Beberapa tahun lepas dalam insiden Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) disuarakan oleh pemimpin-pemimpin politik dan mereka sebolehnya nak pastikan benda ini dilaksanakan.
Perkara itu jelas menunjukkan mereka tidak mementingkan Institusi Raja-raja malah mempunyai niat untuk menghapuskan terus kuasa Raja-raja Melayu di Tanah Air kita sendiri.
Bayangkan tanpa kita sedar negara kita sedang mengalami satu bentuk agenda penjajahan secara halus, tersembunyi dan licik oleh pemain politik kotor dan diktator.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff menjelaskan, kerajaan yang memerintah dan cuba meratifikasikan ICERD dan Statut Rom itu adalah kerajaan Pakatan Harapan(PH) yang menang dalam PRU 14 pada Mei 2018.
Maka untuk melihat kedudukan dan bagaimanakah pandangan PH terhadap Institusi Raja-raja Melayu ini saya rasa cara terbaik adalah dengan melihat manifesto PH dalam PRU 2018.
Bagaimanapun, jika kita lihat secara lebih terperinci kepada perkara-perkara yang bukan melibatkan prosedur iaitu bersifat substantif dapat disimpulkan bahawa manifesto PH sebenarnya cuba menghakis kuasa Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Malah dalam bahasa kasarnya atau lebih agresif seolah-olah manifesto PH itu mahu membakul sampahkan terus peranan YDPA dan Raja-raja Melayu.
Sebab itu kita menyatakan bahawa kerajaan PH ini sepanjang pentadbiran selama 22 bulan kita lihat ia sebenarnya tidaklah mementingkan kedudukan Institusi Raja-raja Melayu pun.
Mana tidaknya, sepanjang tempoh memerintah mereka sering menyerang institusi diraja, dan banyak masalah yang telah dicipta termasuk isu perpecahan dan asimilasi antara kaum.
Satu perkembangan yang bagus ialah apabila kerajaan PH tidak menunjukkan sokongan kepada Raja-raja Melayu maka Majlis Raja-Raja Melayu membuat inisiatif sendiri untuk mendapatkan pandangan pakar-pakar dari kalangan ahli-ahli akademik yang mahir dalam bidang ini.
Bagaimanapun, Kerajaan PH pada waktu tersebut yang seolah-olah bila ahli-ahli akademik ini diminta memberikan pandangan kepada Majlis Raja-Raja Melayu sendiri pun dianggap menjadi satu kesalahan dan cuba diambil tindakan.
Nasib baik kesedaran rakyat yang meluas pada waktu tersebut menjadi penyelamat, maka ahli-ahli akademik ini langsung tidak boleh diganggu gugat oleh kerajaan PH ketika itu.
Masih saya ingat lagi, satu artikel yang ditulis oleh mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang menyebut bahayanya perkara ini dan jika dilakukan boleh menghakis kekebalan Raja-raja Melayu.
Apabila kekebalan Raja-raja Melayu ini terhakis maka mudahlah dakyah-dakyah dari segala bentuk fahaman liar akan menyerang Institusi Agama Islam yang bernaung di bawah Institusi diRaja. Inilah antara yang menjadi target utama mereka.
Tidak terhenti di situ, kerajaan PH dalam usaha mereka untuk memberikan legitimasi Statut Rom dan ICERD ini maka mereka membuat forum-forum yang menyentuh mengenai kedudukan Raja-raja Melayu.
Malah ada satu forum yang dibuat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 27 April 2019 dinyatakan banyak momokan, kecaman terhadap Raja-raja Melayu sehingga menjadikan forum tersebut bertukar menjadi forum mengecam Raja-raja Melayu sekaligus mengguris hati orang-orang Melayu.
Namun, apa yang dikesalkan tidak ada langsung tindakan diambil kepada pemimpin yang menyuarakan perkara-perkara sebegini.
Sedangkan jelas dan dari kaca mata saya dan dari sudut perundangan pun ia adalah satu perkara yang melanggar etika dan penderhakaan terhadap Sultan.
Disebabkan tiada tindakan tegas maka dapat dilihat betapa di zaman kerajaan PH berkuasa banyak sekali ucapan mahupun tulisan yang menghina dan mencerca Institusi Raja-raja Melayu terutamanya di media sosial.
Cuma kita bernasib baik kerajaan ini tidak lama dan sekarang kita sudah pun berada di bawah kerajaan baru yang lebih harmoni dengan Institusi Raja-raja Melayu.
Maka kita sekali lagi terselamat dari ancaman luar dan liar pihak-pihak yang hanya menanti peluang dan ruang untuk menghapuskan Institusi Raja-raja Melayu yang menjadi payung menaungi Islam dan bangsa Melayu di negara ini.
Justeru, apa yang berlaku ini seharusnya dijadikan pengajaran dan pedoman agar “pisang tidak berbuah dua kali” dan seharusnya “janganlah sampai nasi menjadi bubur.”
Ketika itu sedarlah tidak akan ada lagi perjuangan ini, hanya air mata darah kekesalan yang akan menghukum kita.