Khalifah memberi maksud wakil atau pengganti. Khalifah adalah merupakan pengganti kepada Nabi Muhammad SAW. Ia juga gelaran untuk ketua agama dan raja di negara Islam. Gelaran khalifah juga diberi nama ‘Amir Al-Mu’minin’ yang bermakna pemimpin orang beriman. Oleh itu layaklah Raja-raja Melayu di Malaysia digelar khalifah kerana mereka adalah ketua agama bagi negara ini.
Institusi Beraja bukanlah perkara baru di Tanah Melayu. Kerajaan Kedah dikatakan mempunyai sistem Diraja kedua tertua di dunia. Jika ada yang menyatakan sistem Diraja ini wujud dan menjadi lebih sempurna setelah kedatangan British di Tanah Melayu, itu salah sama sekali.
Jadi apakah peranan seorang raja atau yang kini kita gelarkan Yang di-Pertuan Agong?
Seperti yang kita tahu Yang di-Pertuan Agong juga adalah ketua agama bagi negara kita. Berpatutan dengan tugas khalifah, seharusnya seorang Sultan atau Raja memelihara dan meneruskan syiar Islam. Seorang raja boleh diibaratkan sebagai payung buat rakyat dan negaranya.
‘Kepercayaan Kepada Tuhan’, merupakan rukun negara yang pertama. Jika dilihat, Tuhan itu dirujuk kepada siapa? Agama rasmi Malaysia adalah Islam dan secara logiknya Tuhan itu merujuk kepada Allah SWT.
Setiap kali Yang di-Pertuan Agong baru dilantik, baginda akan mengangkat Sumpah Rabbani. Antara lafaz yang diucap baginda,
“ Wallahi, Wabillahi, Watallahi”
“Maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyurkan dan akan disah dan dimasyurkan di masa hadapan ini. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas permintaan yang adil dan aman di dalam Negeri.”
Menerusi Sumpah Rabbani ini jelas tentang peranan YDP Agong atau Raja untuk memelihara agama Islam atas nama Allah SWT dan menjalankan tugasnya sebagai khalifah.
Tidak dinafikan banyak anasir-anasir yang cuba menjatuhkan sistem beraja negara. Terdapat juga gerakan yang cuba menjadikan negara ini sebagai negara republik dan anti-monarki. Sekaligus mencabar kedaulatan negara Malaysia sebagai negara Islam.
Oleh sebab itu, pendidikan di Malaysia seharusnya menekan lebih mendalam tentang konsep Raja-raja Melayu dan menghayati 5 Rukun Negara. Tidak ramai rakyat Malaysia sekarang yang betul-betul menghormati Raja dan sistem Diraja itu sendiri. Jika tiada perasaan hormat, bagaimana seorang Raja mahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua agama?
“… Rahmat Bahagia Tuhan Kurniakan, Raja Kita Selamat Bertakhta.”
2 kali rangkap ini diulang di dalam lagu Negaraku. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus memupuk jati diri serta semangat patriotik untuk memartabatkan lagi institusi beraja yang sudah mula sekian lama di tanah ini. Semoga dengan usaha ini, negara kita kekal dalam kedaulatan serta Raja-raja dapat berperanan sebagai khalifah Allah dalam menyebarkan agama Islam.
Baca juga:
>> Murabbi Pembentuk Kewibawaan Raja-Raja Melayu
Tontonan Video Penuh: