Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan perkataan ‘keramat’ membawa maksud kemuliaan iaitu anugerah Allah SWT kepada hambaNya yang dikasihi.
Selain itu, keramat juga membawa maksud suci dan berkat daripada kemuliaan seseorang sehingga menyebabkan doanya diperkenankan seperti penyembuhan penyakit dan perlindungan Allah SWT.
Misalnya di Singapura, makam Habib Noh sehingga kini diziarahi orang kerana dianggap makam yang keramat dengan tujuan merendahkan diri dan menyaksikan kebesaran Allah SWT.
Namun bagi segelintir pihak, mereka menuduh perbuatan menziarah makam ini sebagai memuja kubur sedangkan perbuatan memuja makhluk selain Allah SWT adalah menyekutukan Allah SWT.
Bagaimana pula sebagai orang Islam yang akidahnya berpegang kuat dengan manhaj ahlus sunnah wal jamaah berpaksikan amalan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat boleh menyeleweng?
Sudah tentulah tidak kerana golongan yang biasanya memuja makhluk selain Allah SWT ini adalah golongan yang tidak mengenal Allah SWT, tersesat, hidayahnya belum sampai atau terpedaya dengan bisikan syaitan.
Tidak semena-mena pula golongan yang menerima ilmu daripada Iran dengan fahaman akidah baharu menolak unsur keramat ini dan terus menjatuhkan hukum khurafat atas fakta yang salah.
Jika menjatuhkan hukum khurafat kepada golongan yang memuja makhluk selain Allah SWT sudah pasti ia satu tindakan yang benar namun menghukum orang yang menziarahi makam kerana niatnya untuk melihat kebesaran Allah SWT, siapa kita untuk menghukum tindakan ini sebagai khurafat?
Malah apabila ada di antara kita menuduh sesuatu makam keramat itu sebagai tempat khurafat, apakah kita sebenarnya membawa maksud menidakkan anugerah Allah SWT kepada hambaNya yang dikasihi?
Wuallahualam!