Di dalam Syair Siti Zubaidah Perang Cina ada menyebut tentang Kembayat Negara. Sultan Zainal Abidin, suami Siti Zubaidah merupakan Sultan kepada Kembayat Negara yang telah ditawan oleh tujuh orang puteri Cina. Lalu Siti Zubaidah, isterinya sanggup menyamar menjadi lelaki untuk menyelamatkan suami tercintanya.
Jadi dimanakah letaknya Kembayat Negara yang disebut di dalam Syair Siti Zubaidah Perang Cina itu? Pengkaji berpendapat Kembayat Negara itu sebenarnya nama lama bagi Kerajaan Melayu Champa yang dulunya terletak di Vietnam dan Kemboja. Kerajaan Champa merupakan kerajaan rumpun Melayu yang terkenal di Asia Tenggara pada waktu itu.
Seperti yang diketahui, kerajaan Champa diasaskan oleh orang Melayu Cham, salah satu etnik dalam Austronesia yang juga bersaudara dengan Melayu dan Jawa. Kerajaan ini sudah ditubuhkan sejak sekitar tahun 192 Masihi lagi berdasarkan rekod dari China oleh wakil Maharaja China. Kemudian ketika abad ke-7 hingga ke-10, kerajaan Champa berkembang maju kerana pelabuhannya menjadi tempat perdagangan rempah-ratus dan sutera antara China, India, Nusantara serta Timur Tengah. Terdapat lima buah wilayah di bawah Champa iaitu Inderapura, Amravati, Vijaya, Kauthara dan Panduranga. Ketika era kegemilangannya lebih kurang pada abad ke-12, kaum Cham telah menguasai tanah-tanah disekitarnya iaitu dari Hue Utara di Annam Tengah sehingga Delta Mekong do Cochin China. Kawasan-kawasan ini kini termasuk di dalam negara Vietnam di wilayah Da Nang dan Tra Nang.
Adakah Kerajaan Champa ini merupakan kerajaan Islam? Pada awalnya, kerajaan ini menganuti agama Hindu ajaran Shivaisma dan kemudian lebih kurang ketika abad ke-10, para pedagang dari Arab yang datang ke Champa telah datang ke sana dan menyebarkan agama Islam. Ini dapat dibuktikan dengan artifak arkeologi yang dijumpai. Ditambah pula banyak kerajaan-kerajaan Melayu yang lain juga sekitarnya yang sudah memeluk agama Islam jadi tidak hairan jika kerajaan Champa juga sudah masuk Islam. Malah dipercayai juga Champa merupakan antara kerajaan terawal di Asia Tenggara yang memeluk Islam.
Jadi bagaimanakah sebuah kerajaan yang begitu gah boleh hilang begitu sahaja dan tidak timbul langsung di peta dunia?
Baca juga>> Allah Sangat Murka Dengan Kegiatan Perjudian!
Apabila sesebuah kerajaan itu masyhur dan memonopoli perdagangan, tentulah ada pihak-pihak yang iri hati dengan kejayaannya. Kerajaan Champa telah diserang banyak pihak antaranya seperti Dai Viet sejak dari abad ke-9 lagi. Pelbagai serangan dari Dai-Viet sedikit sebanyak menggugat kedudukan Champa. Akibat dari ini, kuasa Dai Viet semakin luas sehingga Champa tertolak ke selatan.
Jika tadi kita ada menyebut tentang Syair Siti Zubaidah, yang di mana Sultan Zainal Abidin suami Siti Zubaidah merupakan Sultan Kembayat Negara. Para pengkaji banyak mempercayai bahawa Sultan Zainal Abidin sebenarnya merujuk kepada Raja Che Bong Nga (Che Bunga) yang juga dikenali sebagai Po Binasaur yang hidup sekitar abad ke-14. Dikatakan pada waktu ini, Champa bangkit semula dan dapat memenangi peperangan antara Dai Viet. Pelbagai peristiwa berlaku seperti yang diceritakan dalam Syair Siti Zubaidah dan akhirnya kemudian Dai Viet dan Champa memutuskan untuk bekerjasama.
Namun malangnya sifat tamak, dengki dan khianat, keamanan ini tidak lama. Sebuah kapal dari Dai Viet telah diserang di Champa, didalangi oleh orang Dai Viet sendiri yang tidak senang melihat kedua kerajaan ini hidup aman bersama. Akibatnya, Dai Viet dan Champa berperang semula. Kesudahannya, Raja Che Bong Nga telah dikhianati oleh panglimanya sendiri dan telah terbunuh. Apabila tiada pemerintah yang seberani dan sebijak Che Bong Nga, kerajaan Champa hidup terumbang-ambing. Dai Viet mengambil kesempatan untuk meluaskan kuasanya.
Ramai rakyat Champa melarikan diri mereka ke tempat lain seperti Kelantan, Melaka, Acheh dan sebagainya. Kerajaan Champa pula semakin mengecil dan tahun demi tahun, mereka sering berperang dan kota-kota mereka ditawan. Tambahan pula apabila ramai rakyat Champa sudah memeluk agama Islam menambahkan lagi kebencian Dai Viet pada Champa. Riwayat Kerajaan Champa berakhir apabila Raja Dai Viet, Raja Minh Mang menakluki Pandurangga (Phan Rang) pada tahun 1832.
Kini, tiada lagi kesan tentang Champa atau Kembayat Negara di dalam peta dunia. Yang tinggal hanyalah sejarah kerajaan ini dalam beberapa rekod serta tinggalan seperti kuil-kuil yang dipercayai dibina ketika era kegemilangan Champa. Kejatuhannya sebuah kerajaan yang begitu gah dan masyhur ini sepatutnya memberi iktibar kepada kita yang kejayaan sesebuah kerajaan itu tidak akan bertahan lama dengan kelemahan pemerintah menyebabkan rakyat hilang percaya dan para pembesar ambil kesempatan. Ini akan mengakibatkan pecah belah di dalam masyarakat. Seharusnya pemerintah dan rakyat bersatu dan bersama-sama berganding bahu untuk membina sebuah negara yang aman, maju dan harmoni.