Pada hari ini, 2 Januari dalam tahun 1905, Malay Residential School (kini dikenali sebagai Malay College Kuala Kangsar – MCKK) dibuka dengan rasmi di Kuala Kangsar, Perak.
Sekolah ini dibina di atas tapak yang diberikan oleh Almarhum Sultan Idris yang turut menyokong penuh cadangan penubuhan sekolah ini.
Sekolah yang dikenali sebagai Malay Residential School, ditubuhkan untuk memberi pelajaran moden kepada anak-anak bangsawan sebagai persediaan untuk mengisi jawatan-jawatan tertentu dalam pentadbiran kerajaan British.
William Hargreaves, mantan Guru Besar Penang Free School dilantik sebagai guru besar pertama sekolah ini dengan dibantu oleh dua orang guru lain iaitu F.A. Vanrennan dan S.W. Rowlands.
Pada peringkat permulaan, pelajar-pelajarnya adalah seramai 8 orang. Sehingga ke penghujung tahun 1905, jumlah pelajar adalah seramai 79 orang.
Sekolah ini semakin pesat membangun dengan pembinaan bangunan tambahan pada tahun 1909 dan dirasmikan sebagai Malay College Kuala Kangsar (MCKK).
MCKK yang dikhaskan kepada murid-murid lelaki ini telah berjaya melahirkan ramai cendekiawan Melayu yang tersohor.
Skrip: Aliza Minai Rajab / Arkib Negara Malaysia
Sumber : Arkib Negara Malaysia