Isu Semasa

Malaysia Tiada Pakar Nasab? Syed Saddiq Dan Sharifah Aini Juga Keturunan Ahlul-Bait!

Daripada sudut bahasa, nasab berasal daripada kalimah نسب – ينسب, jika disebut ينسبه (yansibuhu) adalah menisbahkan seseorang kepada bapanya. Nasab juga pada bahasa dengan makna qarabah. Dijamakkan dengan kalimah أنسب (ansab).

Makna nasab menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah ‘pertalian keluarga, keturunan (terutama daripada sebelah bapa).

Contohnya, nasab bapa pertalian keluarga di sebelah bapa; nasab ibu pertalian keluarga di sebelah ibu; penasaban hal yang berkaitan dengan nasab: ini berkaitan dengan nasab, pewalian, pewarisan, dan pergaulan dalam keluarga.

Kebanyakan fuqaha’ tidak mentakrifkan nasab. Tetapi mereka banyak membincangkan permasalahan dan solusinya tanpa mendefinisikan nasab.

Imam Raghib al-Asfahani (w.502H) mendefinisikan nasab dan nisbah sebagai persekutuan pada salah seorang ibu atau bapa, sama ada hubungan menegak seperti nasab antara bapa dan anak-anak; atau hubungan melintang seperti nasab antara saudara-mara dan bapa-bapa saudara. Rujuk al-Mufradat fi Gharib al-Quran (hal. 801).

Ini selari dengan firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا

Maksudnya: Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).

(Surah al-Furqan: 54)

Syeikh Ahmad al-Maraghi (w.1371H) rahimahullah pula menghuraikan bahawa hubungan nasab dinisbahkan melalui para lelaki manakala hubungan persemendaan bagi kaum wanita, maka terhasillah hubungan kekeluargaan. Lihat Tafsir al-Maraghi (19/26).

Guru kami, Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: “nasab merupakan penyandar yang paling kukuh yang berdirinya sebuah keluarga. Ia mengikat unit-unit keluarga dengan ikatan atas asas kesatuan darah, dan juz’i pada bahagiannya. Ini kerana anak sejuzuk daripada bapanya dan bapa adalah sejuzuk daripada anaknya. Ia merupakan nikmat yang agung, kurniaan Allah kepada manusia. Justeru, memelihara nasab adalah salah satu daripada maqasid syariah yang lima.” Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (10/7247).

Ketepikan Dahulu Sentimen Politik & Benci Perangai Buruk 

Sebelum anda meneruskan bacaan ini, suka untuk penulis tekankan bahawa IMAN TIDAK DAPAT DIWARISI. Maka sayanglah bagi mereka yang keluarganya ada nasab yang menghubungkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Tidak dinafikan di Malaysia ini, ada sahaja keturunan moden daripada keluarga Ahlul Bait dirosakkan oleh masa dan persekitaran sehingga umat Islam yang masih punyai iman, akal fikiran sedikit-sedikit terjebak sebagai rakan yang memburukkan mereka.

Dalam erti kata lain, kita tanpa sedar mengecam secara berterusan dan terus tidak ada ilmu tentang nasab yang boleh dijadikan asas untuk menasihatkan mereka agar diterbitkan semula sifat malu serta perbuatan yang mencerminkan akhlak baginda, Nabi Muhammad SAW.

Hatta mereka yang datang daripada keluarga Ahlul Bait ini bersama dengan parti DAP yang tidak digemari orang Melayu kerana tidak meletakkan rukun negara sebagai asas perjuangan parti, mereka mungkin ditetapkan (setting) pihak tertentu untuk nama keluarga Ahlul Bait ini terus dibenci.

Kita yang mungkin baru tahu tentang perkara ini, apakah masih mahu bergelak tawa di sebalik fake account untuk mencerca mereka? Atau menggunakan peluang yang ada untuk menyampaikan kebenaran yang mungkin mereka sudah didoktrin untuk ‘tidak tahu’ atau ‘tidak percaya’ dan kembali pada landasan yang benar meneruskan perjuangan Nabi Muhammad SAW?

Bukan Budaya Majoriti Orang Melayu Jaga Nasab

Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa nasab adalah suatu perkara yang teramat penting dalam kehidupan manusia. Ia bahkan dimuliakan dan hanya boleh disahkan dengan hubungan perkahwinan.

Justeru, para ulama seperti Imam al-Ghazali dan Imam al-Syatibi telah meletakkannya sebagai salah satu tujuan syarak iaitu hifz al-nasab (penjagaan nasab), yang juga terkait dengan hifz al-nasal (penjagaan keturunan) dan hifz al-`arad (penjagaan maruah).

Namun demikian, amalan yang disebut di atas bukanlah antara budaya majoriti orang-orang Melayu sejak berpuluh-puluh tahun kebelakangan ini.

Dalam bahasa mudahnya, generasi hari ini mungkin cuma tahu nama dirinya sendiri, nama ayah, nama datuk dan hanya sikit-sikit yang masih mengetahui nama moyangnya.

Sebahagian besar biasanya apabila sampai kepada cicit, cicit yang kurang adabnya bersama keluarga akan memilih ucapan, “Pergi mampuslah nama moyang. Buat apa aku perlu tahu?”

Hal ini terjadi dalam masyarakat kita kerana yang pertama, ia bukan budaya majoriti orang-orang Melayu. Yang rajin menjaga nasab dan keturunan hanyalah segelintir, iaitu orang yang mengetahui manfaatnya.

Lebih-lebih lagi pada zaman ini, budaya ini juga semakin dihapuskan oleh generasi baharu yang tidak tahu manfaatnya kerana beranggapan kerja menjaga nasab dan keturunan ini sesuatu yang melecehkan.

Kesan kerugiannya? Segelintir orang-orang Melayu sendirilah yang tanggung kerana kita bersikap sombong untuk bersambil lewa.

Kisah Maula Yang Tular Dengan Masyarakat Melayu Malaysia

Sebab itulah apabila ada individu yang mendakwa mereka memiliki salasilah keluarga yang ditulis, dicatat, direkod, boleh dilihat, kita yang tiada ilmu mengenainya pula mahu jadi juara hakim.

Misalnya dalam kes Maula Muhammad Amin Al Idrisi Al Hasani yang mengaku dia adalah keturunan Nabi Muhammad SAW ke-38, jadi apa masalahnya?

Dari sudut nama keluarga, dia datang daripada keluarga Al Idrisi Al Hasani dan di Malaysia sekali pun, ramai sahaja orang-orang Melayu yang berketurunan Nabi Muhammad SAW.

Cuma antara dia tahu atau tidak sahaja. Dia tahu mungkin kerana keluarganya juga memberitahu dan kemungkinan dia tidak tahu kerana keluarganya juga moden serta tidak tahu.

Nama Keluarga Penghubung Kepada Nabi Muhammad SAW

Mengambil contoh yang terdekat, selain Al Idrisi Al Hasani, di Malaysia sendiri juga ada keturunan Ahlul-Bait daripada keluarga Al Sagoff, Al Jufri, Al Habshee dan Al Jamalullail.

Siapa mereka? Kalau daripada keluarga Al Sagoff, antaranya beliau adalah Syed Saddiq bin Syed Rahman bin Syed Abdullah Al Sagoff. Tak kisahlah beliau sertai politik sekali pun, beliau daripada keluarga Al Sagoff.

Kalau atas sikit daripada Syed Saddiq dan terlibat dalam pembentukan landskap negara, antaranya beliau adalah Syarifah Azah Mohamed Al Sagoff atau lebih senang dengan nama Azah Aziz.

Siapa mereka? Kalau daripada keluarga Al Jufri, antaranya beliau adalah Sharifah Aini Syed Jaafar Al-Jufri. Tak kisahlah beliau sertai bidang nyanyian sekali pun, beliau daripada keluarga Al Jufri.

Siapa mereka? Kalau daripada keluarga Al Habshee, antaranya beliau adalah Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee. Tak kisahlah walaupun dahulu beliau pemimpin veteran UMNO dan sekarang sudah keluar parti.

Siapa mereka? Kalau daripada keluarga Al Jamalullail, antaranya beliau adalah Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail yang kini merupakan Raja Perlis.

Tetapi siapa di antara kita orang-orang Melayu memiliki ilmu membaca nasab ini terus sampai ke Nabi Muhammad SAW? Penulis percaya kita semua cuma belajar subjek yang serupa.

Majoriti Orang Melayu Tiada Ilmu Nasab?

Untuk lulus peperiksaan, kemudian masuk ke institut pengajian tinggi, dan kemudiannya bekerja cari duit di syarikat yang berpaksikan kerja untuk dunia, kita cuma perlu belajar subjek berikut:

Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Agama Islam (Asas), Matematik, Matematik Tambahan, Sains, Geografi, Biologi, Fizik, Ekonomi Rumah Tangga, Kemahiran Hidup, Perakaunan, Pengajian Am, Sejarah dan beberapa lagi subjek untuk ilmu dunia dan lulus peperiksaan.

Mana ilmu pengajian mengenai nasab di sekolah? Institut pengajian tinggi yang mana menawarkan ilmu pengajian mengenai nasab untuk diploma atau ijazah?

Yang membolehkan kita sebagai orang Melayu jika menjadi pegawai kerajaan di Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Agama Negeri atau institusi akademik nasional tampil sebagai pakar dalam menentukan nasab?

Jelas jawatan mengenainya tiada kerana pembelajaran mengenainya juga langsung tidak pernah wujud dalam Malaysia sehingga tahun ini sekali gus membuatkan masyarakat pula yang pening kepala.

Maka apabila datangnya seseorang daripada keluarga Al Idrisi Al Hasani, kita kecoh bagai nak gila dan percaya pula kepada orang yang kononnya berada di Morcco, yang belum tentu mereka juga arif dari segi soal nasab.

Bayangkan jika di Malaysia, negara ini mampu melahirkan pakar nasab bukan sahaja dari keturunan Nabi Muhammad SAW malah para sahabat, jelas kita mampu mencegah penipuan atau penyamaran.

(Entah-entah yang membaca ini mungkin juga dari keturunan Nabi Muhammad SAW, para sahabat atau pejuang Melayu silam, kita pun tidak tahu)

Ambillah nasihat Ustaz Azhar Idrus, berbaik sangkalah. Selagi mana individu tersebut tidak berceramah dalam media sosial mengajak umat Islam saling berpecah, InsyaAllah, Allah SWT Maha Mengetahui.

Nota 1: Sejarah keluarga Ahlul-Bait dibunuh adalah benar. Sehubungan itu, bagi menyelamatkan diri, ada yang menyembunyikan nama keluarga dan ada yang melarikan diri. Antara tempat yang dituju, antara tempat yang dituju, antara tempat yang dituju.. untuk melarikan diri adalah di Tanah Melayu.

MISI CAPAI 100,000 LIKE SEBELUM 31 DISEMBER 2022

[wpdevart_like_box profile_id=”100109992115173″ stream=”hide” connections=”show” width=”320″ height=”130″ header=”medium” cover_photo=”show” locale=”en_US”]

Anda memiliki tulisan mengenai Melayu yang ingin dikongsikan? Hantar di sini.

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok Demi Malaiu. Sertai Telegram kami DI SINI untuk kandungan yang menarik dan membangkitkan jati diri bangsa!

Lihat lagi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker