Isu SemasaRaja-Raja

Martabatkan Bahasa Kebangsaan Malaysia: Titah Agong Wajar Dipandang Serius oleh Kerajaan?

Saranan penting dan tegas Yang di-Pertuan Agong Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim melalui titah pada mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 yang lalu supaya kerajaan merangka dasar untuk mengukuhkan keharmonian serta perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan, khususnya dalam usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan di semua peringkat termasuk di peringkat sekolah kebangsaan dan sekolah swasta.

Pepatah Melayu ada menyebut, “melentur buluh biarlah dari rebungnya,” yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa depan yang bersatu padu dan saling memahami kita mesti membentuk mereka sejak dari kecil.

Sebab itu, walaupun setelah 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna!

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, perkara ini dapat dilihat kerana generasi hari ini masih gagal menguasai Bahasa Kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.

“Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan untuk rangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.”

Persoalannya siapa yang patut bertanggungjawab memartabatkan Bahasa Kebangsaan?

Inilah pentingnya sekolah satu aliran sahaja!

Perkara ini jelas, memberi kesan negatif yang ketara kepada sistem pendidikan negara apabila Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) kini diberi ‘pengiktirafan’ walaupun tidak berkeperluan. Bukan itu sahaja ada yang bertanya benarkah kini terdapat pula usaha menyerap melalui laluan khas pelajar lepasan UEC ke dalam pentadbiran awam kerajaan walaupun mereka tidak tahu berbahasa kebangsaan?

Bukankah tanggungjawab kerajaan untuk menolak UEC kerana pelajar di sekolah menengah Persendirian Cina tidak menggunakan kurikulum KPM, sekaligus di luar sistem pendidikan negara Malaysia.

Walaupun Menteri Pendidikan menjelaskan Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendirian tegas untuk menghormati Akta Pendidikan 1996 yang mengiktiraf kedudukan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, realitinya sekolah-sekolah vernakular ini telah memisahkan anak-anak kecil dari umur 7 tahun untuk bergaul bersama murid sebaya berbilang kaum dan berinteraksi satu sama lain agar dapat memahami dan bertutur dalam Bahasa Kebangsaan.

Bukankah murid generasi baharu yang bakal tidak faham dan tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu akan bertambah setiap tahun jika mereka berterusan belajar di sekolah vernakular?

Kita lihat bertapa gagalnya pentadbiran sejak dari tahun 1996 sehingga 2024, apabila  KPM memberikan dana berpuluh juta kepada hampir 2000 sekolah-sekolah vernakular yang telah melahirkan generasi yang tidak mampu faham dan sukar berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan fasih dan betul hingga ke usia tua mereka.

Lebih malangnya, kebanyakan Universiti Awam (UA) kini juga telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama di universiti. Memperlihatkan bertapa mereka pula menjadi lebih British dari British sendiri? Sampai pening dibuatnya adakah ini Malaysia atau negara asing? 

Sebagai negara merdeka, bukankah sepatutnya hanya satu aliran sahaja sistem pendidikan perlu dilaksanakan. Jangan kerana ingin mengambil hati pihak tertentu, Bahasa Kebangsaan digadaikan. Jangan pula kerana ingin menang pilihan raya, bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pun sanggup diinjak dan dikesampingkan, sekaligus mengenepikan titah baginda sultan. Bukankah itu derhaka namanya?

Sedarlah, Bahasa Melayu ialah hak milik negara ini maka ia wajar dimartabatkan sesuai dengan tarafnya sebagai Bahasa Kebangsaan.

Bagaimana akan terbinanya perpaduan andai penggunaan bahasa pun sudah bercampur aduk. Bukan kita menolak kelainan sesuatu bangsa itu, kita tetap raikan cuma kita perlu melihat kepada persamaan yang jelas untuk mengeratkan hubungan antara sesama kita dan yang paling tepat adalah bahasa untuk kita berkomunikasi. Maka, sudah pasti Bahasa Kebangsaan mampu menjadi jambatan mengeratkan hubungan antara kaum yang semakin menipis.

Tidakkah kerajaan wajar melakukan pemantauan lebih rapi bagi memastikan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dapat diperluas untuk setiap subjek di semua sekolah mahupun di pusat pengajian tinggi demi membolehkan setiap pelajar tanpa mengira bangsa menguasainya dengan baik.

Hari ini kita dapat melihat masih terdapat usaha ‘membunuh’ bahasa Melayu dilakukan secara perlahan-lahan oleh segelintir rakyat yang tidak mempunyai semangat patriotisme dalam diri.

Bayangkan, kita telah lama merdeka, namun bahasa Melayu seolah-olah bukanlah Bahasa Kebangsaan walaupun di sebalik usaha memartabatkannya yang masih diadakan seperti Bulan Bahasa dan Dekad Bahasa serta lain-lain kempen yang hasilnya tidak seperti yang diharapkan.

Keadaan ini menggambarkan masih terlalu ramai warganegara yang tiada kesedaran dan masih berpura-pura tidak memahami berkenaan kedudukan dan kedaulatan bahasa Melayu yang sedia termaktub dalam perlembagaan yang memang tidak boleh diusik oleh sesiapa pun yang menjadi pemerintah di negara ini.

Baca juga>> Pembaziran Dalam Bulan Puasa

Hari ini, Bahasa Melayu terus dipinggirkan sebilangan warganegara kerana tiada usaha serius untuk mendaulatkannya. Amat jelas usaha melenyapkan peranan Bahasa Melayu dilakukan secara perlahan, termasuk masih ada cubaan menggantikan Bahasa Melayu dengan nama bahasa Malaysia. 

Walhal, Perkara 152 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan ‘Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.

Tiada Lagi Tolak Ansur Dalam Usaha Daulatkan Bahasa Kebangsaan, Noktah!

Secara faktanya, Bahasa Melayu ialah mata pelajaran utama di sekolah. Pelajar dekad 1980-an dan awal 1990-an amat menghargai Bahasa Kebangsaan itu. Para pelajar ketika itu yang menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu. Jika gagal, mereka tidak akan menaiki Tingkatan Empat.

Namun hari ini, gagal atau lulus subjek penting itu tidak memberi makna kerana pelajar dibenarkan menyambung hingga mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apatah lagi mereka yang di sekolah vernakular?

Sebagai warganegara Malaysia, tiada sebab kita tidak tahu berbahasa Melayu kerana Bahasa Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan dan diklasifikasikan sebagai Bahasa Kebangsaan negara ini.

Menyedihkan, apabila hari ini ia bukan sesuatu yang luar biasa apabila masih ada pelajar Tingkatan Lima tidak boleh bertutur Bahasa Melayu. Semua ini disebabkan tiadanya ketegasan kerajaan dalam pelaksanaan.

Lihat saja, pada sistem pendidikan di negara ini yang jelas tidak sama dan selari antara sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan apatah lagi sekolah vernakular yang sangat jauh menyimpang dan jelas menolak terus penggunaan Bahasa Melayu.

Penggunaan istilah Bahasa Melayu yang ditukar kepada Bahasa Malaysia untuk buku teks murid sekolah rendah juga sepatutnya telah lama menggunakan kembali Bahasa Melayu dalam setiap buku teks.

Justeru, sewajarnya pihak Kementerian bukan sahaja perlu menyeragamkan sistem pendidikan di semua aliran di setiap sekolah yang wujud di negara ini malah, subjek Perlembagaan Persekutuan khusus mengenai Bahasa Kebangsaan juga perlu diwajibkan untuk semua murid negara ini pelajari sebagai cara memupuk minat dan menyemai kecintaan terhadap Bahasa Kebangsaan di jiwa mereka selain turut digesa untuk menghayati intipati Rukun Negara.

Sebagai warganegara, kalaupun tidak ada rasa malu kerana tidak mempunyai lidah yang fasih berbahasa Kebangsaan, tidakkah terdetik rasa kasihan kepada anak-anak kita yang terpaksa menjadi penyambung kebodohan, kesombongan, dan keengganan kita untuk menjadi warganegara yang setia dan patriotik?

Menarik: Sukan Berkuda: Sunnah Atau Dera?

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker