Selalunya apabila diuji kita akan melihat ujian itu sebagai satu seksaan atau malapelaka yang kadangkala menyebabkan kesedihan atau kegusaran yang melampau-lampau. Kita menangis semahu-mahunya, bercerita tidak henti-henti dan menyalahkan diri sendiri dan orang di sekeliling yang boleh disalahkan. Terlalu cepat kita melatah. Terlalu singkat sekali pemikiran kita yang pada dasarnya dilapisi ilmu agama. Tanpa kita sedari mungkin ini petanda rendahnya iman.
Kotak Ujian
Di luar kotak musibah, boleh sahaja kita menasihati orang lain agar bersabar, supaya berserah kepada Allah SWT, bertawakkal dan redha dengan qada’ dan qadar tetapi lihatlah saja berapa ramai antara kita yang akhirnya memakan kata-kata sendiri apabila dihembus angin musibah. Kata-kata nasihat yang bersemangat keluar daripada mulut kita sendiri kini pudar dan longlai dipukul ujian dunia. Mungkin ada yang berkata “Tak rasa mana tahu. Kena batang hidung sendiri baru tahu.”
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ
“Wahai orang-orang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan?”
( Suraf Al-Shaf:2)
Mengapa ini terjadi?
Mengapa ada di antara orang-orang yang terlebih dulu ‘makan garam’ dan mereka yang dalam ilmu kefahamannya tentang hakikat dan takdir Allah SWT juga tidak terlepas dari berkelakuan demikian walaupun mereka mengetahui tentang ilmu agama? Mereka sepatutnya lebih arif bukan?
Ini kerana kita tidak bercakap soal ilmu. Kita bercakap berkenaan satu kuasa yang jauh lebih kuat daripada ilmu yang tersimpan di dalam akal fikiran. Kita bercakap tentang hati. Organ yang menjadi raja kepada tubuh kita dan jika baik hatinya maka baiklah keseluruhannya.
Hati yang membimbing kita untuk menjadi kuat dan tabah dalam menghadapi kesusahan atau ujian daripada Allah SWT. Kerana di hati tersimpannya keyakinan yang tidak mungkin muncul melalui ilmu pengetahuan yang kita perolehi semata-mata. Keyakinan daripada hati itu terbit tidak lain tidak bukan bersama iman .
Iman yang datang daripada ilmu pengetahuan kita yang disertai amalan. Disebabkan itu, mengetahui tidak semestinya meyakini lantas boleh dizahirkan keyakinan itu dengan perbuatan.
Mengetahui itu berpangkalan di otak manakala meyakini berpangakalan di hati dan bersangkutan dengan perihal iman seseorang. Oleh yang demikian, boleh sahaja kita menyuruh seseorang bersabar menghadapi kematian ibu atau ayah tersayang atau difitnah rakan sekerja dan pasti orang yang ditimpa musibah itu juga tahu dia harus bersabar, tetapi setakat mana kemampuannya untuk bersabar. Kemampuan itu ditentukan oleh kekuatan hati dan keyakinan terhadap takdir, qada’ dan qadar’ dan janji-janji Allah SWT.
Tidak yakinkah kita perjuangan kita iaitu bersabar dan terus mentaati perintah Allah SWT ini akan di balas dengan balasan yang lebih baik?
Kesimpulannya
Jika kita tidak berupaya untuk bersabar maka kitalah yang harus dipersalahkan kerana tidak yakin. Tidak yakin dengan janji Allah SWT dan lemahnya kita dalam mengenal sifat-sifat Allah SWT. Kita mungkin fasih melaungkan Asma-ul-husna tetapi mungkin juga gagal dalam meyakini kebenaran nama-nama agung yang basah di lidah kita.
Apabila difikirkan kita mungkin rasa malu, terlalu daif dan kerdil hendak mencongak iman yang tidak tahu di mana tahapnya. Disebabkan itulah, kadangkala kita selalu gagal untuk bertenang apabila berhadapan dengan konflik di dalam kehidupan seharian.
MISI CAPAI 100,000 LIKE
Anda memiliki tulisan mengenai Melayu yang ingin dikongsikan? Hantar di sini.
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok Demi Malaiu. Sertai Telegram kami DI SINI untuk kandungan yang menarik dan membangkitkan jati diri bangsa!
untuk lebih banyak bacaan sila lawati lamanweb demimalaiu.com