Kes Indra Ghani dan Loh mungkin tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, perlu dibuka semula untuk semakan kehakiman bagi meneliti beberapa fakta yang boleh dianggap terlepas pandang.
Kalau kita lihat semula pada tahun 2018 satu persidangan Mahkamah Persekutuan dalam kes M. Indira Gandhi v Muhammad Riduan Abdullah telah menampilkan persoalan tentang kewujudan sah mana-mana Perlembagaan Persekutuan (Versi Bahasa Melayu) pada ketika itu.
Kemudian mengambil langkah untuk mengguna pakai frasa “parent” di dalam Perkara 12(4) dan takrifan di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan di dalam (Versi asal dalam Bahasa Inggeris).
Bahawa “satu” (“singular“) merangkumi yang “banyak”(“plural“), untuk memutuskan bahawa pemelukan anak bawah 18 tahun, PERLU dan WAJIB kebenaran atau persetujuan KEDUA-DUA “ibu” dan “bapa”.
Walhal, pindaan untuk memasukkan Perkara 160B dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2001, telah mewujudkan proses mengadakan Perlembagaan Persekutuan bagi versi Bahasa Melayu yang memperuntukkan bahawa, apabila ianya wujud, adalah menjadi VERSI yang SAH dan TERATUR, bagi tujuan pemakaian peruntukan Perlembagaan Persekutuan, sebagai undang-undang tertinggi negara.
Maka sudah tentu permohonan untuk semakan perlu dibuat bagi melihat semula kes Indra Ghani yang boleh dianggap ada yang terlepas pandang dan belum selesai sepenuhnya dari sudut penggunaan istilah bahasa yang mana satu sepatutnya menjadi keutamaan.
Kerana ketika perbicaraan berlangsung rata-rata pengamal perundangan menganggap Teks Perlembagaan Persekutuan Bahasa Melayu belum ada.
Walhal ianya sudah pun dilancarkan semenjak 2003 lagi dan mahkamah tidak boleh menafikan kewujudan teks Bahasa Melayu ini bagi melihat keadilan tanpa meneliti secara terperinci.
Mengutamakan Teks Bahasa Inggeris Berbanding Teks Bahasa Kebangsaan
Sebelum ini prosiding yang dilakukan di mahkamah dalam meluluskan tuntutan Indra Ghani terhadap tiga anaknya yang sudah memeluk Islam dengan keizinan bapa mereka hanya dirujuk Teks Bahasa Inggeris sebagai keutamaan berbanding kepada Teks Bahasa Melayu.
Sedangkan Teks Sahih Perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam Bahasa Melayu telah dilancarkan pada 2003 lagi bermakna sudah hampir 20 tahun disempurnakan kesahihannya.
Sepatutnya Teks Bahasa Kebangsaan Itu Hendaklah Mengatasi Teks Bahasa Inggeris
Berita bahawa teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan akan menggantikan teks sahih dalam Bahasa Inggeris juga sudah dilaporkan The Star pada 30 September 2003 lagi setelah pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2001 dilaksanakan dengan menambah Perkara 160B.
Rujuk: https://www.thestar.com.my/news/nation/2003/09/30/malay-version-of-federal-constitution-launched
Teks sahih, Perkara 160B, menyatakan Jika Perlembagaan ini telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks Bahasa Kebangsaan itu sebagai teks sahih, dan selepas itu,
jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks Bahasa Kebangsaan itu dengan teks Bahasa Inggeris Perlembagaan ini, maka teks Bahasa Kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks Bahasa Inggeris itu.
Maka, jelas bahawa teks Bahasa Kebangsaan Perlembagaan Persekutuan sudah disempurnakan menjadi teks yang sahih menggantikan teks Bahasa Inggeris sejak dari tarikh pelancarannya pada 29 September 2003 lagi.
“Buktinya, seperti yang telah dilaporkan pada 29 September 2003, KDYMM Yang di-Pertuan Agong ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail telah melancarkan Teks Perlembagaan Persekutuan Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan itu sebagai teks sahih.”
Dari Sudut Common Law Bahasa Melayu Adalah Menjadi Keutamaan
Sudah tentu Teks Perlembagaan Persekutuan yang perlu diutamakan adalah di dalam Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dan menjadi keutamaan berbanding Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa kedua sahaja atau sebagai menjelaskan perkara yang sama.
Namun tidak semestinya terpakai jika ada pertentangan dari sudut istilah, maksud dan sebagainya dan jika terdapat pertikaian perlu dikembalikan kepada rujukan Teks Bahasa Kebangsaan.
Sedangkan kehendak perundangan memang sepatutnya perlu dilakukan di dalam Bahasa Melayu termasuk Bahasa Jawi.
Maka jelas kebenaran berhubung kes Indra Ghani ini secara tidak langsung mungkin tidak sah.
Apabila takrif hanya diutamakan menggunakan istilah Bahasa Inggeris yang boleh ditolak bukan diterima.
Budaya negara lain tidak sepatutnya dibawa masuk dan ditakrif di dalam Perlembagaan Persekutuan kerana rujukan paling tepat adalah perlu merujuk Teks Sahih Bahasa Melayu.
Ini kerana ia telah lama dilancarkan dah sudah sepatutnya menjadi undang-undang yang terpakai. Tetapi mengapa prosidingnya terlepas pandang.
Kes Indra Ghani Dan Loh Perlu Dijadikan Iktibar Agar Perkara Sama Tidak Berulang
Begitu juga dengan kes anak-anak Loh yang hampir sama dalam perdebatan kes berhubung istilah yang diceduk dari penggunaan Bahasa Inggeris dan dikesampingkan Bahasa Melayu yang sepatutnya menjadi rujukan utama dan kekal.
Di sinilah membuatkan semua keputusan yang dibuat mungkin boleh dianggap tidak terpakai dan sudah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan perlu diperbetulkan semula jika kita benar-benar pihak yang cintakan keadilan.
Walhal sepatutnya Teks Sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu yang sepatutnya dirujuk dengan memaknakan ‘Ibu’ atau ‘bapa’ sebagai keputusan paling utama bukan ‘parent’ yang bermaksud Ibubapa.