Sejarah

Masjid Ukay Perdana Ambil Peluang Perkenalkan Budaya Melayu Kepada Jemaah!

Suatu ketika dahulu, institusi keagamaan seperti surau dan masjid memang memainkan peranan yang penting dalam membentuk pejuang Melayu yang lengkap ilmu agama dan ilmu pertahanan diri.

Namun setelah munculnya segelintir pihak yang diberi peluang mempelajari agama Islam di luar negara, tanpa ada yang mengetahui, satu fahaman baharu timbul sehingga silat dipandang serong.

Lebih menduka cita, pihak-pihak yang terpesona dengan pelajaran agama di luar negara terus menjatuh hukum kebanyakan budaya dan warisan Melayu adalah terpesong dan mensyirikkan Allah SWT.

Sedangkan bagi pengamal silat, budaya serta warisan, menerusi cara itulah mereka mengenal Allah SWT kerana dalam gerak, rentak, bunyi atau ilham, semuanya daripada Allah SWT.

Bagi seorang pengunjung, Mohd. Rastari Zulkarnain, 47, konsep yang dibawakan Masjid Ukay Perdana adalah satu tindakan yang tepat dan diperlukan pada zaman ini.

“Kebanyakan pihak-pihak yang menjatuhkan sesuatu hukum pada suatu masa dahulu, mereka bukanlah terdiri daripada ahli persilatan, budaya dan warisan.

“Lebih mengecewakan, difahamkan pada ketika itu, tiada pun musyawarah dibuat kecuali mereka menggunakan kuasa dan jawatan untuk menjatuhkan sesuatu hukum.

“Maka bagi masyarakat awam yang kurang ilmu, pasti akan rasa takut dengan perkara yang mereka tidak ketahui sedangkan Melayu dan Islam itu adalah bersatu,” katanya.

Mohd. Rastari berkata demikian ketika ditemui Demi Malaiu dalam program Temasya Warisan Melayu Dan Islam di Masjid Ukay Perdana, Ampang, Selangor.

Program Temasya Warisan Melayu Dan Islam berlangsung selama dua hari iaitu pada 10 dan 11 Jun 2022 di Masjid Ukay Perdana dan sepanjang program pelbagai aktiviti disediakan.

Antaranya sesi pembelajaran untuk memanah, pertandingan busana Melayu tercantik, gusti lengan dan jualan barang-barangan Melayu seperti busana serta keris.

Seorang lagi pengunjung, Nur Zakiah Talmizi, 31, berpendapat, keputusan yang diambil Masjid Ukay Perdana untuk menganjur program tersebut dalam kawasan perkarangan masjid sesuatu yang luar biasa.

“Masih ramai orang-orang Melayu kita takut-takut untuk berbangga dengan warisan, budaya dan jati diri Melayu itu sendiri sedangkan ia menjadi tanggungjawab anak bangsa untuk mempertahankannya.

“Memang kalau mati nanti malaikat mungkin tidak tanya kita Melayu atau Islam tetapi yang pasti apabila menjadi Melayu, kita mengamalkan Islam. Fahamkan perkara ini dan tidak salah untuk berbangga.

“Hal ini demikian kerana bangsa mana lagi yang menjulang agamanya dalam jati diri bangsanya? Adakah semua orang di Arab Saudi? Tepuk dada, tanya iman. Kita lebih kenal siapa diri kita,” ujarnya.

 

 

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button