Manusia diuji dengan pelbagai penyakit zahir dan batin sebagai sebahagian daripada aturan kehidupan di dunia ini. Setiap penyakit ada ubatnya dengan dilakukan melalui pelbagai kaedah dan pendekatan yang berbeza.
Mandi Tabal adalah antara pendekatan yang dilakukan oleh orang Melayu bagi mengubati penyakit panahan mata atau orang Arab memanggilnya ‘penyakit ain’, namun dalam istilah Inggeris dinamakan ‘evil eye’.
Ramai orang berpendapat bahawa Mandi Tabal ada melibatkan jin dan syaitan lalu menamakannya ‘Mandi Tabal Jin’.
Pandangan serong tersebut mungkin disebabkan mereka hanya berandaian berdasarkan pengistilahan dari perkataan Inggeris dan tidak membuat rujukan walaupun pada al Quran dan al Hadis.
Kenyataan tersebut juga merupakan tohmahan dengan mengatakan orang Melayu telah mengamalkan sihir dan melakukan perbuatan syirik dan khurafat.
Maka itu tulisan ini cuba untuk membincangkan beberapa perkara asas mengenai penyakit zahir dan batin serta pelbagai kaedah perubatan yang lazimnya dilakukan oleh orang Melayu terutamanya amalan Mandi Tabal.
Terdapat pelbagai penyakit yang menimpa diri manusia di mana ianya menjadi sebahagian ujian bagi kehidupan manusia di dunia ini.
Lazimnya terdapat dua jenis penyakit umum yang menimpa manusia iaitu penyakit zahir dan penyakit batin. Penyakit zahir adalah berkaitan dengan anggota tubuh badan yang disebabkan oleh kuman samaada virus atau bakteria. Serangan kuman boleh terjadi di luar permukaan kulit dan ianya mudah kelihatan.
Serangan kuman juga berlaku ke atas anggota dalaman badan manusia yang bergerak menerusi aliran darah dan menyerang mana-mana angota dalaman yang terdedah dengan kemungkinan jangkitan kuman tersebut.
Namun begitu ada juga penyakit zahir dalam badan manusia yang disebabkan oleh serangan jin dan syaitan yang bertugas untuk merosakkan anggota dalam badan tersebut.
Serangan jin dan syaitan ke atas manusia melalui tiga cara iaitu dalam bentuk saka, sihir dan santau.
Penyakit batin adalah berkaitan dengan roh atau jiwa manusia yang disebabkan oleh anasir ganguan atau makhluk yang tidak dapat atau sukar untuk digambarkan melalui peranti atau alatan canggih modern.
Terdapat dua jenis penyakin batin iaitu pertama yang disebabkan oleh jin dan syaitan dan yang kedua disebabkan oleh sejenis makhluk tertentu yang Allah swt jadikan bagi menjadi sebab kepada berlakunya sesuatu penyakit ke atas manusia yang diberi beberapa nama oleh orang Melayu seperti ‘tulah’, ‘badi’, ‘ain’ atau ‘panahan mata’ dan sebagainya.
Tulah adalah sebarang kecelakaan atau kesukaran batin tertentu yang disebabkan oleh kutukan berikutan perbuatan derhaka kepada ibu dan bapa bagi anak, derhaka atau tidak taat kepada suami bagi isteri, derhaka atau tidak hormat kepada guru bagi murid dan sebagainya.
Badi adalah kecelakaan atau kesukaran batin yang dialami oleh seseorang atas perbuatan membunuh manusia atau haiwan tanpa sebab munasabah.
Penyakit batin akibat tulah, badi dan panahan mata tidak melibatkan kesakitan jasad tetapi melibatkan kemurungan dan ketidakselesaan kepada batin yang berkemungkinan menjadi penghalang kepada kemajuan dalam menjalani kehidupan di dunia.
Penyakit ‘ain’ atau panahan mata di mana dalam perkataan Inggeris dipanggil evil eye adalah penyakit batin yang terjadi akibat ‘panahan’ mata berikutan dari rasa cemburu dalam hati si pemerhati terhadap orang yang diperhatikan atau terhadap pemilik barangan yang diperhatikan.
Akibatnya dari perlakuan tersebut, ianya tidak semistinya mendatangkan sakit atau penyakit tetapi menimbulkan rasa resah-gelisah dan mengganggu dalam pekerjaan, kehidupan, kesejahteraan hidup, kemajuan dalam kerjaya dan sebagainya.
Sebagaimana yang diamalkan oleh orang Melayu, Mandi Tabal tiada perkaitan dengan jin dan syaitan, namun ia ada kaitan dengan penyakit yang menimpa roh atau jiwa manusia berikutan rasa irihati akibat dari pandangan yang juga dinamakan penyakit ain (evil eye) atau panahan mata yang tidak disebabkan oleh jin dan syaitan.
Maka itu kaedah rawatannya berbeza dengan rawatan penyakit yang disebabkan oleh jin dan syaitan. Permasalahan penyakit akibat panahan mata ada difirmankan oleh Allah swt melalui al Quran Surah al Qalam ayat 51 yang bermaksud “Dan sesungguhnya orang-orang kafir itu hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian)…….”.
Terdapat beberapa potongan dari al- Hadis yang menyatakan perihal penyakit panahan mata tersebut sebagaimana dalam Sahih Muslim : 2187, Sahih Muslim : 5831dan sebagainya.
Terdapat juga al-Hadis yang menyatakan perihal pengubatan penyakit panahan mata sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad saw yang telah memandikan Sahil bin Hunaif sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif dalam Sunan Ibn Majah : 2828. Dalam Sunan al-Nasaie : 10036 ada menyatakan antara kaedah untuk menghindari penyakit panahan mata adalah bertabarruk dengan Surah al-Falaq : ayat 1-5.
Lazimnya terdapat tida jenis serangan jin dan syaitan ke atas manusia iaitu yang dinamakan saka, sihir dan santau. Saka adalah jin atau syaitan yang menjadi khadam atau makhluk suruhan yang diperturunkan oleh leluhur terdahulu yang diturunkan kepada temurunannya.
Saka tersebut akan menjadikan anggota badan penerima saka sebagai ganjaran atas khidmat yang diberikan. Akibatnya penerima Saka tersebut akan mengalami kesukaran dalam kehidupan khususnya yang berkaitan dengan kesihatan dan mungkin juga keharmonian rumah tangga.
Sihir adalah perbuatan menghantar jin atau syaitan untuk masuk ke badan seseorang bagi tujuan untuk menyerang anggota badan orang tersebut dari dalam badan.
Santau pula adalah jin atau syaitan yang masuk ke dalam badan manusia dengan tiada perasaan iri hati atau dengki tetapi atas sebab amalan sihir yang perlu dilepaskan bagi menyelamatkan diri pengamal sihir tersebut dari ‘makan tuan’.
Kaedah untuk menyembuhkan penyakit zahir adalah dengan cara menggunakan ubat samaada disapu atau dimakan dan diminum, sementara kaedah untuk menyembuhkan penyakit batin akibat jin dan syaitan ialah dengan membersihkan roh atau jiwa dari anasir yang mengganggu roh atau jiwa tersebut dengan mengeluarkan jin dan syaitan yang menganggu badan pesakit tersebut.
Terdapat pelbagai pendekatan yang digunakan bagi mengeluarkan jin dan syaitan dari tubuh badan manusia iaitu melalui perbincangan, ugutan dan sebagainya oleh mereka yang arif dan boleh berbicara dengan makhluk jin dan syaitan tertsebut.
Terdapat juga kaedah perubatan melalui pendekatan mandian dan di antaranya ialah dengan amalan mandi herba, mandi bunga, mandi limau dan sebagainya.
Lazimnya dalam amalan orang Melayu, mandi bagi tujuan untuk membuang saka dan jin dilakukan dengan menggunakan limau atau bunga dari batangnya yang berduri.
Orang Melayu sering juga mengamalkan mandi untuk mengelakkan dari santau dengan menggunakan daun pokok bidara kampung. Daun pokok bidara kampong juga boleh dijadikan minuman teh bagi tujuan perubatan dan kesihatan tubuh badan.
Tumbuh-tumbuhan yang berduri dikatakan sangat digeruni oleh jin dan syaitan yang jahat. Ada juga orang Melayu yang meletakkan batang limau berduri pada muka pintu dan tingkap rumah mereka bagi mengelakkan jin dan syaitan jahat dari memasuki rumah mereka.
Pada bumbung rumah warisan Melayu, sering juga diletakkan tunjuk langit pada pucuk tebar layar, tulang naga pada perabung dari bahan yang berbentuk tajam bagi tujuan untuk mengelakkan jin dan syaitan jahat dari bertenggek di atas bumbung.
Pokok durian belanda juga dikatakan dapat mengelakkan jin dan syaitan dari mendekati pokok tersebut berikutan buahnya yang berduri. Oleh sebab itu, orang Melayu sering menanam pokok durian belanda di perkarangan rumah mereka.
Selain itu orang Melayu juga sering menanam pokok-pokok bunga yang batangnya berduri seperti pokok bunga kertas dan pokok bunga mawar dan sebagainya di perkarangan rumah mereka. Orang Melayu juga sering Menanam pokok bunga bakawali kerana mereka berpendapat, pokok tersebut digemari oleh para wali.
Selain bunganya yang sangat harum, batangnya juga digunakan bagi mengubati penyakit tertentu. Lazimnya orang Melayu terdahulu tidak menanam pokok ciku di perkarangan rumah mereka kerana buah ciku dan sesetengah buah-buahan tempatan menjadi kegemaran jin dan syaitan.
Maka itu orang Melayu menanam pohon buah-buahan hanya di kebun dan bukan di perkarangan rumah.
Mandi Tabal bermaksud mandi dengan hasrat untuk mengembalikan semula diri seseorang kepada yang asal atau memurnikan semula roh atau jiwa manusia.
Dalam adat istiadat melantik ‘raja baru’, Mandi Tabal bermaksud ‘merajakan yang baru’. Namun dalam amalan perubatan Melayu, upacara mandi untuk mengembalikan pesakit kepada keadaan dirinya yang asal sebelum hadirnya kesukaran juga dinamakan ‘Mandi Tabal’.
Mandi Tabal tidak berkaitan untuk membersihkan diri dari gangguan jin dan syaitan sebaliknya bertujuan untuk membersihkan diri dari penyakit yang mengganggu jiwa atau roh berikutan perbuatan yang menyalahi amalan kehidupan sejahtera yang telah dilakukan keatas jiwa atau roh manusia atau mahluk lain.
Maka itu perkakas dan barangan yang digunakan untuk tujuan Mandi Tabal juga berbeza dengan perkakas dan barangan yang digunakan untuk tujuan mandi bagi membersihkan diri dari gangguan jin dan syaitan.
Lazimnya daunan dan bungaan yang digunakan untuk mandi bagi membersihkan gangguan jin dan syaitan diambil dari pohon yang berduri manakala daunan dan bungaan yang digunakan untuk Mandi Tabal diambil dari pohonan yang tidak berduri.
Air yang digunakan untuk mandi bagi membersihkan dari gangguan jin dan syaitan adalah menggunakan air biasa sementara air yang digunakan untuk tujuan Mandi Tabal adalah antaranya menggunakan air dari kolah wuduk dari masjid dan surau, juga air dari muara sungai yang diambil dari wilayah yang diperintah oleh Sultan.
Ini berkemungkinan air dari kolah wuduk mempunyai molikul yang indah berikutan dari peranannya yang sangat murni bagi penyucian zahir dan batin.
Air di muara sungai mungkin bagi mengambarkan maksud titik pembaharuan yang bakal dilalui apabila bertemu dengan aliran sungai yang lain dihadapan setelah meninggalkan liku-liku aliran sungai terdahulu.
Wilayah beraja bermaksud diperintah oleh Raja berdaulat yang memelihara alam serta makhluk penghuni alam di wilayahnya serta beramanah dalam mempertahankan agama Islam dari sebarang ancaman musuh.
Mungkin itu adalah pelbagai kiasan yang telah diamalkan oleh orang Melayu dalam melakukan perubatan rohani atau jiwa melalui amalan Mandi Tabal.
Sebagai kesimpulan bolehlah diandaikan bahawa pandangan serong mengenai amalan Mandi Tabal telah dilakukan oleh orang yang sentiasa berusaha untuk merosakkan pemikiran orang Melayu dengan mengaitkannya dengan amalan sihir dan perbuatan syirik dan khurafat supaya kehidupan orang Melayu sentiasa tidak tenteram dan dalam masa yang sama melemahkan semangat perjuangan orang Melayu dalam menegakkan dan mempertahankan Islam menurut fikrah Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
Wallahu Ta’ala Aklam
Kiyai Luhur, 03.11.2021
Mastor Surat