“Isu pembakaran al-Qur’an adalah bukti jelas menunjukkan masih ada pihak yang bertindak agresif menghalang hak asasi manusia untuk mengamalkan agamanya,”ujar Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.
Menurutnya, apabila mereka yang sering lantang bersuara memperjuangkan hak asasi tiba-tiba bisu, atau kurang sensitif dalam isu ini, pastinya menimbulkan tanda tanya tentang keikhlasan perjuangan mereka.
Malah, turut diragui motif mereka apabila tidak inklusif dalam isu yang menyentuh hak asasi majoriti warganegara Malaysia.
Beliau berkata demikian apabila di tanya mengapa pemimpin bukan Islam di Malaysia hanya senyap ketika isu pembakaran al-Quran sedang hangat diperkatakan sekarang dan bertindak untuk mengalih isu kepada Hak Asasi Wanita dan Kanak-kanak, seperti yang dilakukan oleh Bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto baru-baru ini yang dalam masa yang sama sibuk menggesa Wisma Putra supaya memanggil juga wakil Afghanistan berhubung isu pencabulan hak wanita dan kanak-kanak ketika dunia sibuk mengecam dan membicarakan isu pembakaran al-Quran yang menjadi topik utama?
Pengasas Jurisprudens Watan berkhidmat di Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu mengingatkan bahawa pihak berkuasa yang diberi tanggungjawab dan pihak yang sering membangkitkan isu hak asasi manusia perlu peka dan konsisten untuk mendidik rakyat agar perbuatan keji lagi jenayah seperti itu tidak berlaku di Malaysia.
Beliau tidak menafikan persoalan mengenai apakah MP-MP ini yang hanya beretorik sahaja ketika berjanji menjaga kepentingan rakyat berbangsa Melayu Islam atau memang tidak prihatin kepada isu ini?
Persoalannya, adakah MP-MP bukan Islam ini betul-betul faham tujuan angkat sumpah dan berjanji akan menjunjung Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan Malaysia?
Tambah beliau, setiap Ahli Parlimen perlu melihat jika ada ruang untuk mengukuhkan peruntukan undang-undang sedia ada agar sesiapa sahaja berada di bumi Malaysia menghormati kebebasan beragama dalam kerangka Undang-undang Perlembagaan Persekutuan. Selain perlu lebih memahami kepentingan dan sensitiviti rakyat majoriti negara.
Bagaimanapun jelasnya, dalam masa yang sama, pihak penguatkuasa yang berkenaan perlu bukan sahaja menguatkuasakan peruntukan Undang-undang berkenaan, malah wajar bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mendidik serta memberikan pendedahan betapa penting isu sensitif yang menggugat keharmonian rakyat perlu dihindari.