Celoteh Tok Sidang

Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 Hilang – Wan Ahmad Fauzi

Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 menjadi antara dokumen berharga yang perlu dikesan kerajaan kerana kepentingannya sebagai rujukan utama sejarah perundangan negara.

Pengasas Jurisprudens Watan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata setakat ini rujukan laporan itu bergantung pada petikan dalam buku sarjana Barat kerana dokumennya belum dapat ditemui dalam simpanan Arkib Negara.

Beliau berkata, dokumen itu penting untuk melakukan kajian perundangan negara kerana di dalamnya ada asas pemansuhan Malayan Union dan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang kekal kedaulatannya.

“Masih banyak dokumen asal berbentuk adat Melayu bertulis yang mempunyai kepentingan sebagai undang-undang bertulis prahari merdeka berada di luar Malaysia, termasuk Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 yang difahamkan belum ada dalam simpanan Arkib Negara.

“Saya sendiri memerlukan dokumen ini untuk penyelidikan dan kajian lanjut dalam perundangan negara kerana hasil dapatan dalam laporan itu, maka Malayan Union dimansuhkan, terma Perjanjian Negeri 1948 yang menggabungkan pemikiran watan dan Barat mengenai maksud kedaulatan dimuktamadkan serta terma kerajaan interim Persekutuan Tanah Melayu 1948 digubal,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, arkib ini perlu dikesan dan dibawa pulang bagi membolehkan kajian dibuat berhubung sistem perundangan negara dan panduan kepada tafsiran peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Negara kita tidak bermula pada 1957 tetapi ia mewarisi kerajaan besar dunia iaitu kerajaan Alam Melayu dan wilayah berpendudukan yang membentuk empayar Melayu Tua, empayar Jambi dan sebagainya.

“Undang-undang bertulis itu sudah wujud sejak sekian lama iaitu sebelum kita mencapai kemerdekaan lagi. Disebabkan inilah adat Melayu disebut dalam Perlembagaan kita,” katanya.

Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946
Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946

Beliau berkata, kerajaan perlu bersiap sedia dari segi dana penyelidikan dan memperkasakan penyimpanan arkib jika mahu membawa pulang dokumen berharga dan berkepentingan tinggi yang disimpan di luar negara.

“Bagi saya, tidak semestinya kita perlu membawa pulang arkib ini ke negara kita, paling penting ialah salinan dokumen asli dimiliki Malaysia untuk kita mengesan di mana dokumen ini jika berlaku isu tertentu atau berbangkit.

“Kita mempunyai banyak arkib disimpan di Arkib Negara, Perpustakaan Negara mahupun muzium sendiri dan adakah semuanya sudah dilakukan semakan serta penyelidikan yang menyeluruh. Saya yakin sudah beribu dibawa pulang tetapi ia mungkin belum diproses (melakukan penyelidikan).

“Pegawai terbabit perlu sentiasa diberi kursus peningkatan diri kerana dokumen lama ini mempunyai keunikan sendiri kerana ia ditulis dalam jawi lama. Transliterasi harus sentiasa dilaksanakan untuk ia dialihkan ke rumi,” katanya.

Disiarkan oleh Berita Harian pada 4 April 2022

Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain|
Pengasas Jurisprudens Watan
Ahli Sidang Demi Malaiu (Kluster Undang-Undang)

Juga Baca: RUU Anti Lompat Parti Hukum Wakil Rakyat Tak Hormat Mandat – Wan Ahmad Fauzi

Artikel berkenaan

Leave a Reply

Back to top button