Keris merupakan salah satu senjata bagi kebanyakan hulubalang dan pahlawan Melayu suatu ketika dahulu. Keris juga melambangkan kegagahan, keperwiraan, kedudukan atau darjat pemiliknya.
Keris dibuat/ditempa khusus untuk seseorang individu berdasarkan kehendak, keperluan dan kesesuaian yang mana boleh mewujudkan pertalian antara keris dan pemiliknya.
Pemilihan bahan-bahan yang digunakan bagi membentuk sesebuah keris juga merupakan salah satu perkara utama yang diberi perhatian oleh pembuat senjata.
Unsur mistik juga sering dikaitkan dengan keris dimana sesetengah keris yang dibuat khas mempunyai keistimewaan tersendiri dan mampu memberi kelebihan kepada pemiliknya seperti Keris Taming Sari.
Keistimewaan berkenaan memerlukan jagaan rapi dan adakalanya membuatkan keris berkenaan sukar untuk bertukar milik/tidak boleh berpindah milik sebarangan.
Saya kali ini akan menerangkan dengan ringkas mengenai maksud bagi bilangan lok yang terdapat pada Keris Melayu.
Jika diperhatikan, Keris Melayu terdapat bilangan lok yang berliku-liku dan mengikut turutan bilangan ganjil seperti 13, 11, 9, 7, 5 dan 3.
Keris yang kelihatan lurus lebih dikenali sebagai keris lurus atau sipukal.
Keris lurus digenggam dlm tangan manakala keris berlok disisip di bawah rusuk kiri dalam samping dan diikat kemas oleh bengkung yang menyembunyikan pelbagai jenis senjata sulit.
Ada juga yang menyisip keris di pinggang.
Panjang mata keris adalah mengikut sukatan dan sedap si pemilik untuk berhadapan dengan musuh.
Ada juga keris yang digenggam adalah keris berlok dan bukannya keris lurus.
Lok itu adalah lok 3 dan mempunyai mata yang panjang.
Keris berlok yang disisip pula mempunyai ukuran antara 9 hingga 13 inci panjangnya.
Loknya 5, 7 & 9.
Jika lebih loknya, keris adalah sangat panjang dan tidak selesa untuk pergerakan bebas ketika bertarung.
Dikhabarkan juga bahawa setiap Melayu mesti mempunyai keris kerana keris itu melambangkan maruah & martabat.
Keris diri atau keturunan membawa kepada pengenalan siapa dan kedudukan pemiliknya dalam bangsa Melayu.
Dari ulu (hulu), pendukuk, sampir dan mata menceritakan siapa pemiliknya. Kedudukan pula adalah daripada anugerah istana.
Oleh sebab itu, pada majlis keramaian di istana, jemputan yang datang akan membawa keris masing-masing.
Berikut adalah maksud yang digambarkan melalui bilangan lok-lok yang terdapat pada keris.
Keris Lurus
-Melambangkan kesetian, ketegasan dan sukar dipengaruhi. Ianya lazim digunakan sebagai keris istiadat.
Keris Lok 3
-Digunakan oleh para panglima atau pahlawan. Keris ini dipercayai dapat menunaikan sebarang permintaan penggunanya.
Keris Lok 5
-Melambangkan pemiliknya mempunyai kelancaran berbicara dan boleh mempengaruhi orang melalui berbicara.
Keris Lok 7
-Melambangkan pemiliknya mempunyai wibawa dan karisma dalam pemerintahan.
Keris Lok 9
-Melambangkan pemiliknya bijaksana dan mempunyai sifat kepimpinan.
Keris Lok 11
-Menggambarkan pemiliknya memiliki cita-cita tinggi dalam mengejar kemajuan sosial dan sesuai digunakan oleh mereka yang telah bekerja dan berumah tangga.
Keris Lok 13
-Bermaksud pemiliknya sanggup mempertahankan apa sahaja yang sudah dimilikinya.
Anda memiliki tulisan mengenai Melayu yang ingin dikongsikan? Hantar di sini.
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok Demi Malaiu. Sertai Telegram kami DI SINI untuk kandungan yang menarik dan membangkitkan jati diri bangsa!