9 Ke Tahanan Tanpa Bicara

➡️ KLIK UNTUK SERTAI KOMUNITI DEMI MALAIU DI SINI

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker