Kita sering dengar negara jiran Indonsesia dipanggil sebagai Nusantara manakala Malaysia pula disebut sebagai alam Melayu.
Apakah beza kedua-dua panggilan ini sedangkan Malaysia dan Indonesia adalah negara tradisi yang diasaskan kepada nilai sepunya dari sudut rumpun bangsa yang sama,persamaan budaya dan agama.
Dari segi sejarah, tamadun Melayu yang telah wujud di rantau ini merupakan kesinambungan tamadun-tamadun yang telah terbentuk di kedua-dua buah negara.
Nusantara adalah istilah bahasa Kawi wujud pada zaman Majapahit diperintah panglima Gajah Mada merujuk kepada gugusan pulau mengelilingi pulau Jawa di lautan Asia Tenggara yang menjadi pusat kerajaan tersebut zaman itu.
Hal ini dicatat dalam dokumen kontemporari seperti Pararaton dan Nagarakretagama. Konsep Nusantara sebagai wilayah bersatu tidak diciptakan oleh Gajah Mada pada tahun 1336.
Istilah Nusantara pertama kali digunakan oleh Kertanegara dari Singhasari dalam prasasti Mula Malurung bertarikh 1255.
Kemelut istilah Nusantara ini juga sebenarnya menarik perhatian ahli akademik barat.
Nusantara adalah sebutan nama bagi seluruh wilayah Kepulauan Indonesia. Akar nama Nusantara berasal dari kata nusa yang bermaksud pulau dan antara yang membawa maksud luar atau seberang.
Kebanyakan sejarawan Indonesia percaya bahwa konsep kesatuan Nusantara bukanlah pertama kali dicetuskan oleh Gajah Mada dalam Sumpah Palapa pada tahun 1336, melainkan dicetuskan lebih dari setengah abad lebih awal oleh Kertanegara pada tahun 1275.
Sebelum itu ia dikenali sebagai konsep Cakrawala Mandala Dwipantara yang dicetuskan oleh Kertanegara, raja Singhasari.
Dwipantara adalah kata dalam bahasa Sanskrit untuk “kepulauan antara”, yang maknanya sama seperti Nusantara, kerana “dwipa” adalah sinonim “nusa” yang bermakna “pulau”.
Pada 1951, Justus M. van de Kroef menyatakan bahawa Nusantara tidak sesuai untuk melambangkan Indonesia. Tetapi lebih sesuai dirujuk kepada kawasan yang lebih luas (Kepulauan India Timur).
Charles Allen (1983) pula mengatakan Nusantara merujuk kepada kawasan yang bermula daripada Pulau Marquesa di Laut Pasifk, turun ke Asia Tenggara, melalui Madagascar.
Nusantara ini juga pernah dicadangkan sebagai nama kesatuan Malaysia, Singapura, Indonesia dan juga negara-negara Melayu yang lain, tetapi tidak digunakan. Malah istilah ASEAN pula yang diperkenalkan (kekal sehingga ke hari ini).
Alam Melayu pula ialah istilah lazim di Malaysia merujuk kepada Asia Tenggara Maritim. Penggunaan yang paling menonjol bagi konsep ini adalah pada awal abad ke-20, yang dianuti secara irredentist, oleh nasionalis Melayu dalam bentuk “Malaya Raya” (Melayu Raya), sebagai aspirasi untuk sempadan “semula jadi” atau diingini bangsa Melayu moden.
Istilah “Alam Melayu” tidak wujud sebelum abad ke-20. Kesusasteraan Melayu klasik seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah tidak menyebut istilah seperti ini.
Baca juga>> Antara 100 Individu Berpengaruh Di Dunia, Tun M @ Che Det, Mastermind & Aset Negara
Istilah ini hanya berkembang selepas tahun 1930, dengan contoh direkodkan pertama datang dari Majalah Guru, majalah bulanan negeri Malaya, dan surat khabar Saudara, yang diterbitkan di Pulau Pinang dan diedarkan di seluruh Negeri-Negeri Selat.
Istilah “Alam Melayu” berkembang dan popular selepas kemunculan gerakan nasionalisme Melayu pada suku kedua abad ke-20.
Menurut Tokoh Budayawan, Datuk Aziz Deraman, budaya di Alam Melayu telah berkembang maju dengan munculnya beberapa kepandaian tertentu dalam bidang kesenian.
“ Antaranya termasuklah pembuatan gangsa dan seni mempertahankan diri. Kedua-kedua kepandaian ini merupakan ciptaan asli di Alam Melayu. Selain itu, nilai-nilai serumpun wujud dalam masyarakat Alam Melayu terutamanya gotong-royong. Dalam aspek seni persembahan pula, muncul wayang kulit di Kelantan dan Pulau Jawa,” katanya.
Tokoh Bahasa, Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar pula berkata, Bahasa serumpun di Alam Melayu mempunyai perkaitan dengan bahasa etnik peribumi.
“Persamaan ini boleh dikenal pasti melalui kata-kata tertentu. Apabila membuat perbandingan bahasa-bahasa serumpun ini, terdapat pertalian kekeluargaan bahasa-bahasa ini dengan Bahasa Melayu,” katanya.
Seorang lagi Tokoh Bahasa, Sutan Takdir Alisjahbana pula berkata, Bahasa Melayu telah digunakan secara meluas di Alam Melayu sejak awal masihi lagi. Sifat orang Melayu yang gemar belayar telah mengembangkan lagi bahasa Melayu ke Alam Melayu.
“Tambahan pula sifat bajasa Melayu yang sederhana dan mudah dipelajari membolehkan bahasa ini diterima di alam Melayu,” katanya.