Tanggal 1 Februari setiap tahun diraikan Hari Wilayah. Namun tidak ramai yang mengetahui asal- usul cuti umum ini. Sebagai rakyat negara ini penting untuk kita menilai dan melihat sejarah dari kacamata yang benar dan haqiqi.
Bermula dari tahun 1880 sehinggalah ke tahun 1974, Kuala Lumpur telah beroperasi sebagai ibu negeri bagi Selangor. Ini adalah sebelum Shah Alam diishtiharkan sebagai ibu negeri bagi Selangor pada tahun 1978. Setelah negara kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Kuala Lumpur telah dipilih sebagai ibu negara.
Kedudukan ini kekal sehingga ke hari ini. Apa yang menarik adalah, walaupun Kuala Lumpur merupakan ibu negara bagi Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu, ianya merupakan sebahagian daripada Selangor dan bukannya di bawah pentadbiran kerajaan persekutuan.
Maka satu keputusan telah diambil untuk mengasingkan Kuala Lumpur dari Selangor lalu menjadikannya sebagai Wilayah Persekutuan, yakni di bawah pentadbiran kerajaan persekutuan secara langsung.
Maka tibalah hari yang sangat bermakna bagi sebidang tanah yang dikenali sebagai Kuala Lumpur pada 1 Februari 1974. Dengan keluasan 243.65km2, Kuala Lumpur telah diserahkan oleh Sultan Selangor pada ketika itu kepada kerajaan persekutuan.
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj mewakili Kerajaan Selangor, manakala Kerajaan Persekutuan pula diwakili oleh, Yang di-Pertuan
Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, telah memeterai perjanjian penyerahan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan di Istana Negara.
Maka dengan termeterai perjanjian tersebut, Kuala Lumpur bukan lagi menjadi milik Selangor, dan seterusnya Negeri Selangor memerlukan ibu negeri yang baru bagi menggantikan Kuala Lumpur yang telah diserahkan dengan harga $200 juta.
Baca juga>> https://demimalaiu.com/1-februari-tarikh-keramat-untuk-diingati-bukan-sekadar-penubuhan-wilayah-persekutuan/
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang mendapat bayaran itu sebagai harga penjualan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan telah melakukan sesuatu yang luar biasa, sesuatu yang tidak mendatangkan faedah duniawi kepada diri baginda sendiri. Iaitu baginda telah menggunakan kesemua duit tersebut untuk membina masjid.
Masjid yang dikenali sebagai Masjid Negeri Selangor atau Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah dibina di ibu negeri baru bagi Negeri Selangor, iaitu Shah Alam di tapak yang telah dipilih sendiri oleh baginda.
Masjid ini telah siap dibina pada tahun 1988 dan mempunyai kapasiti jemaah sebanyak 24,000 orang pada satu-satu masa, 16,000 orang jemaah boleh dimuatkan di tingkat atas manakala seramai 8,000 orang jemaah di tingkat bawah, ini secara langsung menjadikan Masjid Negeri Selangor, masjid kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Masjid Istiqlal di Jakarta.
Ketinggian kubah masjid ini sukar digambarkan, kerana keluasan masjid menampakkan kubahnya seolah-oleh tidak berapa tinggi, pada hakikatnya kubah ini setinggi 106.7m atau setinggi bangunan 32 tingkat. 4 buah menara yang ada pula mempunyai ketinggian 142.3m setiap satu, atau bersamaan 43 tingkat.
Selain daripada ketinggian dan kemegahan binaan terdapat pelbagai aspek menarik lain pada masjid ini, tulisan khat yang ada pada dinding dan kubah masjid telah ditulis oleh seorang pakar dari Mesir iaitu, Shiekh Abdel Moneim Mohamed Ali El Sharkawi.
Selain daripada membiayai kos pembinaan masjid, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah juga telah menghadiahkan empat buah chandelier dan sebuah jam antik kepada masjid.
Setelah menjalani pengubahsuaian, masjid ini kini dilengkapi eskalator untuk memudahkan pergerakan turun dan naik jemaah, selain itu masjid ini juga dilengkapi lif.
Masjid negeri Shah Alam kini menjadi masjid yang dibanggakan oleh umat Islam di negara ini, dan secara khususnya warga Shah Alam. Masjid ini menjadi pusat pelbagai aktiviti, dari kelas tadika untuk kanak-kanak sehinggalah ke kelas tilawah untuk pelbagai peringkat umur.
Masjid Negeri Selangor kini menjadi pusat komuniti Muslim yang sangat penting, bukan itu sahaja, ramai yang tidak mengetahui bahawa masjid ini juga merupakan tarikan pelancong yang cukup terkenal khususnya bagi pelancong dari Negara Jepun.
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah membina masjid ini bagi kemudahan rakyat di bumi Selangor secara khususnya dan umat Islam dari serata dunia umumnya untuk menunaikan Ibadah khusus dalam keadaan yang selesa. Kini masjid ini adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam yang masih hidup demi memenuhinya pada setiap masa dan keadaan dalam menegakkan shiar Islam. Semoga baginda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mendapat pahala yang berkekalan sehingga ke akhirat kelak.
Menarik :
Melayu Akan Hilang? Mustahil! – Dato Paduka Prof Madya Dr. Mohd Rosli