Sejarah

Masih Ada Rakyat Gagal Kuasai Bahasa Kebangsaan – YDPA

Polemik isu berkaitan Bahasa Kebangsaan masih hangat diperkatakan ramai pihak sehingga ke hari ini. Isu ini perlu diselesaikan segera oleh mereka yang berotoriti sekaligus melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan Bahasa Kebangsaan dikuasai seluruh rakyat negara ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna.

“Perkara ini jelas dapat dilihat kerana generasi hari ini masih gagal menguasai Bahasa Kebangsaan dan gagal memahami budaya hidup kaum lain.”

“Oleh itu Baginda Tuanku turut menyeru kepada kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.”

Titah Tuanku lagi, Pepatah Melayu ada menyebut, “meluntur buluh biarlah dari rebungnya” yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa depan yang bersatu padu dan saling memahami kita mesti membentuk mereka sejak dari kecil.

“Saya juga menyeru kepada semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif yang tidak melibatkan Raja, kaum dan agama,” Titah Baginda semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15.

Seri Paduka Baginda turut bertitah, Perlembagaan telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara dan akan terus kekal dipelihara dengan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman namun tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.

Baca juga>> Martabatkan Bahasa Kebangsaan Malaysia: Titah Agong Wajar Dipandang Serius oleh Kerajaan?

 

“Oleh itu, jangan ada mana pihak yang cuba menggugat atau mempolitikkan asas perlembagaan ini!” Titah Baginda.

 

Modul Pendidikan ‘Bangsa Johor’, Galak Perpaduan Antara Kaum – TMJ

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah mencadangkan agar kerajaan negeri dapat membangunkan modul pendidikan yang menggalakkan perpaduan ‘Bangsa Johor’.

 “Pada masa akan datang, tidak ada lagi sekolah India, Cina, Melayu di negeri Johor.“ Tetapi (negeri ini) akan ada sekolah Bangsa Johor.”

Di sekolah itu nanti, “Daripada kecil mereka akan diajar macam mana untuk bersatu, menghormati agama antara satu sama lain, menghormati bangsa dan kaum-kaum lain,” kata beliau dalam satu rakaman dialog yang dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Beliau turut bertanyakan jika sekolah jenis kebangsaan menggalakkan perpaduan antara rakyat Malaysia?

“Di negara ini kita ada sekolah India, ada sekolah Cina, ada sekolah Melayu. Daripada kecil mereka sudah diajar untuk jangan bersatu, dan selepas itu apabila sudah besar mereka disuruh bersatu?” katanya dalam sesi dialog itu.

 

Rakyat Tidak Setia Selagi Tidak Fasih Berbahasa Melayu – Teo Kok Seong

Sementara itu, pakar bahasa, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menjelaskan, penggunaan Bahasa Melayu secara meluas dalam program mahupun pendidikan di negara ini perlu dilaksanakan kerana ia dapat menyerlahkan identiti Malaysia.

Menurut beliau, perkara itu juga selaras ketetapan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Walaupun Bahasa Melayu masih digunakan dalam situasi tertentu dan dipertuturkan pelbagai bangsa, kalangan yang mengangkat Bahasa Melayu dalam penggunaannya semakin mengecil.

Perkara itu menurut beliau, berlaku disebabkan peranan penting Bahasa Melayu diambil alih satu persatu oleh Bahasa Inggeris.

Beliau yang juga Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM mengingatkan bahawa, Bahasa Melayu mula beralih daripada bahasa besar yang penting menjadi bahasa kecil dan tidak penting.

“Kita dapat lihat sesetengah kementerian mengutamakan penggunaan Bahasa Inggeris dalam menamakan program tertentu seperti Food Bank, FitMalaysia, kenapa tidak guna Bahasa Melayu sepenuhnya?”soalnya.

Tambah beliau lagi, dalam kita menegur sektor swasta yang tidak begitu terikat dengan Bahasa Melayu kerana ada antaranya syarikat antarabangsa, sektor awam harus menunjukkan teladan yang baik.

“Begitu juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam majlis diadakan mereka,” ujarnya.

Hari ini agensi kerajaan, GLC dan swasta masih mengutamakan Bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka.

Seharusnya, Bahasa Melayu digunakan dalam program yang dianjurkan dengan meluas dan menjadi peranan rakyat Malaysia untuk memastikan Bahasa Melayu terus berkembang.

Kok Seong berkata, siapa lagi boleh mengangkat Bahasa Melayu melainkan rakyat Malaysia sendiri.

Tegas beliau, bagaimana rakyat mampu menunjukkan kesetiaan selagi mereka tidak fasih berbahasa Melayu?

Menarik: Basic Doctrine Structure Asing: Kesan Kepada Islam, Melayu & Raja-raja

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Dapatkan Kandungan Demi Malaiu Sekarang!
Terima Notifikasi Setiap Kali Kami Siarakan Kandungan Baru