Jika meletakkan pemikiran makan satu ibadah yang boleh memberi pahala dan bukan sekadar mampu kenyangkan perut, jelas banyak manfaat kita terima tanpa sedar.
Bukan hanya makan kerana tidak kiralah apa-apa perkara sekali pun seperti gurauan dengan anak-anak dan pergaulan dengan isteri pun boleh dikira sebagai ibadah.
Asalkan menurut pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Abdullah Jalil, ada syarat dan niat baik yang perlu dipenuhi.
Katanya lagi, umat Islam perlu faham bahawa ibadah ada pelbagai bentuk seperti ibadah khusus, ibadah yang terikat dengan tempat atau masa tertentu serta ibadah yang maksudnya luas.
“Semua perkara dalam kehidupan kita boleh dijadikan ibadah dengan dua syarat. Syarat pertama adalah niat dan yang kedua adalah tidak mengandungi sebarang elemen yang haram,” katanya.
Abdullah berkata demikian ketika membuat pembentangan mengenai tajuk ‘Apa Ibadah Dan Mengapa Bidaah’ dalam program Perbincangan Rakyat Demi Melayu.
Mengulas tentang syarat pertama iaitu niat, semua perkara dalam kehidupan kita boleh dijadikan ibadah jika ia berpaksikan sunnah Rasulullah SAW yang sentiasa terdorong ke arah perkara baik.
“Jika beriadah untuk sihatkan badan misalnya, niatnya haruslah untuk dapatkan kekuatan bagi menunaikan kewajipan dan tugas lain yang dituntut dalam Islam.
“Jika dipasang niat yang betul dalam melakukan perkara tersebut walaupun perkara tersebut disebutkan di dalam kitab sebagai perbuatan adat manusia, manfaat itu ada,” katanya.
Bercakap tentang syarat kedua iaitu tidak mengandungi sebarang elemen yang haram pula, ia berkait dengan kejujuran dan kefahaman tentang perkara yang kita lakukan.
“Niat yang betul tadi perlu diterjemahkan dengan tidak melakukan sebarang perbuatan atau perkara mengandungi elemen yang haram sekiranya pahala yang kita cari.
“Bayangkan saja dalam tempoh 24 jam kita berjaya hindarkan diri daripada kesemua elemen haram, tidak sukar untuk pastikan diri kita sentiasa boleh berada dalam keadaan beribadah,” katanya.
Perbincangan Rakyat Demi Melayu adalah sebuah program diskusi ilmiah yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan YouTube pada setiap Khamis bermula 9.00 malam.